Ramai ibu muda yang mengalami keguguran, kurang arif tentang amalan berpantang yang sepatutnya dilakukan.
Sudahnya, ada yang tidak memberi perhatian sewajarnya kepada amalan berpantang keguguran secara tradisional.
Sebenarnya, rawatan pantang keguguran adalah sama penting seperti ibu berpantang selepas melahirkan anaknya.
Malah ada orang tua-tua berpendapat, pantang keguguran perlu diambil perhatian yang lebih serius kerana ia cenderung membuatkan anda terdedah kepada pelbagai jenis penyakit yang lainnya. Jika tidak dijaga dengan betul, anda mudah berasa sakit di bahagian ari-ari, pinggang dan sendi selepas keguguran.
Bidan zaman dahulu menggalakkan wanita yang mengalami keguguran menjalani amalan berpantang sama seperti ibu bersalin. Oleh sebab itulah, ada yang mengesyorkan supaya ibu keguguran berpantang selama 44 hari.
Walau bagaimanapun, dalam keadaan zaman sekarang di mana kebanyakan wanita bekerjaya, maka agak sukar mengikuti cara ini. Namun, semasa bercuti sakit selama 14 hari itu, anda patut gunakannya dengan betul-betul mengikuti rutin berpantang. Jaga makan, pakai stoking, berbengkung, bertungku dan sebagainya.
Jika anda tergolong dalam kalangan orang yang rajin mengikut pantang-larang, amalkanlah cara pemakanan berpantang sama seperti yang diamalkan oleh ibu berpantang yang lainnya.
Pling tidak pun amalkan makanan yang seimbang dan mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Dalam pada itu, elakkan makanan berminyak, berlemak, makanan manis dan makanan segera. Seelok-eloknya banyakkan minum air suam atau panas dan makan makanan berkhasiat.
Sama seperti ibu berpantang yang lain, anda pun kena jaga dan hadkan pergerakan yang aktif sekurang-kurangnya untuk tempoh satu bulan selepas keguguran. Elakkan juga daripada mengangkat benda-benda berat.
Penjagaan rahim yang rapi selepas keguguran adalah sangat perlu. Jika rahim tidak dibersihkan dengan sempurna, toksin boleh meresap ke sistem tubuh lalu menyebabkan masalah kesihatan yang mungkin boleh mengundang maut.
Oleh sebab itulah, anda melakukan urutan, bertungku, mandi herba dan lain-lain. Rutin ini dapat membantu melancarkan peredaran darah, melegakan kesakitan dan memberi keselesaan dan kesegaran kepada tubuh.
Sepanjang tempoh ini juga, anda sangat digalakkan untuk memakai stoking dan memakai baju berlengan panjang bagi mengelakkan angin daripada memasuki badan.
Anda tidak digalakkan untuk melakukan hubungan intim dalam tempoh 14 hari selepas berlakunya keguguran. Mengikut kata orang lama, tunggulah sehingga satu bulan untuk ‘bersama’ suami semula.