Hanya dengan 4 cara ibu ini mampu membuatkan anaknya menghabiskan seluruh surah pada hari tersebut. Kanak-kanak kebiasaanya susah untuk menghabiskan sesuatu surah semasa mengaji kerana mereka sering terganggu dengan gangguan luar seperti masa bermain, menonton rancangan kesukaan dan sebagainya.
Untuk menggerakkan seorang anak supaya mengaji atau belajar, ibu bapa tidak boleh melakukan sebarang paksaan kerana dikhuatiri anak tersebut melakukan sesuatu perkara kerana terpaksa dan dipaksa. Cara yang digunakan oleh Puan Siti Aminah Sulaiman melalui perkongsianya dia facebook boleh dijadikan panduan. Ikuti perkongsian ini;
“Mak, Muiz nak baca sampai ayat 46 je, tak nak baca sampai habis..” Tiba-tiba anak bersuara ketika kami sedang Halaqah Surah al Kahfi Jumaat yang lepas
Saya menjawab sambil tersenyum.. ” ok sayang, no problem..terpulang pada Muiz..”
Anak lelaki terus memandang saya dan bertanya.. “Mak nak baca sampai ayat berapa?”
Saya diam sambil merenung Quran yang terbuka didepan saya: “Mak nak habiskan baca seluruh surah”
Tiba-tiba saya jadi sayu..
“Sebab mak banyak dosa..Mak takut, muiz. Mak harap Allah bagi mak cahaya supaya mak nampak bila jalan kat padang mahsyar nanti. Nanti kat padang mahsyar keadaan dia gelap sangat.. Ada yang berjalan guna tangan, ada yang jalan guna muka..ada yang mengesot..
mak tak tahu mak macam mana nanti..Mak harap Allah bagi mak cahaya ni supaya mak boleh jalan sendiri..”
Laju pula air mata kali ni macam sedang kupas bawang
“Sebab tu mak nak baca seluruh surah ni.. Allah dah janji nanti siapa yang baca akan dapat cahaya terang sangat.. Cahaya tu terang sangat sampai orang munafik akan kejar kita sebab nak mintak sikit cahaya tu.. Haritu semua orang akan berjalan dalam gelap gelita..Muiz tolong doakan mak selamat ye”
Anak yang dari tadi khusyuk dengar cerita sayu mak dia tiba-tiba bersuara: “Mak, Muiz nak baca sampai habis hari ni Surah Al Kahfi”
“Allahuakbar” jawab saya sambil peluk anak lelaki.. Terus saya usap rambutnya sambil berdoa:
اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
Beginilah saya dorong anak saya membaca al Quran tanpa sebarang reward seperti main game atau hadiah fizikal. Sesekali tiada salahnya beri ganjaran tapi jangan dibiasakan.
Yang kerap saya lakukan untuk dorong anak saya ialah:
1) Suburkan jiwa anak dengan Hadith Sahih
Ceritakan fadilat kelebihan surah-surah yang dibaca.
kenapa baca al Mulk sebelum tidur?
kenapa baca Sajdah?
kenapa baca Al Quran?
Kenapa perlu tadabbur al Quran?
Bina kefahaman anak kenapa dia perlu selalu baca dan tadabbur al Quran
Semua ni ada diceritakan dalam Hadith Nabi Muhammad saw
2) Jangan paksa
Jangan paksa anak habiskan seluruh surah bila nampak mereka tak minat lagi nak habiskan bacaan Al Quran. Tapi dorong mereka. Saya sentiasa berlaku fleksibel dengan permintaan anak-anak saya apabila tiba sesi Quran
Bila mereka nak berhenti, saya tidak akan paksa. Tapi saya akan beri “offer” yang menarik melalui hadith nabi Muhammad saw. Dalam erti kata lain saya seolah memberi gambaran pada anak yang mereka akan terlepas satu ganjaran yang besar yang Allah nak beri pada mereka jika mereka stop baca Quran.
Biasa anak tidak mahu lepaskan “offer” dari Allah kerana fitrah anak-anak memang suka kepada kebaikkan
3) Tunjukkan kasih sayang kita
Apabila sesi baca Quran, ekspres sebanyak mungkin kasih sayang kita pada mereka, peluk dan cium anak usap mereka sambil ucap kata-kata yang baik. Bina memori penuh kasih sayang setiap kali anak menatap ayat-ayat Allah. ketepikan amarah dan rotan.
4) Berdoa didepan anak
Berdoa dengan nada yang cukup kuat untuk anak dengar. Saya sering doakan anak dengan doa yang Nabi baca untuk Ibnu Abbas, saya usap ubun-ubun anak sambil baca doa ini.
اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
“Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil”
Saya bacakan sekali terjemahannya supaya lebih bermakna doa itu. Saya juga akan angkat tangan berdoa supaya Allah jadikan Al Quran seperti taman-taman bunga dalam hati kami seluarga, Al Quran sebagai penghilang kesedihan kami, dan Allah pilih anak-anak keturunan kami sebagai orang yang belajar dan mengajar Al Quran.
Inilah doa yang selalu saya ulang-ulang setiap petang Jumaat ketika baca Surah Al Kahfi bersama anak-anak. Segala puji bagi Allah yang beri ilham kepada saya untuk terus mendidik anak-anak, tanpa petunjuk dan rahmatNya saya tidak akan mampu
untuk terus sabar dalam membesarkan anak-anak.
Semoga Allah pilih kita dan zuriat keturunan kita sebagai Hamalatul Quran, dan dimatikan sebagai Pencinta al Quran dan kelak dibangkitkan dengan mendapat Syafaat al Quran dengan Izin Allah.
Sumber: Siti Aminah Sulaiman
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI