Lebih Banyak Pegang HP Daripada Pegang Pasangan, Jangan Sampai Orang Tersayang Kecil Hati

Share

Mungkin ramai tidak perasan betapa renggangnya hubungan terutama kepada pasangan atau ahli keluarga disebabkan hanya sebuah telefon di tangan masing-masing.

Ketagihan terhadap telefon bimbit telah menjadi satu isu yang sering diungkit jika berlaku sesuatu perkara melibatkan hubungan kekeluargaan membabitkan pasangan suami isteri.

Semakin canggih teknologi jika tidak dikawal penggunaannya ia mampu menjarakkan diri setiap individu walaupun berada di bawah bumbung yang sama.

Contoh paling mudah yang dapat dilihat, tengok saja ketika situasi menunggu pesanan di restoran, walaupun pasangan suami isteri dan di depannya ada anak-anak, pasti akan ada salah seorang yang memegang telefon.

Itu belum lagi ketika di rumah bila anak-anak ajak nak main, minta dilayan, telefon tetap ada di tangan. Jika banyak kali anak ganggu, kita pula yang memarahi mereka.

Perkongsian dari saudara Firdaus Shakirin ini benar-benar berlaku sekarang dan sama-samalah kita perbetulkan.

Hakikatnya Inilah Rumah Tangga Zaman Sekarang

Kita lebih banyak tengok handphone daripada tengok pasangan sendiri…

Kita lebih banyak berbual dalam handphone daripada berbual dengan pasangan sendiri…

Kita lebih suka bergelak ketawa dengan handphone daripada bergelak ketawa dengan pasangan sendiri…

Kita lebih banyak bercerita dalam handphone daripada bercerita dengan pasangan sendiri…

Kita lebih banyak pegang handphone daripada pegang pasangan sendiri…

Kita lebih banyak meluangkan masa untuk handphone daripada meluangkan masa dengan pasangan sendiri…

Mesti sukar dipercayai bahawa ini yang banyak terjadi dalam setiap isi rumah dan pasangan zaman kini kan…

Namun, inilah hakikatnya. Ingat jangan sampai pasangan kita dan anak-anak makan hati. Belum terlambat lagi nak ubah rutin ini kerana semuanya terletak dalam diri kita.

Bukan kata tak boleh langsung pegang handphone tapi biarlah ada hadnya. Jika dengan pasangan dan anak-anak, letak dulu sekejap. Selesai semuanya tengoklah semula. Itu kan lebih baik.

Sumber: Firdaus Shakirin

Published by
Wan Amy