Perkembangan anak dari mula dilahirkan sehingga mampu berdikari, banyak fasa sebenarnya ibu bapa kena lalui dan hadap. Bukannya anak membesar ikut usianya terus pandai buat macam-macam.
Dalam tempoh nak belajar dan pandai sesuatu kemahiran itulah, ibu bapa kena letak ‘sabar’ pada level tertinggi.
Seperti yang dikongsikan oleh Terapis Cara Kerja (Pediatrik), Puan Maryam Jamadi, nak anak pandai cakap, pandai jalan, pandai makan, pandai urus diri semua itu ibu bapa kena bersedia hadap dulu. Jangan terlalu sekat hingga anak tak boleh nak belajar.
Ingat beri kebebasan tetapi dalam masa sama pantau. Jangan pula salah anggap ya!
HADAPLAH DAHULU
Nak anak pandai cakap, kena hadap fasa anak masukkan benda/tangan dalam mulut dahulu.
Nak anak pandai jalan, kena hadap fasa anak mengesot dan merangkak merata-rata di dalam rumah dahulu.
Nak anak pandai makan nasi tanpa tertumpah, kena hadap anak mengutip apa-apa benda-benda kecil yang dia nampak dahulu.
Ads
Nak anak pandai pegang pensil, kena hadap anak asyik nak memanjat dan bergayut dahulu.
Nak anak pandai bersosial dengan kawan-kawan, kena hadap anak yang asyik nak berkepit dan peluk setiap masa dahulu.
Nak anak pandai makan tak memilih sangat, kena hadap anak yang asyik nak “rasa-rasa” benda yang dia pegang dahulu.
Nak anak pandai uruskan diri, kena hadaplah anak mengamuk nak buat semua benda sendiri walaupun belum pandai dan susah.
Ads
Nampak kan? Setiap apa yang anak lakukan semasa dari bayi ada sebabnya dan kesannya terhadap perkembangan. Bila kita sekat fitrah anak, pasti kesannya akan dapat dilihat di masa akan datang seperti,
– Lewat bercakap – Memilih makan – Masalah pegangan pensil dan menulis – Lewat berjalan – Masalah gayat – Terlampau takut dengan orang lain – Lewat skil pengurusan diri
Tetapi sebagai mak ayah, tak adalah semua perkara anak nak buat kita benarkan contohnya anak nak gigit selipar pun kita biarkan ataupun anak panjat gril sampai ke siling pun kita biarkan.
Perlu jadi mak ayah yang bijak, kenalpasti keselamatan anak dahulu barulah benarkan anak meneroka.
Banyak sangat kes yang melibatkan isu-isu di atas bila mak ayah kurang ilmu dan tak tahu kepentingan setiap perkara yang anak lakukan dari lepas lahir pasti ada sebabnya.
Ads
Tapi jangan pula masyarakat menuding jari hanya pada mak ayah bila jumpa anak yang mempunyai masalah perkembangan sebab ada juga kes dimana mak ayah dah buat segala macam cara dari bayi tapi anak tetap terlewat perkembangan.
Masalah kelewatan perkembangan ada pelbagai faktor, ini hanyalah antara beberapa faktor yang boleh menjadi punca kelewatan perkembangan.
Apa yang kita boleh lakukan sebagai mak ayah / penjaga adalah:
1. Sentiasa belajar, belajar dan belajar tentang ilmu perkembangan anak.
2. Rangsang perkembangan anak mengikut umurnya.
3. Selalu periksa perkembangan anak, kini semuanya di hujung jari.
4. Dapatkan bantuan segera sekiranya perasan anak terlewat 6 bulan dari umurnya. Semakin cepat dapatkan rawatan, semakin cepat hasilnya.
Anak tak nak ikut apa yang disebut. Apa boleh buat? Ini antara persoalan yang sering ditanya oleh ibu bapa yang ada anak dalam situasi ini.
Kadang ada juga dia sebut satu perkataan, tapi bila saya minta dia ulang. Dia terus tak nak sebut lagi dah.
Menurut Patologis Pertuturan Bahasa, Aishah Kassim, sebenarnya kan tak perlu suruh anak ulang semula apa yang kita sebut sebab kita bukan nak ajar anak jadi parrot tau tapi yang penting anak faham apa yang kita cakap dengan dia.
Cuma, mommy daddy boleh try teknik di bawah untuk galakkan anak menyebut perkataan.
1. Teknik Tunggu & Lihat
Teknik yang ni kebiasaanya digunakan pada anak yang dah mula bercakap tapi terlalu sedikit.
Caranya : Bila anda tunjuk objek atau gambar, pandang tepat pada mata anak, besarkan sikit mata & bongkokkan badan ke depan. Tujuannya adalah untuk menunjukkan yang kita sedang menunggu jawapan dari mereka. Tunggu selama 5-10 saat atau kurang bergantung pada daya tumpuan anak.
P/s : Pastikan anak dah faham objek atau gambar yang ditunjuk. Jika anak tidak respon atau tak berikan jawapan, anda perlu memberi jawapan terus pada anak.
2. Teknik Kiu Gerakan
Contoh : Ajar anak untuk meniru bunyi haiwan (kuek kuek)
Caranya : Buat gerakan haiwan seperti melompat atau berjalan dan sebagainya sambil menyebut bunyi haiwan tu sekali. Contoh jika sebut bunyi kuek3x, buat lompatan 3x sebagai kiu. Lompatan 1 (bunyi kuek), lompatan 2 (bunyi kuek), lompatan 3 (bunyi kuek).
Seterusnya, turn anak pula untuk menyebut. Buat lompatan tanpa suara & tunggu sehingga anak menghasilkan bunyi kuek tadi.
P/s : Beri bantuan jika anak tidak menghasilkan bunyi
3. Teknik Ambil Giliran
Dalam teknik ni anda perlu lakukan demo terlebih dahulu pada anak. Contoh : Ajar anak namakan objek dan gambar.
Caranya : Tunjukkan gambar atau objek. Letakkan objek atau gambar berhampiran mulut anda & sebut nama atau gambar tersebut. Seterusnya giliran anak pula menyebut. Tunggu respon anak selama 5-10 saat mengikut pada daya tumpuan mereka.
P/s : Kalau anak tak sebut its okayy. Anda konsisten je untuk beri vocab pada anak untuk kefahaman mereka.
Anak sakit, tak lalu makan mak-mak yang paling risau. Masa ni hanya fikir bila makan sikit pun jadilah. Disebabkan nak suruh anak makan, ibu bapa akan ikut selera anak.
Masa ni lah anak akan minta apa yang nak dimakan dan biasanya mereka lebih suka pilih makanan segera. Bagaimanapun menurut Dr Suriyakhatun, ramai ibu bapa tak sedar hal ini dan menjadikan sakit anak lambat baik.
Berikut antara perkongsiannya:
Ibu pesakit :
Anak saya demam doktor. Dia tak mahu makan. Yang dia nak cuma fries dan nugget dari M*D.! Itu lah yang saya berikan.
Respons saya : Anak yang demam memang tak lalu makan. Ini bukan sesuatu yang mudarat malahan ia boleh membantu sistem badan anak pulih lebih cepat . Bila anak tidak makan, tenaga yang diperlukan untuk hadamkan makanan akan tertumpu kepada melawan patogen sama ada bakteria atau virus.
Bila kita berikan makanan berproses yang banyak bahan kimia dan toksin seperti nugget dan fries, kita bebankan badan yang sedang gigih melawan patogen dengan tugas penghadaman dan menyah toksin. Kimia dan toksin perlu diproses pula oleh hati dan ginjal yang sedang terbeban melawan patogen.
Ibu pesakit:
Dah tu nak buat macam mana doktor?
Respons saya :
Berikan anak banyak air : Air kelapa, Sup tulang dan sup daging tanpa dagingnya, sup sayur tanpa sayurnya, Air barley ( rebus sendiri ), buah-buahan yang sudah di stim, Jus buah pun boleh diberikan jika anak itu lalu makan.
Sup dan air boleh ditambahkan dengan serbuk buah baobab dan gam arab untuk tambahkan vitamin dan zat galian serta asid amino yang mudah serap tanpa perlukan proses penghadaman yang rumit.
Jika anak tidak lalu makan dan tidak mahu minum, memang jalan terbaik adalah pasangkan IV drip .
Air dan garam electrolytes sangat diperlukan oleh badan semasa demam dan sebab inilah kita perlu pastikan air cukup. Yang diperlukan semasa demam adalah karbohidrat yang senang serap serta garam electrolytes .
