“Anak hampir sawan. Mak beritahu badan Mateen keras kaku,” kata pelakon Yana Samsudin mengenai situasi yang berlaku kepada anaknya, Aisy Mateen sebelum dimasukkan ke hospital di Batu Pahat, Johor semalam.
Yana menerusi akaun Instagram berkongsi detik cemas yang berlaku terhadap anaknya ketika dia dan suami Fadzil Zahari keluar atas urusan kerja.
“Rabu lalu sekitar jam 3.30 pagi kami masih lagi gigih nak habiskan satu perjumpaan di Johor Bahru. Namun, tiba-tiba dapat satu panggilan dari rumah di Yong Peng. Memang pelik kalau dapat panggilan awal pagi. Mesti ada kecemasan.
“Rupanya betul, Mateen demam panas. Ketika itu, kami terus minta Mateen dibawa ke klinik 24 jam sementara kami dalam perjalanan bertemu Mateen.
“Nasib baik Klinik Kesihatan Yong Peng dekat. Kami sampai sana jam 5 pagi dan Mateen sudah diberikan ubat,” katanya.
Menurut Yana, memandangkan Mateen hampir terkena sawan dia kini perlu lebih berhati-hati.
“Saya ingin nasihatkan pada semua, tak kiralah sudah ada anak, bercucu ataupun tak kahwin lagi. Mereka yang mahu berjalan jauh atau nak tinggalkan anak dengan penjaga, bawa ubat serta tolonglah bagi ubat ikut masa.
“Jika panas tak juga kebah, jangan selimutkan tapi beri ruang udara panas untuk keluar. Kalau ada anak anak yang pernah kena sawan pertama kali, peluang untuk kena kali kedua sangat tinggi.
“Kalau terkena juga sawan terus ke hospital, jangan tangguh lagi. Takut tak bernafas. Allahuakbar sedihnya kalau berlaku.
“Apa yang berlaku kelmarin buat kami panik,” tulisnya lagi.
Sumber: ig Yana Samsudin