Mak Ayah Bakal Bekerja Boleh Tarik Nafas Lega, MKN Keluarkan SOP Untuk Taska Kembali Beroperasi

Share

Selepas pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri semalam untuk membuka hampir keseluruh sektor ekonomi bermula 4 Mei ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengeluarkan SOP kepada pengusaha Taska untuk mereka beroperasi semula.

Dengan pembukaan semula taska-taska, ibu bapa yang bekerja mampu menarik nafas lega untuk kembali bekerja setelah Perdana Menteri mengumumkan sektor awam dan swasta akan mula beroperasi pada Isnin nanti.

Dalam SOP Taska yang dikeluarkan oleh MKN, terdapat tiga peringkat tindakan sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 yang perlu dibuat oleh pengusaha taska iaitu sebelum memulakan operasi, semasa operasi dan juga selepas beroperasi.

Sebelum memulakan operasi:

  • Pengusaha, guru dan kakitangan Taska perlu disahkan bebas Covid-19
  • Premis Taska mesti dibersihkan dan dinyah kuman.
  • Guru dan kakitangan Taska perlu diberikan latihan langkah-langkah kebersihan dan keselamatan, serta pelaksanaan aktiviti
  • Mengisi Borang Akuan Pengisytiharan Kesihatan oleh kanak-kanak, ibu bapa/ penjaga dan kakitangan sebelum Taska beroperasi. Langkah Pencegahan Penularan Covid-19 (semasa operasi)

Semasa operasi:

  • Kakitangan atau kanak-kanak yang menunjukkan gejala dilarang daripada berada di Taska dan perlu diasingkan untuk dirujuk bagi nasihat perubatan.
  • Kakitangan/ kanak-kanak yang pernah menjadi kontak rapat dengan orang disahkan positif Covid-19 atau baru pulang dari luar negara tidak dibenarkan hadir ke Taska dalam tempoh 14 hari.
  • Melaksanakan saringan sebelum masuk/ semasa berada/ sebelum balik setiap hari bagi mengesan gejala berkaitan Covid-19 seperti demam, batuk, sakit tekak atau sesak nafas. Kakitangan atau kanak-kanak yang mempunyai suhu badan 37.5° Celsius ke atas dilarang berada di Taska.
  • Menjalankan proses sanitasi dan pembasmian kuman di Taska setiap hari sekurang-kurangnya dua (2) kali sehari.
  • Pengusaha hendaklah menyediakan hand sanitizer
  • Meletakkan label penjarakan sosial seperti tanda jarak 1 meter di lantai khususnya di ruang makan, ruang tidur dan ruang membasuh tangan.
  • Penggunaan face mask dalam kalangan kakitangan sepanjang masa berada di Taska.
  • Melatih kanak-kanak Taska kepentingan menjaga kebersihan dengan kerap membasuh tangan dan menjaga jarak sosial.

Selepas operasi:

  • Menjalankan proses sanitasi dan pembasmian kuman di Taska.
  • Memaklumkan kepada ibu bapa/ penjaga untuk memandikan kanakkanak terlebih dahulu, dan mengelakkan kontak terus dengan warga emas di rumah setelah balik dari Taska.

Dalam pada itu, langkah yang perlu dilakukan sekirannya terdapat warga dalam Taska disahkan positif Covid-19 juga turut dinyatakan iaitu pengusaha Taska perlu:

  • Menutup Taska serta-merta.
  • Berhubung dengan Pejabat Kesihatan berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat.
  • Melakukan disinfeksi mengikut panduan yang ditetapkan oleh KKM.

Turut dinyatakan dalam SOP berkenaan adalah waktu beroperasi yang dibenarkan dan juga kapasiti pekerja untuk setiap taska.

 

 

Published by
SAHR