Kanak-kanak yang aktif melakukan pelbagai aktiviti akan kerap mengalami kecederaan. Jenis kecederaan yang paling kerap dialami adalah luka pada bahagian badan mereka. Luka adalah hirisan yang terjadi pada kulit dan biasanya disebabkan oleh objek tajam seperti pisau atau kaca. Jika tidak serius, ia boleh dirawat sendiri di rumah.
Namun begitu, terdapat beberapa mitos yang segelintir ibu bapa percaya apabila merawat luka anak. Apakah mitos itu dan sejauh manakah kebenarannya? Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
#1. Luka akan cepat sembuh jika didedahkan pada udara
Mitos ini adalah yang paling terkenal dalam kalangan masyarakat kita. Kebanyakan ibu bapa mempercayai bahawa jika anak anda mengalami luka kecil pada badan, ia tidak perlu ditampal dengan pembalut luka sebaliknya biarkan ia terdedah dengan udara. Ya, ia akan membuat luka itu menjadi kering dengan lebih cepat namun juga akan melambatkan proses penyembuhan dan menyebabkan kulit berkeruping.
Apa yang anda perlu lakukan sebenarnya adalah mencuci luka pada anak anda bagi memastikannya bersih, bebas kuman dan dilindungi. Oleh itu, penggunaan pembalut luka adalah diperlukan untuk melindungi luka daripada kuman selain memastikan kawasan tersebut kekal lembap bagi menggalakkan penyembuhan yang lebih baik dan cepat.
#2. Pembalut luka perlu ditanggalkan dengan cepat
Ada ibu bapa yang percaya apabila hendak menanggalkan pembalut luka, ia perlu dilakukan dengan cepat atau luka tersebut boleh terkoyak kembali. Ini sama sekali tidak benar dan kepercayaan ini perlu diperbetulkan segera.
Apa yang anda perlu lakukan sebenarnya adalah menanggalkan pembalut luka dengan perlahan-lahan serta mengikut arah pertumbuhan rambut. Jika ia sukar untuk ditanggalkan, tuangkan sedikit minyak bayi dan ulang sehingga membuahkan hasil.
#3. Nanah adalah petanda luka mengalami infeksi
Setiap kali luka pada badan anak keluar nanah, ibu bapa akan menjadi panik kerana menganggap ia adalah petanda infeksi. Sebenarnya, anda tidak perlu risau kerana ia adalah sebahagian daripada proses penyembuhan yang normal. Nanah akan keluar ekoran daripada reaksi badan untuk membentuk keruping pada bahagian permukaan luka bagi tujuan melindunginya.
Apa yang anda perlu lakukan sebenarnya adalah memastikan nanah tersebut dibersihkan dengan kerap bagi memastikan ia tidak meleleh ke bahagian kulit yang lain. Namun begitu, jika anda perasan nanah pada luka anak kelihatan semakin banyak, berbau busuk, berwarna hijau, pekat dan melekit, ia mungkin benar menunjukkan infeksi. Jika ini berlaku, segera bawa anak anda berjumpa doktor.
#4. Kawasan luka perlu kering ketika proses rawatan
Ini juga merupakan mitos yang popular dalam kalangan masyarakat kita. Sebenarnya, luka tidak sepatutnya berada dalam kondisi yang kering. Ini kerana tisu luka memerlukan kelembapan sepertimana bahagian tubuh badan lain, sama seperti sel kulit. Ada kajian yang menunjukkan bahawa jika luka berada dalam kondisi yang lembap dan terlindung daripada kuman, saluran darah akan lebih cepat terbentuk semula.
Apa yang anda perlu lakukan sebenarnya adalah menutup kawasan luka dengan pembalut luka sekurang-kurangnya sehingga 5 hari. Ini bertujuan mengelakkan luka menjadi kering lalu membentuk keruping. Ini perlu dielakkan kerana keruping ini sebenarnya adalah punca parut yang tidak diingini terbentuk.
Namun begitu, tidak semua jenis luka ibu bapa boleh rawat sendiri di rumah. Anda perlu segera bawa anak berjumpa doktor jika anak anda mengalami luka seperti berikut:
- Terdapat sesuatu tertanam di dalam luka seperti kaca atau batu
- Luka masih mengalami pendarahan walaupun selepas 5 minit mengenakan tekanan
- Luka berlaku pada bahagian utama seperti kepala atau kemaluan
Jika ini terjadi, rawatan lanjut untuk menutup luka seperti bebatan, balutan atau jahitan perlu dilakukan. Sebaiknya, segera rujuk pakar jika anak mengalami luka bagi mengelakkan sebarang infeksi yang tidak diingini.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI