Anak takut dengan orang lain.
Anak tak reti salam/hi/bye orang lain.
Anak tak pandai berkongsi mainan.
Anak dibuli di taska atau tadika.
Masalah di atas memang normal berlaku pada anak terutamanya anak 7 tahun ke bawah kerana anak masih lagi dalam fasa belajar bersosial. Skil-skil yang lain, anak boleh belajar di rumah tetapi tidak bagi skil sosial.
Berdasarkan perkongsian dari Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi skil sosial adalah satu-satunya skil yang memerlukan lebih pengalaman berbanding yang lain. Nak cerita checklist skil sosial anak mengikut umur agak banyak, ini checklist ringkas saya:
UMUR DAN SKIL SOSIAL
0-6 bulan:
Ketawa dan senyum.
6- 12 bulan:
Ada “eye- contact”, main cak-cak, tepuk tangan, angkat tangan tanda nak minta dukung.
1-2 tahun:
Ketawa semasa bermain, cari mainan tersembunyi, meniru perbuatan, salam/”hi”, “bye” atau “nak” dengan orang lain.
2-3 tahun:
Berminat nak tegur kawan lain, berlakon olok-olok mudah, kurang “separation anxiety” ataupun “stranger anxiety”.
3-4 tahun:
“Jaga” anak patung, ikut giliran, bermain dengan 2-3 kawan, beritahu perasaan.
4-5 tahun:
Main mainan yang ada peraturan mudah dengan 2-3 orang kawan.
5-6 tahun:
Berlakon olok-olok yang lebih kompleks, bertolak ansur semasa bermain, boleh mengikut peraturan bermain.
Kalau mak ayah dapati anak ada masalah sosial, disarankan lakukan penilaian awal untuk kenalpasti tahap perkembangan anak.
Pernah seorang ibu menceritakan masalah ini kepada saya:
“Puan, anak saya berumur 5 tahun. Sebelum ini anak saya hanya dijaga oleh saya dan tak pernah berjauhan. Bila umur 5 tahun, saya hantar anak ke tadika. Masa 2 minggu pertama, anak saya nampak ceria bila pergi sekolah sebab ada kawan-kawan. Tapi sekejap sahaja, lepas 2 minggu anak saya dah tak nak pergi sekolah. Menangis setiap pagi sebelum ke sekolah”
Bila saya ambil sejarah kes, rupanya anak puan ini dibuli di tadika disebabkan tak reti nak berkawan dengan orang lain dan sebenarnya perkembangan sosialnya terlewat daripada umurnya.
Cuba kita bandingkan,
A:
Umur 5 tahun, dijaga lembut dengan ibunya setiap masa, jarang dimarah, tak pernah berebut mainan, jarang keluar rumah dan berjumpa orang lain, tak pernah berkongsi, tak pernah rasa perlu “survive” sendiri.
VS
B:
Umur 5 tahun, adik beradik ramai, tinggal di taska bersama 20 orang lain bila mak ayah bekerja, dah biasa dengan adegan rampasan dan rebutan mainan, “survival skil” tinggi sebab dah biasa berdepan dengan kawan-kawan lain.
Agak-agak kalau 2 orang ini berjumpa, siapa yang akan disenangi dengan kawan-kawan lain dan ada lebih ramai kawan. Sudah tentunya B.
Sebab, B mempunyai lebih banyak pengalaman berkawan dengan orang lain. Dah tahu kalau tak mahu kongsi mainan, nanti kawan lain tak nak kawan ataupun macam mana nak menghadapi kawan yang tak mahu pulangkan mainan berbanding A yang tak pernah ataupun jarang menghadapi situasi ini kerana banyak dibantu oleh ibunya.
Bila saya cerita macam ini, baru ibunya faham kenapa anaknya tak mahu pergi sekolah. Anak tak mahu pergi sekolah kadang-kala bukan hanya disebabkan cikgu garang atau masalah dengan sekolah tetapi mungkin masalah dalam diri anak sendiri.
Anak yang berumur 5 tahun sepatutnya sudah boleh bermain mengikut tema dan dalam kumpulan. Contohnya main jual beli, kahwin-kahwin, masak-masak ataupun pergi ke planet lain. Selain daripada itu, mereka juga sepatutnya sudah boleh bertolak ansur semasa bermain dan boleh terima kalah atau menang.
Saya tak kata lebih baik anak dihantar ke taska daripada dijaga sendiri kerana semuanya bergantung kepada bagaimana kita sendiri mendedahkan anak dengan dunia dan orang luar.
Semakin ramai anak jumpa dan berinteraksi, semakin bagus skil sosial anak melainkan ada isu-isu lain seperti ADHD, ASD, MR atau SPD. Tak susah pun nak bantu tingkatkan skil sosial anak, tips saya:
Kalau mak ayah rasa kurang kawan-kawan yang mempunyai anak atau faktor jarak dengan kampung nak balik selalu. Bolehlah cuba cari mana mana tempat terdekat yang ada anjurkan playgroup. Sangat disarankan untuk membantu meningkatkan skil sosial anak.
Sumber: Maryam Jamadi