Layan Anak Seperti Kawan Bukan ‘Tuan’ Kalau Mahu Anak Hormat Kita

Share

Layan anak seperti kawan bukan tuan kalau nak anak membesar dengan psikologi positif. Lagipun ramai ibu bapa tidak sedar mereka melayan anak seolah-olah seperti seorang hamba. Perlu patuh dan ikut arahan semata-mata. Jika tak ikut akibatnya adalah kena hukuman. Dek kerana ini, anak jadi terpaksa dan mereka akan berpura-pura di hadapan ibu bapa.

Anak bukan takut sebab hormatkan ibu bapa tetapi takut kena marah. Perkongsian dari Salwa Saleh mungkin boleh dijadikan panduan untuk ibu bapa dalam mendidik anak supaya kita menjadikan anak sebagai kawan, bukan TUAN.

1 ) Raikan Pertanyaan

“Jangan banyak tanya lah!”

Jika anda selalu gunakan perkataan dan ayat ini, minta untuk dihentikan segera. Kanak-kanak di awal usia ni sifat ingin tahu dia membuak-buak. Sangat banyak dan curious dengan pelbagai perkara. Di mata dia semuanya unik dan perlukan jawapan. Pernah tak kawan kita tanya kita, kita herdik semula? Tak pernah dan tak patut kan?

Sama juga anak kita. Saya kadangkala dapat berpuluh soalan dalam masa 2-3 minit. Tak sempat pause pun kadang tu. Tapi raikan.  Jawab semampu dan sejujur mungkin.

2) Sebut ‘Tolong’

Kita kalau nak minta tolong kawan, sangat berbudi bahasa. Guna bahasa yang berlapik untuk minta tolong beli makanan atau minuman. Jadi apa salahnya kalau dengan anak pun kita gunakan perkataan yang sama.

“Tolong emak siramkan pokok tu”

“Ambilkan air untuk adik boleh?

Bila kita ajar, boleh jadi dia macam susah nak ikut atau selalu lupa, tapi kita dah ajar mereka untuk berbudi bahasa. Tak kasar, minta dengan baik dan lembut dan ini yang anak kita akan tengok dan pegang sampai mereka besar nanti. Proses ini ambil masa, sabarlah ye.

3) Jelaskan

Kalau perkara tu tak baik, katakan tak baik. Kalau perkara tu baik, katakan juga perkara tu baik. Contohnya, kenapa tak boleh makan makanan ringan? Beritahu ia tidak baik kerana banyak perasa dan pewarna dan boleh merosakkan kesihatan.

Kenapa tak boleh mandi hujan lebat? Khuatir akan terkena kilat di tanah lapang sebab kilat boleh menyambar kita.

Semua penjelasan buat dengan baik dan tahap yang mereka boleh terima.

4) Jangan Tipu

Ini masalah yang sangat besar!

Apa pun yang cuba kita sembunyikan, jangan tipu anak. Anggap dan layan mereka seperti orang yang perlu dihormati dan di berikan haknya. Penipuan tidak baik dari segenap sudut.

SALAH: Tak boleh pergi berenang situ. Ada buaya!

BETUL: Imran tak boleh berenang seorang diri sebab Imran masih kecik. Sangat bahaya dan mungkin boleh lemas, nanti siapa yang yang nak tolong?

SALAH: Coklat takde. Dah habis

BETUL: Kalau makan coklat banyak sangat. Nanti boleh rosakkan gigi. Kalau gigi rosak, maca mana nak makan lagi? Cukup makan sikit sahaja

5) Tunjukkan kasih kita

Susah sangat nak peluk anak? Buatlah sesuatu. Dan ubah. Anak-anak waktu ni lah yang nak peluknya, dah besar nanti, kita susah nak peluk.

Beritahu mereka, kita sayangkan mereka. Biar mereka tahu kita pentingkan keselamatan dan keselesaan mereka. Akhirnya mereka juga akan pandai luahkan kasih sayang kepada kita.

 

Published by
Wan Amy