Bila ada anak kecil, perlu ada rasa was-was dalam diri ibu bapa. Biarpun kita anggap anak dah boleh berdikari sendiri tetapi sikap berwaspada itu penting. Sama ada di rumah atau keluar ke mana-mana sekalipun.
Sesuatu perkara nak berlaku sekelip mata saja. Kadang tak terjangkau dek akal pun. Tahu-tahu anak jadi mangsanya. Seperti perkongsian seorang bapa, Abdul Rahim, yang nyaris kehilangan anak bongsu berusia 2 tahun setengah kerana lemas dalam kolam hampir 5 minit di perkarangan rumahnya.
Pasangan suami isteri, nyaris kehilangan anak bongsu, setelah lemas dalam kolam hampir 5 minit
Menurutnya kejadian ini langsung tak terlintas di fikirannya sama sekali. Namun pada hari kejadian, ia benar-benar memberi iktibar dan berharap perkongsian ini memberi manfaat pada semua ibu bapa.
Ini kronologi apa yang berlaku kepada keluarga Alita Raysha yang lemas dan Allah masih bagi peluang kepada kami pada 17 November lalu, harap jadi iktibar kepada ibu bapa yang lain;
Jam 3:20 petang anak bongsu kami Alita Raysha lemas dalam kolam ketika bermain. Dia telah ambil kerusi dari belakang rumah dan panjat penghadang. Kemudian kebetulan abangnya lalu dan nampak Alita kaku di dalam kolam.
Abangnya panggil saya dan isteri. Isteri saya cepat-cepat angkat Alita yang dah kaku dari kolam. Isteri saya, seorang bekas jururawat di PPUM, yang selayaknya digelar Super Mom Atikah Mohd Ramzan dengan tenang melakukan CPR ke atas anaknya sendiri yang dah tak bergerak masa tu.
Badan Alita dah keras dan membulat masa buat CPR tu, tiada respon apa-apa langsung. Memang dah terasa seperti kehilangan anak kami masa tu. Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T setelah lakukan CPR dengan sabar sambil memanggil-manggil nama anak kami tanpa mengalah, Alita kemudian merengek dengan sangat perlahan. Anak kami telah kembali kepada kami 5 minit selepas lakukan CPR. Kami terus hantar ke Jabatan Kecemasan HRPB.
Ketika di Jabatan Kecemasan, setelah stabil anak kami dihantar ke PHDU, namun malam itu jam 10 malam, Alita diserang sawan yang memberi isyarat mungkin ada gangguan pada otak akibat terputus oksigen seketika pada insiden petang tadi.
Pada jam 10:30 malam, doktor telah memindahkan anak kami ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik untuk pemerhatian rapi.
Alhamdulillah, esok paginya, Alita telah sembuh sepenuhnya dan menunggu tempoh 24 jam untuk discharge.
Kami jadikan ini pengajaran dan pengalaman betapa pentingnya pengetahuan CPR. Tanpa tindakan pantas isteri saya waktu kejadian, kami mungkin kehilangan anak kami selama-lamanya. Dan menghabiskan baki usia kami dengan penyesalan yang tak berkesudahan. Tak dapat malah tak sanggup kami bayangkan.
Kami juga jadikan ini pengajaran kepada kami yang mana setinggi mana penghadang sekalipun, anak tetap boleh ambil kerusi dan panjat. Pengawasan maksima ke atas anak-anak sentiasa diperlukan.
Kolam itu tujuannya adalah untuk mengajar anak kami pengetahuan berenang dan apungkan badan dalam air ketika kecemasan. Dua orang kakak dan abangnya dah pandai, tapi Alita belum habis belajar lagi.
Kami dah ambil keputusan untuk simpan kolam ini, cuma mungkin pasang kemudian apabila anak dah betul-betul dewasa nanti. Mungkin juga tidak pasang terus.
Saya kongsikan kisah yang berlaku pada Alita ini agar menjadi pengajaran kepada yang lain untuk sentiasa berhati-hati. 5 minit sudah cukup untuk insiden seperti ini berlaku.
Hari ini (19 November), anak kami dah boleh discharge. Alhamdulillah. Semuanya selesai.
Terima kasih kepada yang mendoakan. Terima kasih juga kepada Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB yang memberi layanan terbaik kepada anak kami dan anak-anak kecil yang lain. Hanya Tuhan dapat membalas jasa baik kalian.
Semoga apa yang berlaku pada kami ini akan menjadi pengajaran pada ibu bapa yang lain juga. Anak adalah rezeki dan juga tanggungjawab. Jagalah sebaiknya.
Kredit: Abdul Rahim
Teruja nak dapat baby, tapi masih banyak persiapan yang perlu dibuat. Mental dan fizikal pun kena mantap sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang cara-cara menguruskan bayi baharu lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma : A-Z Uruskan Newborn Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/urus-newborn-baby-a-z/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI