Mak ayah tentu gembira kalau anak-anak yang dah semakin membesar suka belajar dan sangat cintakan ilmu.

Ada bermacam tip dan kaedah yang ramai ibu bapa kongsikan untuk merangsang anak suka belajar.

Kalau anda sedang usahakan untuk mendidik anak gemar buku dan minat belajar bolehlah ikut tip yang dikongsi oleh Dr Roslin Muhammad Taha

7 TIPS DIDIK ANAK CINTAKAN ILMU & MINAT BELAJAR

1. Anak-anak seringkali memerhatikan perlakuan kita sebagai ibubapa. Berikan mereka contoh yang terbaik, “lead by example”. Sediakan waktu khas untuk membaca bersama seperti amalan membaca “bedtime story” dan sediakan banyak bahan bacaan ilmiah di dalam rumah mahupun di dalam kereta.

2. Pada hari minggu, bawa anak bersiar-siar. Perkenalkan mereka kepada dunia luar dan ajar mereka ilmu tentang alam sekitar. Sekiranya menghala ke pusat membeli belah, jangan lupa singgah ke kedai buku dan hadiahkan mereka sebuah buku setiap seorang.

Ads

3. Mulakan pada usia muda. Apabila mereka berumur setahun, berikanlah buku sebagai hadiah harijadi. Mulakan dengan memperkenalkan warna, abjad dan nombor. Kelazimannya, saya akan pastikan anak-anak saya sudah mengenal nombor dan abjad sebelum memulakan persekolahan di tadika. Dengan cara ini, guru-guru mudah mengajar phonics apabila mereka mula bersekolah.

4. Apabila mereka telah mula membaca, bawa mereka ke perpustakaan awam dan perkenalkan mereka kepada dunia buku. Anak-anak yang berusia 3-4 tahun sangat gemarkan cerita-cerita haiwan.

Anak-anak yang berusia 5-6 tahun sudah boleh diperkenalkan kepada ilmu sains. Bila subjek sains diperkenalkan dalam keadaan santai sebegini, mereka akan merasa mudah apabila ianya dipelajari di sekolah nanti.

Yang telah saya nyatakan di atas hanyalah contoh, perlu ditekankan bahawa setiap anak adalah berbeza. Sebagai ibubapa kita hanya perlu memupuk dan membimbing minat mereka.

Ads

Mak Ayah Yang Nak Anak Suka Belajar Boleh Cuba Buat Tip Dikongsi Doktor Ini

5. Catatkan tahap pembelajaran setiap anak-anak, syllabus tidak perlu mengikut apa yang diajar disekolah, setiap anak mempunyai kemampuan dan bakat yang tersendiri.

Sebagai contoh;
Anak saya Jada yang berusia 3 tahun masih memerlukan bantuan dengan nombor 1-20. Umar yang berusia 6 tahun pula sangat meminati bidang astronomi dan memerlukan latihan tambah tolak dalam matematik. Apabila saya memberikannya hadiah buku latihan matematik Star Wars, dia sangat teruja.

Jad yang berusia 13 tahun pula perlukan bimbingan dalam bidang penulisan dan rekacipta. Alyssa yang berusia 15 tahun pula perlu bimbingan dari segi opsyen dan pemilihan kerjaya yang bakal diceburinya nanti.

Ads

Catatan sebegini memudahkan kita untuk membimbing anak-anak mengikut tahap mereka masing-masing. Setiap anak mempunyai keperluan tersendiri dan catatan ini dapat memastikan kita lebih sistematik dalam merancang pembelajaran mereka.

6. Minat anak-anak boleh dipupuk dan dibimbing. Walau bagaimanapun, penggunaan gajet dan televisyen perlu dikawal agar tidak berlebihan sehingga membantutkan proses pembelajaran dan menyekat potensi mereka.

7. Terdapat pelbagai jenis ilmu di dunia dan telah ada banyak ilmu yang dibukukan dalam pelbagai jenis bahasa. Sebaiknya sebelum kita menuntut ilmu dunia, kita mulakan dengan menuntut ilmu akhirat.

Sebelum membaca buku-buku karangan manusia, kita mulakan setiap hari dengan membaca kalam Allah, ayat-ayat suci Al-Quran. Sebagaimana kita perlu membaca, memahami, mentadabbur dan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran, begitu juga kita perlu mempelajari dan memahami ilmu-ilmu dunia dengan lebih mendalam.

Proses ini merangkumi satu lagi cabang ilmu yang dinamakan “Critical Thinking”, iaitu satu kemahiran yang saya rasakan amat penting buat anak-anak kita.

Sumber: Dr. Roslin Mohd. Taha

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI