Lebih Kurang 1KG Cacing Gelang Berjaya Dibuang Dari Usus Kanak-Kanak 6 Tahun

Share

Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun  terpaksa dibedah di Hospital Daerah Poonch, India, berdekatan dengan sempatan Pakistan akibat cacing gelang yang berada di dalam ususnya.

credit: Daily Excelsior

Lapor Daily Excelsior, kanak-kanak itu terdahulu mengadu tidak dapat membuang air besar, mengalami kesakitan dan kembung perut serta muntah dengan kerap.

Semasa pemeriksaan oleh doktor, ujian imbasan dilakukan pada abdomen. Doktor yang merawat mendapati usus kecil kanak-kanak lelaki itu tersumbat sepenuhnya dan dia dinasihatkan menjalani pembedahan.

Semasa pembedahan yang dijalankan oleh Pakar Perunding Bedah, Hospital Poonch, Dr Manav Datta dengan bantuan Pakar Bius, Dr Shafiq Choudhary dan Penolong Dewan Bedah, Sanjeev Sharma menyaksikan kehadiran segumpal cacing gelang yang juga dikenali sebagai Ascaris Lumbricoides.

Malah kehadiran parasit itu menjadi punca usus tersumbat. dianggarkan sekilogram cacing berkenaan dikeluarkan oleh doktor dalam pembedahan selama kira-kira satu jam.

Mengulas mengenai pembedahan itu, Dr Manav Datta berkata pembedahan sebegitu bukanlah jarang berlaku tetapi ia adalah kali pertama cacing gelang dalam kuantiti yang begitu besar ditemui dan dikeluarkan dari usus pesakit di hospital berkenaan.

Apa itu cacing gelang?

Menurut perkongsian MyHealth portal, cacing gelang atau Ascaris Lumbricoides adalah punca utama jangkitan cacing dalam kalangan manusia.

Jangkitan itu dinamakan ascariasis. Cacing gelang betina dewasa boleh mencapai ukuran sehingga 18 inci sementara cacing gelang jantan dewasa biasanya lebih pendek sedikit daripada cacing gelang betina.

Cacing dewasa tinggal di dalam usus kecil dan telurnya dikeluarkan bersama dengan najis.

Namun, apa yang menakutkan telur-telur cacing boleh tinggal di dalam tanah selama bertahun-tahun!

Bagaimanakah ia berjangkit?

  • Kanak-kanak suka bermain di tempat yang lembab dan kotor.
  • Telur-telur cacing gelang berjangkit melalui tangan yang tidak bersih dan di masukkan ke dalam mulut.
  • Selain itu, mengambil makanan dan minuman air yang dicemari dengan telur-telur cacing gelang juga boleh menyebabkan jangkitan.

Apakah tanda-tanda dan gejala dijangkiti cacing?

Ramai kanak-kanak tidak mempunyai tanda-tanda dan gejala. Namun, kadang kala kanak-kanak turut mengadu sakit perut.

Jangkitan cacing yang teruk boleh menyebabkan saluran usus tersumbat dan mengakibatkan sakit perut yang teruk dan muntah kerap. Adakalanya cacing dikeluarkan melalui najis atau dimuntahkan keluar.

Pencegahan daripada parasit ini boleh dilakukan dengan mencuci tangan dengan sempurna sebelum mengendalikan makanan.

Elakkan daripada menyentuh tanah yang dicemari dengan najis manusia, buang lampin pakai buang di tempat yang pembuangan sampah serta menghindari makanan tercemar atau minum air yang dicemari semasa melawat tempat atau negeri yang tidak mempunyai sistem sanitasi yang sempurna.

Bagaimanakah untuk mengenalpasti anak anda dijangkiti cacing?

Jika anak anda membuang air besar mengandungi cacing gelang atau telur cacing.

Bagaimanakah untuk merawat kanak-kanak yang dijangkiti cacing?

Ia boleh dirawat dengan memberikan ubat Albendazole 1 biji sehari atau Mebendazole untuk 3 hari.

Bolehkah jangkitan cacing gelang di cegah?

Pencegahan boleh dicapai jika anda:

  • Cuci tangan dengan sempurna sebelum mengendalikan makanan.
  • Elakkan dari menyentuh tanah yang dicemari dengan najis manusia.
  • Buang lampin pakai buang ditempat yang sesuai.
  • Elakkan dari makan makanan tercemar atau minum air yang dicemari semasa melawat tempat atau negeri yang tidak mempunyai sistem sanitasi yang sempurna.

Kredit: DailyExcelsior, MyHealth Portal

Artikel: Bagus Untuk Anak! Formula Terbaharu Susu Kambing Karihome Dengan Kualiti Terbaik

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

Published by
NuFa