Lepas Bersalin Terus Susukan Anak. Susu Kolostrum Ibu Nampak Sedikit Tapi Cukup Buat Bayi Baru Lahir!

Share

Ibu-ibu yang baru melahirkan memang digalakkan untuk membuat penyusuan eksklusif kepada bayi sekurang-kurangnya selama 6 bulan pertama. Jika boleh diteruskan sehingga usia anak-anak 2 tahun itu merupakan satu bonus yang bukan sahaja baik untuk anak-anak malah juga kepada ibu sendiri.

Namun perjalanan penyusuan setiap ibu tidak sama. Ada yang memang susunya meriah dan banyak ada pula yang kurang. Walau apa pun keadaan ibu-ibu jangan putus asa. Teruskan memberi susu ibu kepada si kecil untuk khasiat yang tidak akan diperolehi daripada susu lain.

Perkongsian daripada Pembimbing Penyusuan, Puan Nor Azura tentang susu pertama ibu mungkin dapat membantu kekusutan dan keresahan ibu-ibu baru yang bakal melahirkan anak. Paling penting sebelum bersalin lagi ibu sudah ada perancangan untuk menyusukan anak-anak sehingga usia 2 tahun dan InsyaAllah yang lain akan dipermudahkan!

TUNGGU URUT DULU KAK……
‘Saya belum urut ni kak,boleh ke susukan bayi terus? Ingat tunggu balik nanti,baru tukang urut boleh datang urut adakan susu..’

Awak urut ke tak,susu tetap akan terhasil dan keluar untuk bayi atau kita panggil Fasa Laktogenesis,penghasilan susu ketika ini dipandu oleh hormon..

Cumanya awak tak nampak ia menitik-menitik,awak tak rasa payudara tu bengkak atau penuh sebab hari 1-4 adalah Fasa Susu Kolostrum,ia sedikit dan likat tapi mencukupi buat bayi yang baru dilahirkan.

Jadi lepas lahir tu paling utama adalah susukan bayi dahulu,bukan tunggu mengurut baru susukan bayi.Mengurut membantu untuk kita rasa lebih relax,bila body relax tak stress ia membantu melancarkan aliran susu.

Ada juga ibu yang luar kemampuan dia untuk mengurut dengan tukang urut dan mula risau akan ganggu penghasilan susu pula.

Ketahuilah,susu akan terhasil seperti biasa paling penting susukan anak dengan kerap.Boleh saja minta bantuan suami untuk urutkan belakang badan dan leher ibu,pasti sakit-sakit melahirkan tu terubatlah dapat layanan dari suami kan..

*Dan berhati-hati juga dengan tukang urut yang pegang-pegang terus kata ibu susu sikit,susu kering,keturunan tiada susu,susu jenis cair anak tak kenyang etc.
Ia tidak tepat sama sekali,kuantiti susu mahupun kepekatan susu bukan diperiksa dari sentuhan.

Untuk fahami bagaimana penghasilan susu sejurus bersalin,boleh baca:

SUSU TAK KELUAR MASA PREGNANT,PERLU RISAU TAK?

Wanita yang hamil kerap menjadi sasaran penjual milkbooster kononnya produk mereka harus diambil seawal si ibu hamil lagi bagi memastikan si ibu mampu menghasilkan susu atau penting untuk mereka mengambil produk tambah susu sejurus melahirkan.

Wanita yang saya kasihi,Tuhan menjadikan tubuh kita ni unik dan lengkap dengan sistemnya sendiri..Tuhan berikan kita hormon yang pelbagai dan tiap satunya ada fungsi di setiap fasa kita lalui.

Hormon Progesteron tinggi semasa kehamilan kerana ia diperlukan semasa proses ini dan ia berfungsi menghalang prolaktin untuk menghasilkan susu lebih banyak.Progesteron dirembeskan dari Plasenta atau Uri.Jadi,tak perlu risau jika anda sudah mencapai penghujung kehamilan,tapi susu masih belum keluar.

Kerana itu juga tidak hairan jika wanita hamil yang masih susukan anak,susunya boleh berkurangan atau kering walaupun demand vs supply diteruskan,ini kerana hormon kehamilan bertentangan dengan hormon menyusukan.Jika mahu menyusukan bayi hingga dua tahun,sila rancang kehamilan anda.

Apabila selesai proses melahirkan,uri juga sudah dikeluarkan.Ketika ini badan akan mengalami proses penurunan hormon Progesteron yang mendadak.Tiada lagi penghalang bagi hormon Prolaktin untuk dirembeskan,iaitu Progesteron tadi.

Maka susu akan keluar juga untuk bayi anda walaupun anda tidak mengambil sebarang produk.Kuncinya,silalah susukan bayi anda sejurus selepas dilahirkan.Ransangan dari mulut kecil bayi ini sangat Poweful,ia RANGSANGAN TERBAIK sekali bagi payudara anda.

Dia beri bayi kita mulut kecil mungil tapi sangat berkuasa untuk mengeluarkan susu dari payudara.

Dia beri kita proses hamil dan melahirkan,Dia juga berikan kita sistem dan hormon untuk tubuh kita menghasilkan susu secara semula jadi.

Hebatkan Sang Pencipta kita?

Jadi apa perlu kita buat semasa hamil ni?
Banyakkan membaca,hadiri kelas penyusuan,fahamkan proses kehamilan dan menyusukan.

Banyak lagi kita perlu belajar selepas bayi dilahirkan nanti.

Tarik suami sekali untuk sertai dan belajar sama-sama.

Nor Azura
Pembimbing Penyusuan.

Sumber: Nor Azura

Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.

Published by
Shahrina Azlin Binti Abdullah