Antara keseronokan sambutan hari raya bagi anak-anak kecil sudah tentu peluang mendapat banyak duit raya yang diberikan oleh sanak saudara dan kenalan ibu ayah.
Lepas seminggu menyambut hari raya dan pulang ke rumah masing-masing, ramai yang mengadu bajet sudah lari ekoran berbelanja besar untuk sambutan raya tempoh hari.
“Eh, guna ajelah duit raya anak sementara tunggu gaji masuk.” Itu antara solusi yang memang ramai diguna pakai oleh ibu ayah.
Ada sesetengah pihak yang menganggap tindakan ibu ayah ini sangat tak berpatutan. Kata mereka, tak patut betul ibu ayah guna duit raya anak yang sepatutnya disimpan dalam akaun bank anak dan bukannya digunakan untuk keperluan harian.
Betul ke tak boleh? Pandangan daripada guru yang perkongsian tulisannya selalu viral iaitu Cikgu Mohd Fadli Salleh ini ada betulnya. Sebelum sesuka hati mengecam perbuatan orang lain, adalah lebih baik kita fahamkan dulu masalah mereka.
BOLEH GUNA TAK DUIT RAYA ANAK?
Ada beberapa status menyelar ibu bapa yang guna duit raya anak-anak untuk buat belanja sementara tunggu gaji. Haram kata mereka.
Lebih pedih, ayat menikam marahkan ibu bapa tak buat simpanan. Tak buat perancangan rapi sebelum dan selepas raya. Boros, tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan pada anak sendiri mentang-mentang mereka kecil lagi.
Baik pakar kewangan, tabungan dan simpanan sekalian. Meh sini Cikgu Korea nak sekolahkan kau orang. Kau baca dan hadam baik-baik.
Kau sedap menulis, kau sedap berkata, kau sedap menyindir dan mengata sebab kau tak rasa. Itu point utama.
Kau punya income lebat, kau punya simpanan banyak, maka kau kutuk hina pula mereka yang pendapatan rendah serta tak punya tabungan dan simpanan macam kau. Ini sangat tak kena.
Kau bicara kau mampu beli rumah walau gaji baru 2500. Kau cerita kau mampu buat saving hingga seribu sebulan dan mampu rancang perbelanjaan dengan baik sempena raya.
Perbandingan kau tak kena. Kau tak lihat dari kaca mata orang yang punya anak ramai, punya tanggungjawab besar pada orang tua, adik-beradik dan anak-anak. Belum cerita bab komitmen hutang lagi yang bertambun banyak.
Bukan semua orang berhutang untuk berjoli. Kebanyakan mereka korbankan duit gaji baiki rumah ibu bapa. Hantar mak ayah pergi haji. Tanggung adik-adik di kampung disamping jaga keluarga sendiri.
Maka usahkan nak menyimpan, nak survive setiap bulan pun satu cabaran.
Dan kau terus menyindir mereka. Sedangkan kau tidak merasa.
Musim raya ini, kau terus dengan sindiran untuk ibu bapa yang guna duit raya anak-anak pula. Kejam kata kau. Haram kata kau. Ibu bapa tak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan pada kau.
Itu kau kata sebab kau tak rasa. Itu kau perli sebab kau tak lalui.
TAK SALAH PUN IBU AYAH GUNA DUIT RAYA ANAK
Aku sendiri secara peribadi pernah guna duit raya anak suatu ketika dahulu.
Isteri dan anak-anak lain ada di kampung. Duit belanja memang dah rancang, tapi perlu guna sedebuk untuk sesuatu hal luar jangkaan. Kes kecemasan yang tak boleh elak, maka habis segala duit yang ada.
Mujur ada duit raya anak-anak kat rumah. Aku pinjam hampir RM100 untuk teruskan hidup sementara tunggu gaji seterusnya ganti balik.
Masa itu aku terfikir, bagaimana mereka yang punya anak 7-8 orang survive sementara tunggu gaji. Aku yang masa tu duduk membujang sebab isteri berpantang pun terasa peritnya bila sampai waktu tersepit.
Maka pada aku, boleh saja ibu bapa guna duit raya anak-anak. Nanti ganti la balik bila ada duit.
Nak meminjam merata, orang lain pun bukan ada duit juga. Yang ada pun tak berapa nak bagi. Paling penting, air muka sewaktu meminta itu umpama pengemis pula.
Kadang disindir dan diperli hanya kerana nak pinjam RM50. Hinanya rasa pada waktu itu hanya Tuhan yang tahu.
Ye lah. Kau mana tahu. Kau mungkin tak merasa itu semua. Kau kan bijak merancang perbelanjaan. Kau kan hebat menyimpan.
Aku tahu sebahagian mereka ini hebat dalam pengurusan kewangan. Maka kau kongsilah tips menabung, kongsi tips mengurus kewangan tanpa perlu perli dan hina mereka yang guna duit raya anak untuk teruskan kehidupan.
Banyak masalah yang mereka lalui kau tak pernah pun tahu. Kau tak pernah pun ambil peduli. Banyak kesakitan dan kesengsaraan kau tak pernah rasa.
Maka sangat tidak adil kau menghukum mereka hanya kerana mereka guna duit raya anak. Sangat tidak adil dan khianat!
Jangan menilai orang tanpa tahu kisah hidup mereka. Jangan!
Berkongsi saja tips yang kau tahu secara umum untuk manfaat semua. Berkongsi tips dan cara tanpa menyindir dan menyakiti sesiapa.
Sepertimana aku selalu kongsi ebook yang bagus untuk pelaburan dan membeli rumah. Ya, tanpa sentuh peribadi dan kehidupan sesiapa aku terus berkongsi kombo ebook yang mampu memberi ilmu kewangan dan hartanah pada pembaca.
Sumber: Mohd Fadli Salleh