Bengkak susu adalah situasi yang selalu terjadi kepada ibu selepas bersalin. Rasa sakitnya tak boleh disentuh, adakalanya menitik juga air mata.
Proses ini terjadi secara semula jadi selepas bersalin dan akan berlaku selama dua hingga tiga hari. Ada yang berlangsung selama seminggu.
Namun apa yang paling menakutkan apabila ia tidak juga reda sehingga payudara menjadi merah, ibu ditimpa demam dan rasa sakit yang berlarutan. Perkongsian tip untuk menghadapi bengkak susu daripada Dr Aimi Jaafar ini boleh dijadikan panduan.
Dr Aimi Jaafar, Klinik Takwa
BENGKAK SUSU
Ramai yang membicarakan tentang sakitnya bersalin, namun tak ramai yang bercerita mengenai perjuangan yang berterusan setelah itu.
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Luqman 31:14)
BERLAKU SELAMA SEMINGGU SELEPAS BERSALIN
Dalam Al Quran sebenarnya telah Allah s.w.t sebutkan, mengenai perjuangan dari mengandung, sehingga akhir penyusuan, dalam anggaran 2 tahun setiap anak. Oleh sebab itu juga kenapa kita wajib berbuat baik kepada ibu bapa kita.
Namun saya ingin bercerita mengenai sakit yang dihadapi dalam lebih kurang 1 minggu pertama setelah melahirkan. Rata-rata ibu akan mengalami sakit ini, iaitu sakit bengkak susu.
Pada awal usia si bayi, susu ibu yang diterima terus adalah susu kolustrum. Iaitu susu yang pekat, paling tinggi nutrisi dan pertahanan imun. Setelah beberapa hari, dengan stimulasi yang berterusan dari bayi, susu ibu akan mula banyak.
JANGAN RISAU, BENGKAK SUSU ITU NORMAL!
Harus diingat, bahawa bengkak susu adalah normal. Namun begitu, cara tangani bengkak susu yang betul adalah sangat penting untuk mengelakkan masalah yang lebih serius seperti abses, depression, dan kegagalan penyusuan badan.
1. Tuam
Tuam dengan air sejuk boleh membantu kurangkan sakit.
Tuam dengan air panas pula akan bantu untuk melancarkan aliran susu dan darah.
Boleh dilakukan secara selang seli mengikut keadaan. Namun digalakkan untuk lakukan tuam panas sebelum urutan / penyusuan. Dan tuam dengan air sejuk setelah penyusuan.
2. Urutan
Sewaktu payudara membengkak, akan dapat dirasa juga gumpalan dan benjolan pada payudara.
Letak minyak, dan lakukan urutan untuk pecahkan benjolan ini. Lakukanlah urutan berpusat pada benjolan, sehingga benjolan semakin kecil, dan seterusnya tekanan diturunkan ke arah puting. Lakukan urutan ini pada setiap benjolan yang dapat dirasakan pada payudara.
Boleh dapatkan khidmat urutan laktasi sekiranya ada di tempat anda.
3. Perahan
Seeloknya lakukan perahan menggunakan tangan (marmet), berbanding perahan dengan pam. Perahan dengan tangan boleh dilakukan bersamaan dengan urutan. Tidak perlu perah sehingga payudara kosong, hanya sehingga payudara kurang tegang.
Penggunaan pam boleh menyebabkan overstimulation dan oversupply pada payudara yang menyebabkan penghasilan susu berterusan banyak.
4. Berikan susu pada bayi mengikut kadar keperluannya (on demand)
Badan dan hormon ibu sedang belajar berapa keperluan bayi, susu akan dihasilkan mengikut demand. Sekiranya ibu berhenti menyusukan, susu akan turut berhenti.
5. Mandi air panas
Selain bantu melancarkan aliran susu, ini juga boleh bantu ibu lebih relax dan kurang rasa stress. Kawalan emosi dan stress ibu adalah sangat penting.
6. Hisapan bayi yang optimal
Pastikan juga hisapan anak adalah efektif dan efisien untuk mengelakkan payudara tidak kosong seperti yang dikehendaki. Boleh dapatkan khidmat kaunselor laktasi untuk kenalpasti keadaan ini.
