Mak Ayah Yang Hati Kering Dengar Anak Menangis Letak Dalam Car Seat, Anda Hebat!

Share

Ibu bapa yang sayangkan anak akan memastikan keselamatan anak-anak walaupun perlu diganti dengan nyawa sekalipun. Wang ringgit yang dikeluarkan untuk membeli ‘car seat’ adalah terlalu kecil berbanding nilai nyawa seorang anak.

Tidak ada ibu ayah yang sanggup melihat anaknya menangis. Menangis itu hanyalah sementara sebelum anak biasa. Bila sudah biasa, dia tidak akan meragam lagi. Ibu bapa yang berjaya melatih anak supaya biasa menggunakan ‘car seat’ adalah ibu bapa yang PEDULI, PROAKTIF DAN BIJAK.

PEDULI kerana prihatin dengan keselamatan anak.
PROAKTIF kerana berusaha mengambil langkah keselamatan sebelum berlaku sesuatu.
BIJAK kerana menggunakan pelbagai kaedah, teknik dan cara agar anak membiasakan diri.

Jangan jadi ibu bapa yang PERMISIF DAN BANYAK ALASAN.

Tiada kompromi dalam soal keselamatan. Sudah terlalu banyak kes kematian kanak-kanak di atas jalan raya disebabkan keengganan ibu bapa memastikan anak memakai tali pinggang dan memastikan anak menggunakan ‘car seat’.

Kita mungkin memberi alasan yang kita memandu dengan perlahan maka kita tidak membahayakan anak yang diriba. TETAPI bolehkah kita pastikan orang lain juga memandu dengan perlahan dan tidak merempuh kereta kita hingga anak kita tercampak keluar?
Tidak boleh bukan?

Penggunaan ‘car seat’ akan diwajibkan ke atas semua kenderaan peribadi pada tahun 2020 nanti.

Kepada suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga, masukkanlah ‘car seat’ dalam bajet keluarga selain dari bajet honeymoon dan bajet Jalan-Jalan Cari Makan.

Kepada yang bakal menjadi ibu ayah tidak lama lagi, pastikan anda sudah pun bersiap sedia dengan ‘car seat’ untuk si jantung hati. Jika belum, jangan lupa ya. Saya meletakkan bayi saya yang baru lahir dan baru keluar hospital dalam ‘car seat’ dan dia sangat cepat membiasakan diri.

Kepada ibu ayah yang mempunyai ‘hati kering’ mendengar anak protes dan menangis apabila diletakkan di atas ‘car seat’, syabas diucapkan kepada anda kerana menjadi ibu bapa yang peduli, proaktif dan bijak.

PERCAYALAH, itu hanyalah sementara. Lama-kelamaan dia ok insya Allah. Saya yakin ramai yang boleh memberikan ‘testimoni’.

Ajal dan maut di tangan Allah SWT, tetapi adakah kita berusaha untuk memastikan keselamatan anak?

Sumber: Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Published by
Wan Amy