Mahu Anak Pandai, Part Ni Kena Hadap Dulu. Memanjat, Makan Tumpah Baru Permulaan

Share

Perkembangan anak dari mula dilahirkan sehingga mampu berdikari, banyak fasa sebenarnya ibu bapa kena lalui dan hadap. Bukannya anak membesar ikut usianya terus pandai buat macam-macam.

Dalam tempoh nak belajar dan pandai sesuatu kemahiran itulah, ibu bapa kena letak ‘sabar’ pada level tertinggi.

Seperti yang dikongsikan oleh Terapis Cara Kerja (Pediatrik), Puan Maryam Jamadi, nak anak pandai cakap, pandai jalan, pandai makan, pandai urus diri semua itu ibu bapa kena bersedia hadap dulu. Jangan terlalu sekat hingga anak tak boleh nak belajar.

Ingat beri kebebasan tetapi dalam masa sama pantau. Jangan pula salah anggap ya!

HADAPLAH DAHULU

Nak anak pandai cakap, kena hadap fasa anak masukkan benda/tangan dalam mulut dahulu.

Nak anak pandai jalan, kena hadap fasa anak mengesot dan merangkak merata-rata di dalam rumah dahulu.

Nak anak pandai makan nasi tanpa tertumpah, kena hadap anak mengutip apa-apa benda-benda kecil yang dia nampak dahulu.

Nak anak pandai pegang pensil, kena hadap anak asyik nak memanjat dan bergayut dahulu.

Nak anak pandai bersosial dengan kawan-kawan, kena hadap anak yang asyik nak berkepit dan peluk setiap masa dahulu.

Nak anak pandai makan tak memilih sangat, kena hadap anak yang asyik nak “rasa-rasa” benda yang dia pegang dahulu.

Nak anak pandai uruskan diri, kena hadaplah anak mengamuk nak buat semua benda sendiri walaupun belum pandai dan susah.

Nampak kan? Setiap apa yang anak lakukan semasa dari bayi ada sebabnya dan kesannya terhadap perkembangan. Bila kita sekat fitrah anak, pasti kesannya akan dapat dilihat di masa akan datang seperti,

– Lewat bercakap
– Memilih makan
– Masalah pegangan pensil dan menulis
– Lewat berjalan
– Masalah gayat
– Terlampau takut dengan orang lain
– Lewat skil pengurusan diri

Tetapi sebagai mak ayah, tak adalah semua perkara anak nak buat kita benarkan contohnya anak nak gigit selipar pun kita biarkan ataupun anak panjat gril sampai ke siling pun kita biarkan.

Perlu jadi mak ayah yang bijak, kenalpasti keselamatan anak dahulu barulah benarkan anak meneroka.

Banyak sangat kes yang melibatkan isu-isu di atas bila mak ayah kurang ilmu dan tak tahu kepentingan setiap perkara yang anak lakukan dari lepas lahir pasti ada sebabnya.

Tapi jangan pula masyarakat menuding jari hanya pada mak ayah bila jumpa anak yang mempunyai masalah perkembangan sebab ada juga kes dimana mak ayah dah buat segala macam cara dari bayi tapi anak tetap terlewat perkembangan.

Masalah kelewatan perkembangan ada pelbagai faktor, ini hanyalah antara beberapa faktor yang boleh menjadi punca kelewatan perkembangan.

Apa yang kita boleh lakukan sebagai mak ayah / penjaga adalah:

1. Sentiasa belajar, belajar dan belajar tentang ilmu perkembangan anak.
2. Rangsang perkembangan anak mengikut umurnya.
3. Selalu periksa perkembangan anak, kini semuanya di hujung jari.
4. Dapatkan bantuan segera sekiranya perasan anak terlewat 6 bulan dari umurnya. Semakin cepat dapatkan rawatan, semakin cepat hasilnya.

Kita berusaha dahulu barulah bertawakal

Sumber: Maryam Jamadi, Terapis Cara Kerja (Pediatrik)

Published by
Wan Amy