Lebih 6 Tahun Kahwin, Izzue Islam Terima Tawaran Tunku Azizah Buat Rawatan IVF

Share

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Bagi pelakon, Izzue Islam dia cukup tersentuh hati apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ingin membantu dia dan isterinya, Awin untuk mendapatkan cahaya mata.

Izzue yang berpeluang bertemu Tunku Azizah di belakang pentas ketika pementasan teater Mak Yong pada Oktober lalu berkata, tawaran itu disifatkan sebagai satu pertolongan yang amat bernilai buat dirinya.

Tawarkan Untuk Buat IVF

“Saya akui terkejut dan terharu apabila Tunku Azizah sendiri tawarkan untuk bantu saya dan isteri mendapat zuriat.

“Pertemuan ketika di belakang pentas selepas selesai pementasan teater Mak Yong memang cukup manis. Waktu itu, saya tidak tahu nak cakap apa sebab segan dengan baginda.

“Bagaimanapun Permaisuri ada bertanya mengenai kehidupan saya dan isteri sebab baginda mengikuti perkembangan saya. Baginda ada kata kalau perlukan pertolongan, beritahu saja,” katanya.

Menurut Izzue, sehingga kini dia belum berkesempatan bertemu Permaisuri memandangkan jadual kerjanya yang padat.

“Belum ada rezeki untuk bertemu dengan baginda. Saya agak sibuk dengan beberapa komitmen serta sibuk dengan penggambaran sebuah drama.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, mungkin awal tahun depan saya akan berjumpa baginda,” katanya.

Untuk rekod, Yayasan Fertiliti Tunku Azizah yang diasaskan baginda menawarkan penajaan pasangan yang terpilih untuk rawatan kesuburan persenyawaan luar rahim (IVF) di sebuah Pusat Fertiliti yang mengambil bahagian di Malaysia.

Hampir enam tahun mendirikan rumah tangga, Izzue dan Awin belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata. Pasangan itu bernikah pada 2 Jun 2013.

Sumber: Harian Metro

Published by
Wan Amy