Masalah cepat lupa adalah yang kerap diadu oleh kebanyakan wanita selepas melahirkan anak.
Adakah ia perkara yang normal? Rata-rata ibu mengakui selepas melahirkan anak mereka mengalami simptom mudah lupa.
Ada yang membuat persepsi kemungkinan salah satu urat terputus semasa proses melahirkan anak membuatkan mereka mudah lupa. Benarkah?
Menurut Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Dr Maiza Tusimin, wanita selepas bersalin mengalami pelbagai perubahan fizikal dan mental yang meletakkan ibu berisiko mengalami gangguan emosi dan mental yang teruk.
“Fasa selepas bersalin dikaitkan dengan peningkatan risiko kemerosotan kognitif, terutamanya ingatan yang lemah atau cepat lupa, kealpaan dan kesukaran menumpukan perhatian.
Perubahan tahap hormon seperti paras estrogen, progesteron, dan glukokortikoid secara mendadak sebaik sahaja melahirkan menyumbang kepada kemerosotan fungsi kognitif semasa tempoh berpantang. Namun begitu, ianya bersifat sementara,” demikian jelas Dr Maiza.
Jika menurut penjelasan Dr Maiza, simptom pelupa itu disebabkan perubahan hormon dan bersifat sementara sahaja, jadi ibu tak perlu terlalu risau memikirkannya.
Mungkin juga disebabkan terlalu fokus memikirkan penjagaan bayi baharu lahir dan keletihan akibat kurang tidur membuatkan ibu cepat lupa banyak hal lain.
Justeru itu ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan diperbaiki supaya ibu boleh mengurangkan masalah cepat lupa.
1. Tidur berkualiti
Kurang tidur kerana menguruskan bayi boleh membuatkan ibu lagi cepat lupa banyak perkara. Cuba bergilir dengan suami dalam bab menguruskan si comel supaya ibu boleh berehat dan tidur dengan cukup (walaupun sebenarnya tak boleh cukup pun).
2. Mengambil makanan sihat
Sentiasa amalkan pemakanan yang sihat dan baik untuk otak supaya membantu menguatkan daya ingatan ibu. Sumber makanan tersebut seperti ikan salmon, telur, tauhu, teh hijau, blueberry, brokoli dan lain-lain lagi yang berkhasiat.
3. Rancang aktiviti harian yang penting
Selepas bergelar ibu, anda akan mempunyai rutin baru menguruskan si kecil selain rumah tangga dan kerjaya (jika bekerja). Untuk memastikan semua itu tidak menjadi bebanan dan sukar memberi tumpuan, buatlah senarai keutamaan tugas-tugas harian supaya memudahkan pengurusan rutin ibu.
4. Belajar menerima perubahan baru selepas bergelar ibu
Kehadiran bayi benar-benar mengubah kehidupan seorang ibu dan ayah serta ahli keluarga lain. Ibu kena belajar menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baru sebagai ibu yang pastinya berbeza dengan situasi sebelum mengandung dan melahirkan anak dulu.
Adakalanya perubahan ini akan membuatkan sesetengah ibu berasa keliru, murung dan kehilangan fokus. Bertenang dan terima dengan reda tanggungjawab baru tanpa rasa sedih atau marah.
Dengan adanya persekitaran yang positif ibu pasti dapat melalui cabaran baru dengan gembira.
Baru-baru ini aktress dan pengacara terkenal Nabila Huda turut berkongsi masalah pelupa yang dialaminya menjadi semakin teruk.
Walaupun bukan baharu melahirkan anak tetapi pelakon berbakat besar yang mesra disapa Abil, 38, telah meminta tips di Instagram Story bagi mengatasi masalah yang dihadapi itu.
Menurut Abil, dia bimbang sekiranya perkara itu berlarutan, ia boleh mengganggu karier lakonannya.
“Saya rasa otak saya dah rosak la. Sekarang jadi susah nak ingat..cepat lupa. Letak phone tak ingat, nak cakap apa lupa. Makin teruk.
“Nak makan kismis dah terlambat pula. Anda tahu tak apa supplement yang bagus untuk pulihkan otak dan ingatan?
“Nampak macam main-main tapi saya serius ni…saya takut kalau saya cepat lupa, saya dah tak boleh ingat skrip atau dialog. Musnahlah karierku..tolong saya”
Selepas berkongsi masalahnya di Insta Story, ramai pengikut Abil berkongsi tip pemakanan untuk membantu menguatkan kembali ingatan.
Abil kemudiannya berkongsi tip-tip berguna yang diberikan pengikutnya supaya peminat-peminat lain turut boleh membuat amalan tersebut juga.
Menurut Abil, selepas ini dia akan cuba mengamalkan makan buah zaitun, fig dan kurma serta minum segelas air zam-zam setiap kali selepas bangun tidur.
“Maka saya pun dah muktamad pilih apa yang terbaik untuk diri saya dan anda boleh cuba juga kalau ada masalah yang sama,” tulisnya.
Tak salah kalau ibu-ibu lepas bersalin yang mengalami masalah cepat lupa macam Abil boleh juga amalkan makan makanan sunnah tersebut di samping berusaha berdoa mohon kepada Allah supaya sentiasa permudah urusan seharian sebagai ibu.
Sumber: IG Story kupu_kupu dan Dr Maiza Tusimin
Ayuh, kembalikan kesegaran dan tenaga anda bersama pasangan tersayang melalui Bengkel Refresh & Recharge: Jom Kembali Semangat! Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/jom-kembali-semangat/