Selalunya setelah 2 – 3 hari, bengkak susu akan reda, dan penghasilan susu akan terhasil mengikut keperluan (demand – supply).
Sekiranya ada bahagian yang mulai merah, sakit, dan ibu mulai demam, jumpalah doktor dengan segera. Mungkin ada jangkitan yang memerlukan penggunaan ubat ubatan.
BENGKAK SUSU BOLEH JADI PENGALAMAN NGERI
Penyusuan adalah sambungan kepada episode perjuangan sebelumnya. Jalan dan kisahnya tidak sama buat semua, namun setiap ibu yang melahirkan, ataupun tidak (induced lactation), berpeluang untuk melaluinya.
Bengkak susu boleh menjadi permulaan yang ngeri buat sesetengah ibu, jadi saya kongsikan tips ini dengan harapan ibu-ibu dapat mengatasi rintangan yang ini, ke muka surat seterusnya.
Semoga dipermudahkan perjalanan penyusuan buat ibu-ibu sekalian <3
Galactagogue adalah bahan yang terdiri daripada makanan atau herba yang boleh membantu anda meningkatkan penghasilan susu ibu. Ramai ibu menyusu menggunakannya apabila diri berhadapan dengan masalah bekalan susu merudum.
Selain daripada mengamalkan galactagogue, anda hendaklah mengambil makanan sihat yang seimbang dan minum air secukupnya bagi memastikan nutrisi yang disalurkan kepada bayi adalah lengkap.
Ingatlah, jangan jadikan amalan mengambil galactagogue sebagai fokus utama dalam usaha anda merangsang tubuh memperbanyakkan penghasilan susu ibu.
Selain daripada itu, anda juga perlu mengawal tekanan yang dipercayai boleh menjadi faktor mengganggu pengeluaran susu ibu. Jangan lupa mahupun abaikan konsep permintaan dan penawaran. Pastikan anda menyusukan bayi mengikut permintaannya dan mengosongkan payudara dengan sebaik mungkin.
Apa yang lebih penting ialah anda perlu mengenalpasti penyebab utama gangguan bekalan susu dan cuba memperbaikinya.
Sementara itu, ada galactagogue ini sangat berkesan buat segelintir ibu yang mengamalkannya sedangkan yang lain tidak membantu langsung. Oleh yang demikian, anda perlu berusaha mencari galactagogue yang serasi dengan diri dan mengambilnya secara konsisten.
Halba
Herba paling popular dalam membantu meningkatkan pengeluaran susu.
Kurma
Zat besi dan kalsium yang terdapat di dalamnya adalah unsur penting dalam pembentukan susu ibu.
Oat
Ciri yang ada dalam oat membantu fungsi tubuh berasa selesa. Apabila anda makan oat, ia membantu anda berehat. Seterusnya tubuh melepaskan oksitosin dan membantu proses let-down susu dengan baik.
Lobak merah
Sama seperti bayam, ia mengandungi fitoestrogen. Lobak jenis ini kaya dengan beta-karotena dan vitamin A yang amat diperlukan oleh ibu menyusu.
Bayam
Sayur ini adalah sumber baik kalsium, zat besi, vitamin K, vitamin A dan folat. Ia juga mengandungi fitoestrogen yang menggalakkan kesihatan tisu payudara.
Bawang putih
Bayi yang gemar bau dan rasa bawang putih akan menyusu dan melekap dengan lebih baik sekaligus membantu meningkatkan penghasilan susu ibu melalui konsep permintaan dan penawaran.
Barli
Barli dipenuhi dengan pelbagai nutrisi seperti vitamin B, zat besi, kalsium, magnesium, zink dan selenium. Semua ini bagus untuk penghasilan susu ibu.
Lobak putih
Di dalam lobak jenis ini terkandung sumber vitamin C, folat dan sedikit protein serta zat besi. Kesemua nutrien ini memang amat diperlukan dalam proses pengeluaran susu ibu.
