Macam-Macam Dugaan Ibu Nak Bersalin, Bila Anak Keluar Copy Paste Muka Ayah

Share

Lucunya apabila ibu mengandungkan anak kemudian diuji dengan macam-macam masalah sepanjang kehamilan, tetapi bila keluar si manja itu mengikut acuan ayahnya. Itulah yang terjadi kepada pelantun lagu Be Mine, Tasha Manshahar, yang buat pertama kalinya mendedahkan wajah anak sulungnya itu.

Bayi comel yang diberi nama Muammar Rafiqi dilahirkan secara pembedahan apabila gagal melahirkan secara normal walaupun sudah diindius sebanyak tiga kali. Anaknya dilahirkan dengan berat 3.5kg. Kedudukan bayinya yang senget dari laluan menyebabkan kelahiran pembedahan adalah yang terbaik buat ibu dan anak.

Ketika menceritakan tentang pengalaman melahirkan Muammar Rafiqi, Tasha memberitahu yang sakit pembedahan mulai terasa selepas kesan ubat bius mulai hilang.

Artikel Menarik: [Atas Meja Kena Selalu Ada Makanan, Barulah Anak tak Merajuk Lapar Dalam Perut]

Selesai pembedahan, badannya menggigil tidak boleh dikawal, pergerakan juga terbatas selain terpaksa memakai tiub untuk bunag air kecil kerana tidak boleh bangun. Bahkan terpaksa makan bersuap dan terasa sakit jika bersin atau ketawa. Tasha juga hampir pengsan di dalam tandas ketika pertama kali dapat bangun dari katil.

Dalam perkongsian melalui laman Instagram peribadinya itu, Tasha turut menulis kapsyen: “Muammar Rafiqi b. Fahrur Raqib, Mommy happy sangat masa dapat tahu awak ada dalam rahim mommy, mommy syukur tak berhenti.

“Sembilan bulan mommy bawa awak ke sana sini, naik turun tangga, turun naik bukit. Sakit pinggang, sakit badan, letih. Tapi semua kita buat sama-sama.

“Hari Jumaat 21/6, hari yang Allah tetapkan kita berjumpa. Semua orang excited sangat nak jumpa awak. Doktor belah perut mommy. Peritnya Tuhan je tahu saat bius semakin menghilang.

“Tapi akhirnya copy ori muka dedi @raqibmajid jugak awak ya. Mommy redho.”

Juga disertakan beberapa keping foto si comel Muammar Rafiqi. Rata-rata pengikutnya terhibur dengan kemas kini itu dan berkongsi pengalaman yang sama.

Artikel Menarik: [Sekali Pam Cuma Dapat 2oz, Tapi Mampu Susukan Anak Hampir Dua Tahun]

Tidak kisahlah ikut rupa siapa, dah memang itu acuannya kan? Pa&Ma mendoakan agar Tasha dan bayinya sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan dipermudahkan segala urusan.

Sumber: Tasha Manshahar

Published by
Emy Haznida Hazairul Sham