“Luluh hati ini melihat dua anak menangis di sisi ibu mereka yang sudah tidak bernyawa, berat hati saya menerima takdir isteri kesayangan sudah pergi buat selamanya,” kata Othman Awang, 41.
Othman, suami kepada Miss Nurul Mohd Deraman, 32, yang maut dalam kemalangan di Kampung Batu 9, Jalan Jedok di Tanah Merah pada 8.45 pagi (Khamis).
Mangsa yang menunggang motosikal bersama dua anaknya, Muhammad Hasbullah Othman, 5, dan Muhammad Hassim, 14, dipercayai membuat pusingan U sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah yang sama.
Othman berkata, ketika kejadian dia berada di kedai borong miliknya di bandar Tanah Merah sebelum bergegas ke lokasi kemalangan selepas dihubungi seorang rakan.
“Sebaik sampai saya hanya mampu mengucap panjang melihat sekujur tubuh isteri yang sudah kaku ditutup kain oleh orang ramai.
“Lebih menyedihkan apabila dua anak saya terutama yang berusia lima tahun masih terkejut sambil menangis teresak-esak di samping ibunya.
“Kali terakhir berjumpa dengan isteri pada awal pagi sebelum kejadian ketika selesai solat Subuh kerana saya terus ke kedai untuk bekerja.
“Tiada sebarang perubahan pada arwah, namun semalam, dia ada menyuarakan berasa sunyi dan bosan kerana terpaksa berada di rumah. Hari raya juga disambut seperti biasa beberapa hari lalu dan dia sempat memohon maaf atas kesilapannya sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, dia reda dengan apa yang terjadi tetapi pasti merindui keramahan dan kebaikan isteri selama mereka hidup bersama.
Othman berkata, dua anaknya kini mendapat rawatan di Hospital Tanah Merah, manakala jenazah isteri dibawa ke Unit Jabatan Forensik di hospital yang sama.
Katanya, jenazah isterinya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bendang Nyor selepas Maghrib.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf mengesahkan ada menerima laporan berkaitan kemalangan terbabit.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal membawa dua anaknya dipercayai membuat pusingan U sebelum dirempuh kereta yang juga melalui arah yang sama iaitu dari Panglima Bayu ke Tanah Merah.
“Mangsa membuat pusingan U dengan jarak yang sangat dekat menyebabkan pemandu kereta tidak sempat memperlahankan kenderaan lalu melanggar mangsa.
“Sebaik anggota sampai ke lokasi, mangsa didapati meninggal dunia di tempat kejadian, dua anaknya cedera manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Metro