Ada beberapa penawar homeoopathy yang bantu pulihkan selera minum dan selera makan secara alami. Untuk dapatkan boleh lah buat konsultasi dengan pengamal homeopathy.
Kebanyakan ibu bapa bila anak pukul, mengamuk, tendang akan fikir perangai ini akan berubah bila umur anak makin meningkat. Hinggakan bila anak pukul, tendang, marah-marah ibu bapa sendiri pun sanggup tahan.
Memang fasa anak tantrum ni berlaku antara umur 2 hingga 4 tahun. Tapi sekiranya kita biar mereka buat tanpa mengajar dan memberitahu lama kelamaan anak pula akan menguasai ibu bapa.
Berikut antara perkongsian yang sangat bermanfaat dari Terapis Cara Kerja, Puan Maryam Jamadi mengenai masalah tingkah laku serius hingga ibu bapa sendiri pun tak boleh nak buat apa.
Saya nak menceritakan tentang kes masalah tingkahlaku yang serius, Aiman (bukan nama sebenar) baru berumur umur 3 tahun 10 bulan tetapi sudah “ringan tangan” untuk menumbuk, menendang mak ayahnya sendiri.
Bukan dengan mak ayahnya sahaja, tetapi dengan orang lain juga. Kalau tak dapat apa yang diingini, habis semua barang yang dipegang akan dicampak ke arah orang lain. Kes ini saya klasifikasikan sebagai kes masalah tingkahlaku yang serius kerana anak ada potensi mencederakan orang lain.
Terharu kerana mak ayah sanggup datang dari Johor untuk berjumpa saya yang berada di Selayang setiap minggu selama sebulan.
“Puan tolonglah saya, saya dah tak tahu nak buat apa dengan anak saya. Semua saya dah buat, marah, pukul dan kurung Aiman tetapi tetap tak “lut” jugak. Tak tahu dah nak buat macam mana lagi”
Saya ingat lagi kata-kata mak Aiman kepada saya semasa sesi penilaian.
Semasa sesi penilaian, Aiman memang langsung tidak mahu bekerjasama. Mengamuk tanpa sebab, mak ayahnya ditumbuk depan mata saya hanya kerana ditegur kerana tidak mengikut arahan saya. Malah saya juga hampir ditendang olehnya. Nasib baik tak kena lepas tengok saya ambil semua mainan yang dipegang dan letak di tempat tinggi sambil buat tak endah.
Kunci utama untuk menghadapi kes masalah tingkahlaku adalah reaksi muka dan “first impression” sangat penting. Sekali kita”tunduk” dengan benda yang salah, ambil masa panjang untuk dipelbetulkan.
Walaupun muka saya tak berapa nak garang dan tak pandai pun nak buat-buat. Tapi alhamdulillah setakat ini jarang terkena gigitan, cubitan atau tumbukan klien kerana apabila bekerja dengan klien yang berpotensi mencederakan diri kita. Tangan dan suara kita perlu lagi laju dari klien. Hormon adrenaline sentiasa bersedia untuk dirembeskan.
Hasil penilaian, Aiman mempunyai isu:
Masalah sensori yang serius.
Jangan abaikan masalah sensori anak kerana ia dah cukup untuk mencelarukan pemikiran anak.
Pemakanan.
Aiman tak makan makanan seimbang, hanya makan makanan ringan dan coklat. Pantang jumpa kedai runcit, Aiman akan terus berlari dan ambil coklat atau ais krim. Macam mana Aiman boleh kenyang dan membesar dengan jayanya? 100% bergantung sepenuhnya dengan susu formula, 1 jam : 1 botol susu.
Masalah tingkahlaku.
Memukul mak ayah dan orang lain serta merosakkan harta benda.
Lewat perkembangan.
Terlewat perkembangan pengurusan diri, motor halus dan bahasa.
4 masalah utama ini sangat berkait antara satu sama lain. Selepas habis proses penilaian awal, saya sempat bertanya kepada mak ayah soalan paling penting,
“Puan dan Encik takut ke dengan Aiman?”
Ya, mak ayah Aiman dan orang sekeliling Aiman takut dengan Aiman. Takut Aiman mengamuk, takut Aiman pukul, takut Aiman buat perangai dengan orang lain, takut orang tengok dan sebagainya.
Aiman “ditakuti” oleh semua orang menyebabkan dia rasa sangat berkuasa untuk membuat segala keputusan yang dikehendaki.
