Kebanyakan ibu hamil terutamanya yang sedang hamil pertama kali, akan melakukan kesilapan semasa kehamilan. Walaupun anda sudah bersedia dengan semua aturan makanan atau senaman, anda masih berpotensi untuk melakukan kesilapan.
Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesilapan biasa yang dilakukan oleh ibu hamil.
Makan dalam kuantiti yang banyak
Makan dalam kuantiti yang banyak kononnya untuk anda dan juga bayi bukanlah idea yang baik. Mempunyai berat badan yang berlebihan akan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan yang lain. Anda cuma perlu untuk mengambil sekurang-kurangnya 300 kalori daripada pengambilan yang normal bagi memastikan kandungan anda membesar dengan baik. Sentiasa amalkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, telur serta selalu pastikan anda dalam keadaan berhidrasi.
Pengambilan ubat-ubatan
Pengambilan ubat-ubatan mahupun sesetengah rawatan kecantikan sebenarnya mampu menyebabkan ketidaknormalan pada bayi anda. Oleh itu, anda seharusnya tidak langsung mengambil sebarang ubat-ubatan semasa sedang hamil. Jika anda masih memerlukan sebarang pengambilan suplemen, berbincanglah terlebih dahulu dengan doktor. Dan jika anda mendapati berlakunya sebarang perubahan yang tidak dijangka pada badan anda, segera kembali berjumpa doktor untuk memeriksa dan menukar ubat-ubatan anda.
Ads
Kurang tidur
Kekurangan tidur akan menyebabkan keletihan. Sebagai ibu hamil, anda perlu mendapatkan tidur yang secukupnya untuk menghadapi perubahan hormon dan fizikal pada badan anda. Ini bertujuan menyediakan anda untuk menjalani proses kelahiran kelak. Namun harus diingatkan agar anda tidak terlebih tidur kerana ini hanya akan menyebabkan badan anda terbiasa dengan tabiat buruk ini dan berlarutan sehingga waktu selepas bersalin.
Tidak berbual dengan bayi dalam kandungan
Keletihan sememangnya tidak dapat dielakkan ketika anda sedang hamil. Namun begitu, anda tidak seharusnya mengabaikan bayi dalam kandungan anda. Sebaliknya, belailah perut anda secara lembut dan perlahan-lahan sambil berbual dengan bayi anda. Ini akan membantu anda dan bayi mengeratkan lagu hubungan anda berdua apabila bayi anda sudah lahir kelak.
Tidak makan makanan yang disukai
Sebagai contoh, jika anda seorang yang gemar makanan manis, tidak mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula yang agak banyak akan menyebabkan anda berasa sangat tertekan. Sebenarnya, anda tidak perlu untuk mengelak terus makanan yang anda gemari sebaliknya anda hanya perlu mengurangkannya.
Ads
Tidak bersenam
Anda mungkin beranggapan bahawa anda sudah cukup melakukan senaman hanya dengan menaiki tangga di pejabat atau melakukan kerja-kerja rumah. Aktiviti-aktiviti ini adalah bagus untuk kesihatan anda namun ia adalah tidak mencukupi. Anda perlu melakukan senaman yang sebetulnya untuk mengelakkan tekanan, melancarkan perjalanan darah demi menyediakan tubuh badan anda untuk proses kelahiran dan menjamin perkembangan bayi. Berbincanglah terlebih dahulu dengan doktor anda berkenaan rancangan senaman anda untuk memastikannya selamat untuk dilakukan oleh ibu hamil.
Membuat keputusan terburu-buru
Melahirkan bayi merupakan suatu pengalaman yang sangat berharga. Oleh itu, fikir masak-masak sebelum memutuskan tempat kelahiran bayi dengan membuat senarai tempat kelahiran terbaik yang mudah untuk anda kunjungi.
Tidak menghadiri kelas berkaitan kehamilan
Jika anda merupakan seorang ibu yang hamil buat pertama kali, sila hadiri kelas-kelas yang mengajar anda berkenaan kehamilan dan kelahiran bayi. Kelas-kelas ini sangat membantu dalam memberi informasi kehamilan, penjagaan serta persiapan untuk bersalin.
Ads
Jika anda melakukan mana-mana kesilapan yang dinyatakan ini, jangan tertekan. Anda masih mempunyai masa untuk memperbaikinya sekaligus menyiapkan diri untuk proses kehamilan dan kelahiran yang lebih terjamin kelak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam bekerja dan menguruskan rumah tangga, tanpa sedar seseorang wanita itu cenderung unuk menghadapi stres. Stres bukan sekadar keletihan badan, tetapi lebih kepada mental emosi. Sebenarnya stres boleh mengganggu tahap kesuburan seseorang wanita. Kebanyakan wanita yang bekerja dalam profesion yang banyak memerlukan berfikir, selalunya akan berdepan dengan tekanan.