Kekacang
Kekacang sumber protein yang baik bagi menggantikan daging.
Ikan salmon
Kaya dengan kandungan lemak penting iaitu DHA, sejenis asid lemak pada omega-3. DHA adalah zat makanan yang paling penting untuk pertumbuhan, perkembangan dan penyelenggaraan tisu otak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebagai seorang wanita, salah satu penyakit yang paling ditakuti adalah kanser payudara. Ia antara penyakit yang menyebabkan kematian dalam kalangan kaum wanita. Kalau ada ketulan atau rasa tak selesa pada payudara, mulalah rasa risau kan?
Sumber foto: www.freepik.com
Kanser payudara mempunyai beberapa peringkat. Di dalam perkongsiannya di laman Facebook, Dr Zubaidi Hj Ahmad berkongsi tentang rawatan yang boleh dibuat pada penghidap kanser payudara peringkat satu.
RAWATAN KANSER PAYUDARA PERINGKAT SATU
Kanser payudara terjadi apabila sel normal payudara bertukar struktur menjadi sel yang bahaya dan mudah merebak. Ia boleh menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berdekatan seperti kelenjar atau lobul, pembuluh darah, salur limfa dan nodus limfa. Ia juga boleh menyebabkan kematian.
Kesemua jenis tisu di dalam payudara boleh membentuk kanser tetapi biasanya ia bermula di dalam kelenjar susu atau saluran kelenjar susu. Sementara ketumbuhan yang tidak berbahaya dinamakan tumor, terbentuk kerana pengumpulan sel abnormal yang tidak bahaya dan tidak merebak.
Seorang wanita itu sendiri dapat mengesan kanser payudara apabila mula menyedari bahawa terdapat bengkakan dalam payudaranya bersama tanda-tanda radang seperti sakit, panas, kemerahan. Ini mungkin tanda permulaan kanser payudara. Di samping itu terdapat juga bengkak pada kelenjar di ketiak yang abnormal.
Untuk mendiagnosis kanser payudara, doktor akan melakukan pemeriksaan mamografi atau MRI payudara. Peringkat kanser payudara ditentukan mengikut sifat sel atau tahap pembiakan (proliferasi).
Peringkat 0 atau tumor kanser di tempat asalnya (karsinoma in situ) dikira sebagai risiko kanser payudara tanpa kehadiran penyakit itu sendiri. Karsinoma lobular in situ atau LCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam kelenjar payudara. Karsinoma duktal in situ atau DCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam duktus payudara.
Peringkat I merujuk kepada kanser payudara pada peringkat awal di mana ukuran melintang tumor kurang dari 2 sentimeter dan belum lagi merebak.
Peringkat II merujuk kepada kanser payudara pada peringkat di mana ukuran tumor adalah antara 2 hingga 5 sentimeter; atau lebih dari 5 sentimeter tetapi belum merebak; atau kurang dari 2 sentimeter tetapi telah merebak ke kelenjar di ketiak.Peringkat III ialah di mana ukuran melintang tumor telah meningkat ke 5 sentimeter dan telah merebak ke kelenjar ketiak; atau telah merebak ke kelenjar di dalam tulang dada.
Sumber foto: www.freepik.com
Peringkat IV merujuk kepada situasi di mana kanser payudara telah merebak ke kawasan di luar kawasan dada.
Rawatan bergantung kepada ciri-ciri atau kelas kanser payudara. Biasanya pada peringkat I, rawatan yang diberikan ialah pembedahan dan diikuti dengan radioterapi, atau salah satu rawatan ini. Ini bergantung kepada jenis sel kanser payudara itu. Kemoterapi tidak diperlukan.
Rajin-rajinlah buat pemeriksaan pada payudara. Ia tidak sukar dibuat dan anda boleh lakukan sendiri. Bagi yang mungkin masih keliru dengan cara pemeriksaan payudara yang betul, boleh rujuk video di bawah ini:
Apabila dikurniakan anak, sudah tentu disayangi dan akan dibelai manja. Siapa sangka, dalam pada dijaga rapi pun anak boleh meninggal secara tiba-tiba. Kematian mengejut atau dikenali sebagai Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) begini biasa berlaku dalam kalangan bayi. Ada beberapa faktor yang menyebabkan kejadian malang ini.
