Kehamilan

Lepas Kandungan Kembar Gugur, Wanita Ini Rupanya Masih Hamil Tapi Luar Rahim. Kisahnya Dalam Pa&Ma TV

Share

Kandungan gugur tapi ujian air kencing tetap positif & ujian darah menunjukkan hormon beta hCG terus meningkat. Rupa-rupanya masih ada satu janin di tiub fallopian!

Perkongsian Puan Waheeda dalam rancangan TV Pa&Ma episod 5 yang bertajuk ‘Komplikasi Awal Kehamilan’ ini ajaib dan jarang berlaku. Dia yang telah mengalami 2 kali keguguran  sebelum ini tidak menyangka selepas keluarnya kantung dan dua janin, masih ada janin di tiub fallopian kirinya.

SPOTTING KEKUNINGAN BEBERAPA TITIK

Ujian air kencing yang dilakukan sendiri di rumah menunjukkan keputusan positif walau pun tarikh kedatangan haid seterusnya lagi enam hari. Namun selepas beberapa hari selepas tarikh sepatutnya haid, dia mendapati ada beberapa tompok spotting kekuningan sebanyak beberapa titik. Ketika pemeriksaan doktor, kantung bayi masih belum dapat dikesan.

“Tompok spotting terhenti selama kira-kira 5 hari dan kembali. Kali ini tompokannya kuning bercampur coklat pula dan tompoknya semakin membesar sebesar syiling 50sen. Berdasarkan pengalaman saya sebelum, ini tanda-tanda awal keguguran. Saya mendapatkan rawatan dan doktor berikan ubat Duphaston untuk menguatkan rahim. Tapi yang pelik selepas ambil Duphaston, spotting makin banyak,” kata Waheeda.

TOMPOK KUNING BERTUKAR COKLAT KEHITAMAN

Wanita ini mula risaukan kandungannya apabila tompokan kuning coklat kini bertukar coklat kehitaman bertekstur kental seakan-akan jeli. Doktor yang merawat memberitahu ini adalah tanda-tanda keguguran. Doktor juga bertindak memeriksa pintu rahim dan mendapati ia tertutup menunjukkan ia bukan tanda keguguran.

RAHIM KOSONG TAPI UPT POSITIF

“Ujian imbasan pada kandungan 5 minggu menunjukkan rahim kosong. Saya tetap memantau dengan membuat ujian air kencing (Urine Pregnancy Test-UPT) untuk memeriksa kandungan. Tetapi apa yang dimusykilkan walau pun kantung tidak nampak, ujian air kencing semakin terang dua garisannya. Tetapi keesokannya semakin pudar. Ini menyebabkan saya dan suami jumpa doktor lain sebagai second opinion,” kata Waheeda.

Wanita yang sudah melalui 3 kali rawatan kesuburan Intra Uterine Insemination (IUI) akhirnya diminta membuat ujian darah untuk memantau hormon beta hCG dengan lebih tepat. Keputusannya ialah 168 iaitu sangat rendah bagi kandungan berusia 6 minggu. Doktor ini juga mengatakan ia adalah  tanda-tanda keguguran.

DOKTOR TERANGKAN 3 KEMUNGKINAN

Ini menyebabkan Waheeda ke Early Pregnancy Assessment Unit (EPAU) hospital. Kali ini doktor melakukan ujian dan imbasan dan imbasan transvaginal, kedua-duanya tidak menampakkan janin. “Ketika itu saya tidak rasa sakit. Pendarahan pula masih spotting dan saya diminta datang keesokannya. Sebelum pulang, doktor beritahu ada 3 kemungkinan sama ada ini adalah tanda awal keguguran, kehamilan luar rahim (ektopik) dan tanda awal kehamilan. Doktor juga turut memberitahu kebahayaan kehamilan luar rahim yang boleh membahayakan nyawa. Tiub Fallopian boleh pecah dan menyebabkan pendarahan. Kalau perlu pembedahan perlu dilakukan,” kata wanita berusia 36 tahun ini.

SATU KANTUNG DUA JANIN KELUAR

Namun 2 pagi keesokannya perut Waheeda memulas, dia alami kesakitan yang teramat sangat pada abdomen menyebabkan tidak boleh berdiri dengan baik. Dirasakan ada ‘ketulan’ keluar, apabila diperiksa ialah satu kantung dan dua ketulan daging kecil seperti janin.

PARAS HORMON BETA HCG TERUS MENINGKAT

Tanpa berlengah, Waheeda dan suami ke hospital. “Ketika di hospital, doktor membuat imbasan dan mendapati rahim saya kosong. Namun ketika itu paras beta hCG meningkat daripada 148 ke 276. Saya risau adakah saya masih hamil dan paling membimbangkan saya telah bertungku dan sebagainya. Jadi doktor kata nak pantau. Tak sangka dalam masa 72 jam ia meningkat ke 449.7. Ini menimbulkan tanda tanya dab ia terus meningkat ke 741 ke 963.

LAPOROSKOPI UNTUK MENENTUKAN KEDUDUKAN JANIN

“Pada ketika ini, keluar setompok cecair coklat kehitaman. Bagi mengesahkan doktor melakukan laporoskopi untuk mengenalpasti kedudukan kandungan. Dan ternyata ia berada di tiub fallopian kanan. Saya serta merta diarahkan berpuasa untuk prosedur pembedahan.

SAKIT BILA MEMGIRING KE KANAN

“Sedang saya berpuasa, saya rasa sakit apabila mengiring ke kanan. Saya ingatkan ia adalah rasa lapar sebab berpuasa tapi ia datang bersama pendarahan. Terus saya ditolak ke bilik pembedahan. Rupanya-rupanya tiub Fallopian sebelah kanan lebam & pecah dan sebanyak 50cc darah sudah mengalir ke bahagian usus.

BAYI TIDAK AKTIF TAPI KANTUNG MAKIN MEMBESAR

Menurut doktor, bayi tidak aktif tetapi kantung makin membesar. Mungkin ketika saya sakit itu tiub Fallopian pecah. Tapi doktor kata tiub sebelah kiri masih elok, jadi saya berpeluang untuk hamil lagi. Sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut dan mengikuti kisah ibu-ibu lain yang mengalami komplikasi ketika awal kehamilan, ikuti siaran ulangan Pa&Ma 9 malam ini di Astro Prima & Astro Prima HD.

Published by
Azma ML