Sebagai tawaran terbaru kepada LEGOLAND Malaysia Resort, SEA LIFE Malaysia menjanjikan pengalaman menarik dan jarak dekat kehidupan laut dan habitatnya.
Akuarium bertema LEGO interaktif pertama ini dibuka May lalu, mempunyai 25 akuarium pameran, 11 zon habitat, 13 ribu hidupan laut dari 120 spesis.
Ia juga mempunyai terowong 180 darjah merentasi Ocean Tank, akuarium terbesar dalam SEA LIFE Malaysia. Pengunjung boleh melihat spesis ikan yu, pari dan hidupan laut lain yang memenuhi tangki besar 385,000 liter.
Hari ini LEGOLAND Malaysia menerima sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk Program Pendidikan SEA LIFE. Majlis perasmian program dibuat oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan, Dato Dr. Mohd Gazali Abas.
Program pendidikan SEA LIFE ini bertujuan mendidik dan memberi informasi luar kelas tentang topik saintifik dan hidupan laut dengan cara interaktif dan menarik.
“Pendidikan sentiasa menjadi tunjang utama tentang apa yang kami buat di sini. Dengan DNA LEGO iaitu membina kreativiti menerusi permainan, Program Pendidikan SEA LIFE ini meneruskan komitmen LEGOLAND untuk mendidik anak-anak tentang pemuliharaan alam dan tempat terbaik untuk anak-anak menikmati aktiviti luar” kata Thila Munusamy, Pengarah Jualan dan Pemasaran LEGOLAND Malaysia Resort.
“Dengan sokongan Kementerian Pendidikan, ia memberi peluang untuk kami menyediakan program pendidikan bersesuaian dengan kurikulum sekolah dan menawarkan tempat untuk pendidikan luar sekolah buat semua sekolah seluruh Malaysia,” tambahnya.
Pada masa yang sama, sebagai sebahagian program pendidikan dan CSR, LEGOLAND Malaysia turut menyediakan 10,000 tiket percuma untuk guru dan pelajar dari sekolah luar bandar.
Guru dan sekolah yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di https://www.legoland.com.my/book-visit/school-bookings/workshops/sea-life-education-programme/