Pun begitu, ia biasanya berlaku tanpa apa-apa simptom yang jelas. Bayi boleh meninggal secara tiba-tiba sahaja ketika tidur. Meskipun ajal dan maut di tangan Tuhan, namun ada kalanya kelalaian boleh menyebabkan anda menyesal seumur hidup.
Pelbagai kajian dilakukan oleh para saintis bagi mengenal pasti punca berlakunya kematian bayi secara misteri ini. Ada yang mengaitkannya dengan keadaan tempat tidur bayi, posisi tidurnya malahan ada juga yang mengaitkannya dengan jangkitan bakteria.
Menerusi kajian saintifik, penemuan mendapati bahawa kehadiran bakteria turut memainkan peranan penting sebagai penyebab berlakunya SIDS. Didapati bahawa gabungan bakteria jenis Staphylococcus dan Enterobakteria yang menghuni bahagian hidung dan tekak boleh menyebabkan SIDS.
Antara berikut yang dikatakan 5 punca kepada kematian mengejut bayi yang perlu ibu bapa beri perhatian:
1.Persekitaran
Pastikan bahawa keadaan persekitaran bilik tidur bayi sentiasa bersih dan bebas daripada mikroorganisma berbahaya. Pencahayaan dan sistem peredaran udara di dalam bilik tersebut perlu berada dalam keadaan yang sesuai.
Edaran udara yang tidak sempurna, memungkinkan pengumpulan mikroorganisma tersebut. Juga, pastikan bilik anak tidak dipenuhi dengan terlalu banyak hiasan kerana ia boleh mengumpul habuk dan mikroorganisma dan tidak sihat untuk pernafasan serta kesihatannya secara menyeluruh.
Bayi yang tidur dalam posisi meniarap lebih mudah diserang SIDS berbanding bayi yang tidur secara terlentang. Kerana tidur secara meniarap membuatkan bayi sukar bernafas dan akhirnya menyebabkan kematiannya. Tambahan pula jika hidungnya tertindih dengan bantal (elakkan penggunaan bantal semasa tidur meniarap).
3.Botol susu di mulut
Sebelum tidur, pastikan tiada sebarang sisa minuman di dalam mulutnya, dengan kata lain jangan biarkan bayi tidur dengan botol susu di mulutnya. Jika bayi tersedak akibat meminum banyak air, ia sudah pasti akan membahayakan mereka.
Gunakan cara lain untuk menidurkan mereka. Juga pastikan sendawa bayi terlebih dahulu untuk memastikan dia tidak termuntah susu semasa tidur.
4.Jangan tidur bersama
Sesetengah ibu, kerana risaukan keadaan bayi mereka ketika tidur memilih untuk tidur bersama bayi mereka. Langkah ini adalah salah dan sangat berisiko kerana bayi mungkin terhimpit terutamanya jika tilam yang digunakan adalah tilam jenis lembut.
Ada baiknya sekiranya anda tidur berasingan dalam bilik yang sama. Di samping selamat ia memudahkan anda melihat keadaannya ketika tidur.
Ada ibu yang gemar meletakkan terlalu banyak bantal dan permainan dalam katil si bayi. Perbuatan ini patut dihindari kerana ia akan melemaskan bayi tanpa disedari.
Gunakan bantal seminimum mungkin (atau tanpa bantal langsung) supaya bayi selesa ketika tidur. Pastikan bayi tidur dalam keadaan yang terlentang.
Sesungguhnya ajal maut itu di tangan Tuhan, tetapi tidak ada salahnya jika kita sebagai ibu bapa untuk lebih peka dalam soal menjaga anak terutamanya yang masih bayi. Kadang-kadang perkara yang kita rasakan remeh itu, rupanya memberi impak yang besar kepada si manja. Berdoalah agar anak-anak sentiasa dilindungi dan dijauhkan dari sebarang kejadian sebegini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!