Keterujaan untuk menimang cahaya mata kedua tak kesampaian apabila isteri dan bayi dalam kandungan dijemput ilahi. Ujian berat yang ditanggung Dzul Hisham Mhd Razali benar-benar tak disangka sama sekali apabila isteri tercinta, Nur Atiqah Mustafa dan anak keduanya, Nur Ulya Hanania dijemput Ilahi hari yang sama iaitu pada 12 Julai lalu.
Nur Ulya Hanania yang dijangka dilahirkan pada 7 Oktober depan meninggal dunia jam 8.30 pagi kerana kegagalan mendapat oksigen manakala Nur Atiqah, 29, akibat pembuluh darah otak pecah pada 11.20 malam.
Jenazah kedua-duanya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Krai, Kelantan.
Mengadu pening kepala selepas ambil wuduk
Kini, Dzul Hisham, 30, hanya ada anak sulung, Muhammad Umar Dayyan (dua tahun tiga bulan) yang akan menemaninya mengharungi hari mendatang selain keluarga.
Berkongsi kisah itu, Dzul Hisham berkata, isterinya tengah sarat hamil dan tiada masalah kesihatan atau simptom penyakit sepanjang tempoh kehamilan.
Bagaimanapun, Nur Atiqah ada mengadu pening kepala selepas ambil wuduk untuk solat pada hari kejadian sebelum diserang sawan tidak lama selepas itu.
“Isteri kemudian tidak sedarkan diri malah nadinya berhenti, jadi saya terus dapatkan bantuan untuk membawanya ke hospital.
“Kami tiba di hospital jam 8.10 pagi dan isteri terus dibawa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam perut namun anak kami tidak dapat diselamatkan.
“Manakala isteri diberi ubat jantung untuk bertahan namun akhirnya meninggal dunia menjelang tengah malam hari yang sama,” katanya.
Menurutnya, dia tidak menyangka isterinya akan pergi meninggalkannya ketika mereka teruja menantikan kelahiran cahaya mata perempuan.
Reda isteri pergi dengan mudah
Meskipun begitu, Dzul Hisham reda dengan ketentuan Ilahi dan cuba kuatkan diri kerana masih ada tanggungjawab untuk menyara anak sulungnya.
“Memang susah (untuk terima) pada awalnya namun reda kerana melihat pemergiannya begitu cantik iaitu ketika masih ada emak dan ayah serta seluruh keluarga yang mendoakan.
“Saya ada di sisinya di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sempat beritahunya yang saya sudah maafkan dia dan terima ketentuan seandainya sudah sampai masanya untuk pergi.
“Matanya tertutup namun saya nampak air mata mengalir dan tak lama selepas itu, isteri menghembuskan nafas terakhir. Itu juga detik terakhir kami bersama dan anak sulung juga ada kerana dibenarkan masuk.
“Moga Allah tempatkan isteri dalam kalangan yang beriman dan saya berdoa pemergian anak jadi asbab dia tarik saya ke syurga,” katanya.
Dzul Hisham berkata, dia dan Allahyarhamah Nur Atiqah yang disatukan sebagai suami isteri pada 27 April 2019 ada mengumpul wang kerana merancang mengerjakan umrah bersama di Makkah pada 2024.
“Kami juga rancang mahu enam orang cahaya mata namun hasrat itu tidak kesampaian apabila isteri pergi dulu kerana Allah lebih menyayanginya.
“Buat masa ini, saya tinggal berdua dengan anak sulung dan Alhamdulillah, tiada masalah untuk buat kerja rumah kerana sudah biasa.
“Anak pula masih kecil dan belum faham mengenai kematian dan hakikat yang ibunya sudah pergi buat selamanya,” katanya yang mencari rezeki dengan menjual cermin mata di premisnya dekat Bukit Payong, Marang.
Kredit: Metro
**Teringin dapatkan Telekung Rawdah Nayla Set, boleh klik SINI. Gunakan kod promo PNMGSP5 untuk dapatkan diskaun RM5
Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Ayuh, belajar cara didik anak untuk menyimpan sejak mereka kecil. Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!