Bersempena dengan Bulan Menabung SSPN yang lazimnya diadakan pada Oktober tahun ini, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah menganjurkan pelbagai aktiviti menarik bagi memeriahkan dan juga menggalakkan orang ramai untuk menabung.
Bertemakan Jom Jadi Superhero Anak Anda, satu majlis Penutup Bulan Menabung SSPN & Sambutan Hari Tabungan Sedunia 2020 telah dianjurkan secara atas talian oleh SSPN yang boleh ditonton di laman Facebook rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang sejam lebih majlis yang diadakan secara atas talian itu berlangsung. Lebih mengujakan lagi, para penonton turut berpeluang memenangi banyak hadiah menarik yang ditawarkan sempena majlis tersebut.
Bersama hos Muhammad Jihadullah dan diserikan lagi dengan hos bersama Sara Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Sarancak, antara aktiviti yang berlangsung adalah Share Paling Tinggi & Hadiah Istimewa, Buka & Tambah akaun simpanan dan Quizizz yang mana penonton berpeluang menjawab soalan-soalan mudah untuk memenangi hadiah menarik.
Selain aktiviti tersebut, pelbagai perkongsian menarik juga turut dipaparkan sepanjang majlis ini seperti perkongsian daripada Puan Norriza Muhammad Yusof dan juga Cikgu Mohd Fadli Salleh tentang manfaat membuat simpanan untuk tabung pendidikan anak-anak di SSPN.
Majlis tersebut turut menampilkan Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN bercakap mengenai Bulan Menabung yang dianjurkan oleh PTPTN dan SSPN sepanjang bulan Oktober ini.
Ubah Persepsi Masyarakat Tentang PTPTN
Menurutnya melalui bulan menabung yang dianjurkan ini bertujuan untuk mengubah persepsi masyarakat tentang PTPTN.
“Sempena Bulan Menabung yang dianjurkan oleh SSPN ini kita hendak ubah persepsi masyarakat yang mana ramai menganggap PTPTN adalah agensi yang memberikan pinjaman pendidikan kepada sebuah agensi yang menawarkan skim tabungan SSPN kepada pendidikan anak-anak.”
“Apa yang boleh kami katakan, objektif sebenar kami untuk mengubah persepsi tersebut telah sampai kepada orang ramai. Walaupun masih tidak menyeluruh tetapi kita akan teruskan usaha-usaha untuk membudayakan simpanan di kalangan masyarakat Malaysia.”
Encik Ahmad Dasuki juga turut berkongsi manfaat-manfaat lain bagi pendeposit yang membuat simpanan dalam SSPN dan menggalakkan orang ramai untuk membuka akaun simpanan untuk tabungan masa depan anak-anak di lebih 65 cawangan PTPTN yang sedia ada.
Dalam pada itu, walaupun berlangsung secara atas talian, Majlis ini turut memaparkan amanat daripada Encik Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN dalam ucapannya sebelum majlis berakhir.
Ibu Bapa Perlu Bijak Urus Wang Demi Masa Depan Anak-anak
Dalam ucapannya itu, Encik Wan Saiful Wan Jan, menyatakan bahawa perlaksanaan Program Bulan Menabung SSPN 2020 tahun ini membuktikan komitmen dan kesungguhan PTPTN memberikan galakan dan dorongan untuk membudayakan perancangan pendidikan tinggi pada rakyat Malaysia meskipun negara masih dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.
“Walaupun seluruh dunia sekarang dilanda Covid-19, simpanan pendidikan untuk masa depan anak-anak tetap perlu diteruskan. Anak-anak kita masih belum matang untuk memikirkan kepentingan simpanan untuk hari mendatang.
“Tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’ dijadikan pilihan untuk Bulan Menabung SSPN tahun 2020. Ini kerana ibu bapa lah role model terbaik untuk anak-anak dari semua aspek, tidak hanya menjadi role model dalam amalan dan perlakuan seharian serta menyediakan keperluan asas, tetapi menyediakan keperluan untuk melanjutkan pengajian juga tidak kurang pentingnya.
“Ibu bapa perlu meningkatkan kemahiran pengurusan aliran tunai dan langkah utama yang perlu dilakukan ialah dengan mula membuat penabungan atau simpanan untuk anak-anak seawal usia mereka. Ibu bapa yang bijak dan menabung seawal usia anak adalah Superhero kerana mereka merupakan individu yang akan menjadi ikutan kepada anak-anak dan menyediakan ruang kejayaan kepada anak-anak mereka.”
Tambahnya lagi, sasaran RM110 juta deposit sepanjang Bulan Menabung SSPN 2020 telahpun dicapai pada 28 Oktober dengan jumlah deposit yang diterima sebanyak RM147.67 juta atau 134.24% berbanding RM110 juta yang disasarkan.
Ujar beliau lagi, usaha penabungan tidak hanya tertumpu pada Bulan Menabung SSPN sahaja, malah ia turut disambut dengan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Oktober. Ia membawa erti yang amat besar untuk ibu bapa dan rakyat Malaysia umumnya kerana SSPN ini sememangnya disediakan oleh Kerajaan khusus untuk rakyat Malaysia.
Wan Saiful berkata Bulan Menabung SSPN dengan Hari Tabungan Sedunia amat signifikan kerana kedua-duanya membawa kepada budaya penabungan yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu. Atas semangat ini, PTPTN memilih Bulan Oktober untuk menganjurkan Bulan Menabung SSPN sebagai cara tahunan untuk meraikan sempena Hari Tabungan Sedunia.
“Hanya warganegara Malaysia sahaja yang berpeluang membuka atau membuat simpanan di dalam SSPN ini yang merupakan instrumen simpanan pendidikan yang terbaik Malaysia. Untuk itu, segeralah rebut peluang ini dengan menjadikan hari ini sebagai permulaan untuk anda membuat simpanan demi masa hadapan anak-anak anda.”