Ibu yang mempunyai kesemua anak lelaki kena banyak bersabar sebab ada macam-macam ‘kejutan’ yang akan diterima sepanjang membesarkan mereka. Karektor anak lelaki yang aktif, lasak, tak tahu duduk diam, banyak idea, kreatif, asyik bermain dan macam-macam lagi.
Ada perbezaan yang boleh diperhatikan apabila anda membesarkan anak lelaki dan anak perempuan. Bukan tidak bersyukur tapi ada orang bersetuju membesarkan anak lelaki kurang cerewetnya berbanding anak perempuan tetapi memerlukan kesabaran yang tinggi kerana mereka terkenal aktif dan lasak.
Cuba kita semak betul atau tidak fakta ini apabila membesarkan anak lelaki.
1. Kejutan kotoran yang boleh dijangka
Tentu anda biasa berhadapan dengan situasi baju kotor, mulut comot, barang bersepah, air tertumpah dan bermacam lagi kejutan yang mengotorkan dirinya dan kawasan rumah anda. Kalau ada lebih daripada seorang anak lelaki, cuba anda bayangkan sendiri kejutannya!
2. Lambat berlatih ke tandas
Jika anda sedang melatih anak untuk tidak memakai lampin atau melatih anak buang air di tandas sendiri, banyakkan bersabar. Mereka memang agak perlahan mencapai misi ini. Tetapi tetap berjaya satu hari nanti selepas pelbagai dugaan dan cabaran yang dihadapi. Bertabahlah ya ibu!
3. Kerap membasuh pakaian
Apabila ada anak lelaki, bersedialah untuk sentiasa mencuci pakaian kotor. Memang normal anda perlu menukar pakaian anak lelaki lebih daripada dua kali dalam sehari. Kotoran yang mereka lakukan memang sukar dijangka.
4. Kos penjagaan rambut mereka lebih murah.
Anda tentu setuju hal ini. Lebih mudah dan murah menguruskan penjagaan rambut anak lelaki berbanding perempuan. Bawa sahaja ke kedai gunting rambut mamak, selesai masalah memotong rambut. Harga pun lebih murah. Tidak sampai RM10!
5. Pilihan fesyen yang mudah.
Fesyen anak lelaki tidak banyak pilihan seperti anak perempuan. Jadi, kurang sedikit masalah rambang mata ibu apabila membeli-belah untuk mereka. Boleh jimat masa dan tenaga semasa membeli.
6. Kurang cerewet
Kebanyakan anak lelaki kurang cerewet berbanding anak perempuan terutama dalam bab memilih pakaian, alat permainan, makanan dan tempat bermain atau bersiar-siar. Dalam hal ini, ibu perlu mengaku ia adalah benar. Mungkin memang sikap semula jadi seorang lelaki sejati!
7. Barang rosak
Mereka bukan nakal tetapi suka mencuba perkara baru. Anda perlu berfikiran positif. Anggaplah ia proses anak menjadi lebih kreatif. Jadi bersedialah untuk melihat barang di rumah anda atau alat permainan mereka berubah ‘rupa’ atau lebih malang rosak terus!
8. Ingatan berulang kali
Kadang kala letih dibuatnya hendak mengulang cakap perkara yang sama setiap hari. Tetapi itulah hakikatnya apabila anda mengajar anak lelaki terutama dalam bab menjaga kebersihan.
9. Mereka meniru karektor ibu
Tentu anda membayangkan apabila ada anak perempuan tentu mereka akan sama seperti diri anda. Tetapi sebenarnya kita boleh melihat karektor diri kita melalui anak lelaki. Banyak persamaan karektor antara ibu dan anak lelaki.
10. Sangat menyayangi ibu
Ini memang fakta yang sweet. Mesti ramai ibu yang mengakui hal ini. Kebanyakan anak lelaki terutama kalau mereka memang rapat dengan ibu, sangat-sangat menyayangi dan melindungi ibu. Bagi mereka ibu adalah wanita pertama yang dicintai dan bertakhta di hati. Anak lelaki sangat obses dengan ibu sejak dari kecil lagi.
Jika anda mempunyai ramai anak lelaki, ada sesetengah orang yang akan menyatakan kasihan kepada anda kerana penat membesarkan anak lelaki yang tak tahu diam dan lasak.
Hakikatnya tidak kira sama ada anak lelaki atau perempuan, semuanya mampu menjadi anak yang terbaik kepada keluarga asalkan dididik dengan sempurna. Bahkan jangan terkejut, ada anak lelaki yang mampu membantu ibu membuat kerja rumah lebih baik berbanding anak perempuan.
Tidak dinafikan membesarkan anak lelaki lebih mencabar tetapi sangat menyeronokkan!