Dilema kebanyakan ibu ayah sama ada nak biarkan anak meraung dalam carseat atau mengangkatnya bila berada dalam kereta? Akibat tak tahan atau mudah kasihan melihat si kecil menangis tanpa henti ada ibu atau ayah yang sanggup memangku anak sambil memandu.
Tahukah anda perbuatan tersebut amat berisiko membahayakan nyawa anak? Ramai yang tahu tapi selalunya mereka akan bagi alasan hanya dalam jarak pemanduan yang dekat atau tak sanggup tengok anak meraung dalam carseat keseorangan di tempat duduk belakang, ibu susah nak fokus memandu bila anak menangis atau pun tak cukup ruang untuk pasang carseat kerana anak ramai.
Jadi sanggupkah anda membiarkan si kecil tercampak hingga boleh mencederakan atau lebih malang meragut nyawanya sekiranya berlaku sebarang kemalangan yang tak dijangkakan? Kita selalu dengar kejadian kemalangan yang melibatkan kematian atau kecederaan di kalangan bayi dan kanak-kanak.
Biasanya punca utama adalah disebabkan si kecil tidak didudukkan dalam kerusi keselamatan khas iaitu carseat. Mereka selalunya dipangku oleh ibu yang duduk di tempat duduk depan bersebelahan penumpang.
Memanglah kita tidak mampu menolak takdir yang berlaku tetapi kita masih boleh berusaha mengelakkannya dengan cara menyediakan aspek keselamatan kepada si kecil semasa berada di dalam kereta.
Kalau di luar negara, memang ada peruntukan undang-undang ke atas ibu bapa yang tidak menyediakan carseat kepada anak mereka semasa berada di dalam kenderaan. Mereka sangat mementingkan keselamatan si kecil.
Kepada ibu ayah yang ada anak kecil atau yang sedang menanti kelahiran si kecil pastikan anda masukkan bajet membeli carseat dalam senarai utama. Sebab-sebab berikut ini perlu diberi perhatian oleh ibu bapa yang sayangkan anak.
1. Elak risiko bayi tercampak
Faktor keselamatan di dalam kereta mestilah diberi keutamaan sekiranya anda mempunyai anak kecil terutama yang masih bayi. Kita memang sentiasa mengelakkan daripada terlibat dengan kemalangan tetapi malang tak berbau. Sekuranya-kurangnya jika berlaku kemalangan dan memaksa kita menekan brek kecemasan, bayi tidak berisiko tercampak atau terjatuh daripada pangkuan sekiranya dia duduk dalam carseat.
2. Memudahkan tugas ibu atau ayah memandu
Hari ini ramai ibu yang memandu kereta bersendirian untuk pelbagai urusan dan dalam masa yang sama perlu membawa bayi sekali. Tak kanlah nak biarkan bayi dibaringkan sahaja di tempat duduk penumpang. Dengan adanya carseat yang mementingkan ciri keselamatan si kecil, anda boleh memandu seorang diri dan membawa bayi bersama tanpa rasa risau.
3. Disiplinkan anak tentang rutin dalam kereta
Melentur buluh biar dari rebungnya. Ajar bayi duduk dalam carseat sejak kecil lagi. Bayi mudah untuk diajar disiplin sekiranya anda biasakan ia dengan rutin tersebut. Untuk membiasakan anak disiplin duduk di dalam carseat, mulakan rutin ini sejak bayi lagi. Biasakan dia duduk dalam carseat setiap kali anda naik kereta. Dengan cara ini tiada masalah anak akan meraung atau mengamuk setiap kali masuk dalam carseat.
4. Bayi boleh tidur dengan selesa dan selamat
Dalam perjalanan jauh bayi biasanya akan mudah letih dan memerlukan tidur yang lama. Kalau kita pangku atau riba sudah tentu dia letih dan tak selesa nak tidur. Lagi risau bila ibu pun tertidur sama dan terlepas pegangan pada bayi. Dah tentu tak selamat. Bila duduk dalam carseat, anak boleh tidur lena dengan selesa dan yang pastinya selamat.
5. Elakkan anak rasa bosan dalam perjalanan
Sebenarnya bila anak sudah biasa duduk dalam carseat semasa perjalanan jauh dalam kereta ia dapat mengelakkan mereka mudah bosan. Caranya sediakan permainan yang bersesuaian, snek makanan, air minuman, menonton kartun dari tablet/mobile TV, pasang lagu kanak-kanak atau alunan zikir. Tips ini semua boleh melekakan anak dan memudahkan mereka bertenang atau mudah tertidur sepanjang perjalanan.
6. Memudahkan ibu bapa memandu jauh
Bila si kecil duduk di dalam carseat maka mudahlah tugas memandu kereta tanpa jerit pekik atau raungan si kecil yang meragam. Ibu juga tak penat nak pangku anak sepanjang perjalanan. Percayalah selalunya anak yang sudah biasa duduk dalam carseat akan cepat tertidur sepanjang perjalanan kerana mereka leka melihat pemandangan di luar atau kereta.
Jika anda ibu bapa yang prihatin dan mementingkan keselamatan anak, pilihan di tangan anda. Anak meraung atau menangis bukan alasan untuk ibu ayah cepat kalah mendisiplinkan mereka duduk di dalam carseat.