Ajar anak menulis dan memegang pensel bukanlah perkara yang mudah seperti yang kita jangka. Kalau tak kena cara, anak boleh mengamuk dan kita juga lebih mudah putus asa. Hal ini mungkin menjadi lebih sulit jika anak sudah mencapai satu posisi yang ‘pelik’ untuk memegang pensel.
Memegang pensel bukan hanya melibatkan kemahiran motor halus anak, malah ia juga melibatkan kemahirannya untuk mengawal otot-otot pada tangan dan bahu. Dengan teknik yang sesuai untuk ajar anak menulis, mereka akan dapat melakukannya dengan baik walaupun secara santai.
Berikut antara perkongsian dari seorang ibu, Puan Aminah Hussain membantu anak-anaknya meningkatkan kemahiran koordinasi mata dan tangan.
Semasa hendak memasukkan anak saya ke tadika semasa umurnya 5 tahun, saya ada berjumpa dengan bakal gurunya. Bakal gurunya yang saya mesra dipanggil ummi beritahu, jika boleh ajarlah anak pegang pensil dengan betul dulu.
Jika datang dengan menggenggam pensil, nampak gaya ummi kena bekerja keras untuk melatih anak ini supaya mahir menulis dan membaca.
Pernah tak kita marah anak tuang air ke dalam cawan dan air tu tumpah? Sebenarnya anak kekurangan “eye-hand coordination skill” atau bahasa melayunya anak kekurangan kemahiran koordinasi mata dan tangan.
Bahasa lebih mudahnya ialah mata dan tangan menjalankan aktiviti serentak. Koordinasi mata dan tangan ini sangat diperlukan untuk anak kita pandai memegang pensil dan menulis.
Selain itu anak akan lebih mahir memasukkan sesuatu dalam bekas.
Banyak aktiviti mudah yang kita boleh main dengan anak dirumah. Salah satunya yg saya kongsikan pada gambar.Ini saya panggil main bola keranjang dalam rumah ini atau “indoor basketball”.
Boleh mula dari anak umur 2 tahun lagi. Gunakan apa yang ada dalam rumah saja. Bakul boleh, besen boleh dan sebagainya.
Sumber: Aminah Binti Hussain