Pertemuan pertama ibu dengan anaknya selepas hampir 5 bulan bulan koma akibat komplikasi selepas bersalin ini cukup menyentuh hati. Tindakan suami meletakkan gambar anak pada dinding beri kesan positif.
Melalui laporan Kosmo, pertemuan Norfadilla Che Par, 28, dengan anak lelaki sulungnya, Muhamad Syahmi Mohd. Saiful adalah proses terapi yang menggalakkan penyembuhan selepas koma selama 138 hari.
SECARA PSIKOLOGI KENAL ANAK WALAU PUN PERTAMA KALI BERSUA
Menurut Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Selasawati Ghazali berkata, pertemuan antara ibu dan anak yang dibuat secara langsung itu akan memberi kekuatan serta suntikan semangat kepada Norfadilla.
Katanya, secara psikologinya Norfadilla mengenali dan memahami apabila melihat anak sulungnya itu buat kali pertama.
SUAMI CERITA PERKEMBANGAN ANAK & TUNJUK GAMBAR
Menurut doktor, rupa-rupanya suami Norfadilla sepanjang isterinya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) sering bercerita tentang perkembangan Muhamad Syahmi dan menunjukkan gambar-gambar si kecil ini.
“Sepanjang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), dia mendapat sokongan yang begitu kuat dari suami dan keluarga, malah setiap kali suaminya datang melawat, suaminya sentiasa menceritakan perkembangan anaknya serta menunjukkan gambar-gambar anaknya.”
LEKATKAN GAMBAR ANAK PADA DINDING
Selain itu, dia turut melekatkan gambar Muhamad Syahmi pada dinding bilik ICU sebagai penguat semangat untuk bangkit.
“Selain itu, gambar anaknya juga dilekatkan di dinding bilik ICU bagi memberi semangat kepadanya untuk bangkit kerana anaknya sedang menunggunya.
“Anaknya itu memberi semangat kepadanya dan sebab itulah buat pertama kalinya kita bawa dia untuk berjumpa anaknya secara terbuka.”
PERKEMBANGAN SANGAT POSITIF
Dalam pada itu, Dr Selasawati memaklumkan Norfadilla menunjukkan perkembangan yang sangat positif.
“Alhamdulillah kita sangat berpuas hati dengan perkembangannya dan InsyaAllah, dia akan dipindahkan ke wad biasa jika terus menunjukkan kesembuhan.
“Di samping itu juga, petugas-petugas kita juga sentiasa membantu dalam memberikan motivasi serta semangat kepadanya,”
Tambahnya, beliau turut berharap agar Norfadilla akan kembali sihat dan dapat menjalani kehidupan bersama-sama anak dan suaminya selepas ini.
Norfadilla koma selepas menjalani pembedahan untuk bersalin. Dia mengalami tekanan darah rendah, degupan jantungnya berhenti selama 10 minit. Ini menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak.
Sumber: Kosmo
Artikel berkaitan: Mama Tak Mampu Pegang Syahmi! Hampir 5 Bulan Koma, Air Mata Dan Sentuhan Pengubat Rindu