Jangan pandang rendah dengan kebolehan anak kecil, anak pandai “membaca” dan memanipulasi kita. Mereka lagi bijak menggunakan ketakutan kita untuk dapat apa yang dikehendaki walau apa pun caranya walaupun dengan cara menumbuk.
Kalau kita “takut” dengan anak disebabkan pemikiran kita sendiri dan anak dah mula berkuasa lebih daripada kita bermakna kita secara tak langsung sudah merajakan anak.
“Merajakan” anak daripada segi kasih sayang sangat digalakkan tetapi kalau merajakan anak sehingga kita terpaksa tunduk dengan perlakuan yang salah adalah sangat salah.
Umur 3-4 tahun, kita masih kuat nak dukung anak bila anak memberontak. Tetapi sampai bila? Cuba bayangkan anak masih di tahap perangai yang sama semasa umur 10 tahun, agak-agak boleh tak lagi untuk dibentuk?
Ramai mak ayah ingat yang cara pukul dan tengking adalah cara terbaik untuk mendidik anak. Tetapi pada saya, ia adalah cara yang paling tidak sesuai sebab anak akan belajar memukul dan menjerit semula pada orang lain terutamanya anak yang berumur 7 tahun ke bawah.
Anak yang umurnya bawah 7 tahun, tidak pandai lagi menapis maklumat yang dilihat atau dengar. Kalau kita ajar rotan anak seawal anak umur 3 tahun, tak mustahil anak yang berumur 3 tahun akan belajar merotan adiknya yang berumur 1 tahun.
Selepas sebulan mak ayah Aiman berulang alik Johor-Selayang setiap minggu, alhamdulillah mendapat kesan yang positif. Semuanya hasil mak ayah konsisten di rumah. Nak tahu apa cara yang digunakan?
Selesaikan/ Kurangkan isu sensori. (Perlukan penilaian kerana semua kes berbeza)
Kurangkan susu (sebelum ini 1 jam: 1 botol) dan lebihkan makanan ruji yang seimbang. (Dinasihatkan berjumpa Dietitian)
*Pemakanan juga mempengaruhi tingkahlaku anak.
Galakkan mak ayah untuk beri anak berdikari sendiri. (Buka dan pakai kasut, makan sendiri dll)
Proses anak belajar berdikari sendiri sangat membantu “self-regulation” anak, seperti macam mana anak sabar bila pakai kasut terbalik atau tertumpahkan air. Mohon mak ayah sekalian jangan abaikan bahagian ini.
Betulkan mindset mak ayah dan lakukan teknik “behaviour modification”.
Ada banyak perkara perlu diambil kira untuk membetulkan tingkahlaku anak. Selepas semua teknik dilakukan, yang paling berkesan pada Aiman adalah teknik IGNORANCE.
Melalui pengalaman saya terhadap kes-kes masalah tingkahlaku terutamanya anak 5 tahun kebawah, kebanyakan mereka ini adalah dikalangan anak manja. Anak buat perangai disebabkan mereka dapat perhatian apabila berkelakuan nakal, lagi-lagi apabila baru dapat adik. Anak terasa perhatian kita padanya dibelah bagi.
Aiman tak “lut’ dengan pukulan atau tengkingan sebab itulah yang Aiman nak, PERHATIAN. Tetapi Aiman sangat “lut” bila mak ayah buat tak endah padanya.
Anak lelaki atau perempuan perlukan masa bermanja dengan mak ayah sebab “quota” bermanja setiap orang berbeza. Dalam kes ini, mak ayah Aiman memang seorang yang sibuk dengan kerja dan masa Aiman banyak terluang dengan televisyen serta bermain seorang diri.
Nampakkan disini, Aiman “terpaksa” berkelakuan nakal untuk dapatkan perhatian mak ayah. Banyak sangat perubahan pada anak bila mak ayah luangkan masa lebih dengan anak serta puji dan peluk anak SEMASA anak berkelakuan baik.
Kesimpulan daripada kes ini, apa yang saya nak kongsi dan tekankan adalah banyakkan berikan perhatian kepada anak terutama semasa mereka berkelakuan baik. Jangan sampai mereka fikirkan cara negatif semata-mata untuk dapatkan perhatian kita. Jika mak ayah dapati perangai anak mula berubah, mohon semak kembali berapa banyak masa berkualiti kita ada dengan anak berbanding masa dengan perkara lain.
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.