Melalui penulisannya di blog, Dr Zubaidi Hj Ahmad berkongsi kisahnya bersama pesakit yang tidak datang haid selama tiga bulan, tetapi bukan kerana mengandung. Menurut pesakit tersebut, dia mengalami tekanan kerja serta desakan dari ibu mertuanya yang meminta dia segara hamil.
Menurut Dr Zubaidi lagi, ramai yang tidak menyangka tekanan emosi dan fizikal ketika bekerja dapat mempengaruhi kesuburan seseorang. Keletihan kerana bekerja selama 10-12 jam dan tekanan dari ketua dan perlu menguruskan rumah tangga menyebabkan wanita sangat letih. Keupayaan tubuh dan minda berbeza antara satu sama lain. Mungkin sesetengah wanita boleh hadapi tekanan dengan baik, tetapi ada yang tidak.
Dalam otak manusia, terdapat satu kelenjar besar yang dinamakan sebagai hypothalamus. Ia berfungsi untuk mengawal emosi, selera makan dan mengeluarkan hormon FSH dan LH yang merangsang pengeluaran ovum dari ovari. Oleh kerana fungsinya saling berhubungan antara satu sama lain, gangguan emosi akan mempengaruhi pengeluaran hormon FSH dan LH lalu mempengaruhi sama ada kitaran haid pada masa ini mengalami ovulasi atau tidak.
Tahap stres yang keterlaluan pada seorang wanita akan menyebabkan hormon tidak dikeluarkan dengan baik dan seterusnya gagal mengeluarkan telur dari ovari. keadaan ini dinamakan sebagai stress-induced anovulation.
Jika kitaran haid kali itu tidak mengalami ovulasi, bermakna tiada ovam dikeluarka dan tidak dapat disenyawakan. Ini bermakna kehamilan adalah mustahil. Selain itu stres juga akan mengganggu emosi pasangan, sam ada lelaki atau perempuan.
Emosi yang terganggu akan menyebabkan kurang minat terhadap seks atau mengurangkan keinginan untuk ‘bersama’ yang mungkin mengganggu kebarangkalian untuk hamil.
Bagi lelaki yang mengalami stres pula boleh menyebabkan mereka ‘mati pucuk sementara’ (temporary ercetile dysfunction).
Stres dibahagikan kepada dua jenis:
1. Stres yang datang secara tiba-tiba (acute stress)
2. Stres yang selalu berlaku (chronic stress)
Untuk stres yang kronik, selalunya tubuh sudah terbiasa dan lali dnegan keadaan itu. Sebagai contoh, wanita bekerja dengan pelanggan dan sudah biasa dengan kesibukan dan menerima stres itu, maka tubuhnya tidak menghadapi masalah untuk ovulasi (mengeluarkan telur dari ovari). Namun jika stress berlaku secara tiba-tiba seperti berlaku kematian dalam keluarga, gangguan emosi yang serius seperti ini boleh menyebabkan kitaran haid yang tidak menentu dan ovari tidak mengeluarkan telur.
Untuk mengetahui tahap stres yang dialami terlalu berat, lendiran yang keluar hanya sedikit dan beberapa hari sahaja. Berbeza dengan wanita yang bebas stres atau kurang stres, menjelang waktu ovulasi akan mengalami lendiran jernih keluar dari faraj dan banyak. Jika haid lewat beberapa hari tiada masalah kerana hanya akan mengganggu sedikit pengeluaran hormon (dan tidak menyebabkan ketidaksuburan).
Bolehlah buat hubungan seks bersama suami seperti biasa. Tetapi sekiranya kitaran haid terhenti selama beberapa bulan, pemeriksaan lengkap harus dilakukan. Lakukan pemeriksaan dengan doktor dan elakkan membeli produk kesuburan yang kononnya boleh membantu kehamilan.
Untuk hamil, sebaik-baiknya ibu-ibu perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Sekiranya baru bersalin, pastikan tubuh pulih sepenuhnya dan menyusukan bayi. Doktor Muhammad Izzat menerangkan mengenai menggunakan kaedah perancangan keluarga untuk menjarakkan kehamilan dan jenis-jenisnya.
Apabila seorang ibu hamil, ia bermakna tubuhnya akan bekerja keras untuk menyokong perkembangan janin. Sekiranya tidak bersedia dari segi mental dan fizikal, maka ia mungkin boleh menggugat proses kehamilan dan meningkatkan risiko pelbagai komplikasi.
Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan berkongsi info mengenai kaedah merancang keluarga yang boleh digunakan untuk menjarakkan kehamilan.
Perancangan keluarga perlu bagi setiap pasangan supaya setiap kehamilan itu dihargai. Perancangan keluarga perlu untuk menjarakkan anak, supaya ibu dapat pulih sepenuhnya.
SEBAB PERANCANG KELUARGA PERLU
Sekiranya ada luka jahit sewaktu bersalin, luka dapat pulih dengan sempurna. Ia juga dapat menggalakkan penyusuan susu ibu yang lebih lama dan menguatkan ikatan kasih sayang antara ibu dan anak. Pastikan anda betul-betul bersedia untuk hamil lagi, bukannya hamil secara ‘tidak sengaja’
Kebanyakan wanita keliru dengan kaedah untuk merancang keluarga. Sekiranya ujian air kencing menunjukkan positif hamil, sudah terlambat untuk melakukan kaedah perancangan keluarga.
Setiap keluarga berhak mempunyai bilangan anak yang mereka idamkan, tetapi jarak diantara satu anak dengan anak yang lain boleh dirancang dengan menggunakan kaedah-kaedah perancang keluarga
JENIS KAEDAH PERANCANG KELUARGA
Berikut, merupakan antara kaedah yang boleh digunakan. Sila pastikan anda memahami setiap kaedah dan risikonya sebelum membuat keputusan.
Anda boleh gunakan kaedah-kaedah pencegah kehamilan berikut ketika anda masih menyusukan bayi:
Kondom untuk lelaki atau wanita;
Pil mini;
Suntikan;
Implan;
Alat intrauterine (IUD)
#1 KONDOM
Kondom adalah kaedah yang paling mudah digunakan, samada anda masih menyusu badan ataupun tidak. Kondom untuk wanita diletakkan di dalam faraj sebelum melakukan hubungan kelamin. Kondom untuk wanita mungkin tidak begitu selesa berbanding kondom untuk lelaki. Jika digunakan dengan betul, kondom untuk lelaki adalah 98 peratus berkesan dan kondom untuk wanita 95 peratus berkesan.
Anda mungkin dapati faraj anda sedikit kering selepas bersalin. Jika anda mahu bersama suami tetapi rasa kurang selesa kerana kekeringan, cuba gunakan jel pelincir. Jeli ini haruslah larut air (water-based) supaya ia tidak membocorkan kondom.
#2 PIL MINI (MINI PILL)
Anda boleh guna pil mini jika anda masih menyusukan bayi kerana ia tidak mengganggu bekalan susu anda. Anda boleh mula mengambilnya 21 hari selepas bersalin.
Pil mini juga dikenali sebagai pil progestin (progestogen-only pill – POP). Ia mengandungi hormon progesterone sintetik . Pil mini adalah lebih daripada 99 peratus berkesan. Namun untuk ia memberi kesan seperti ini, anda perlu mengambilnya pada waktu yang sama setiap hari. Ini boleh jadi sukar jika anda sibuk menjaga bayi yang baru lahir. Mungkin tidak sesuai untuk wanita yang pelupa dan seumpama denganya.
#3 SUNTIKAN
Suntikan berkesan selama beberapa minggu. Terdapat dua jenis suntikan:
Depo-Provera, yang berkesan selama 12 minggu
Norethisterone – yang berkesan selama 8 minggu
Jika anda aktif menyusu badan, sebahagian kecil progestogen akan dirembeskan ke dalam susu ibu. Walaubagaimanapun kuantiti yang sedikit ini tidak akan membahayakan bayi anda.
Adalah lebih baik untuk menunggu sehingga 6 minggu selepas bersalin sebelum mula mengambil suntikan. Ini bagi mengurangkan kemungkinan haid anda jadi tidak menentu dan darah keluar dengan banyak. Masalah pendarahan adalah salah satu keburukan kaedah ini.
Kaedah suntikan semakin popular kebelakangan ini kerana keberkesanannya yang tinggi (lebih daripada 99 peratus) dan mudah untuk didapati. Tetapi jika anda mahu hamil lagi dengan segera selepas berhenti menggunakan pencegah kehamilan, kaedah ini mungkin tidak sesuai untuk anda. Hal yang demikian kerana kesuburan anda akan mengambil masa beberapa bulan untuk kembali sediakala.
#4 IMPLAN
Kaedah implan kekal selama tiga tahun, jadi anda perlu fikir masak-masak samada ini adalah kaedah yang sesuai untuk anda. Dalam kaedah implan, Nexplanon yang berupa tiub plastik fleksibel yang kecil dan nipis bersaiz kira-kira 4 cm panjang dan berdiameter 2mm akan dimasukkan ke bawah lengan. Tiub ini mengandungi hormone progestogen. Anda boleh mengambil implan 21 hari selepas bersalin. Anda masih boleh menyusu badan kerana hanya sedikit sahaja progestogen yang masuk ke dalam susu anda, dan selamat untuk bayi
Doktor akan memasukkan implan ini ke bawah lengan anda. Ia boleh dikeluarkan apabila anda mengambil keputusan untuk menukar kaedah mencegah kehamilan atau apabila anda mahu cuba untuk hamil lagi. Kaedah implan berkesan lebih daripada 99 peratus.
#5 ALAT DALAM RAHIM
Alat dalam Rahim (intrauterine device) atau IUD boleh digunakan selama 3 hingga 5 tahun bergantung kepada jenis yang digunakan.
Anda boleh mula menggunakan IUD pada bila-bila masa daripada empat minggu selepas bersalin. Doktor atau jururawat akan memasukkannya untuk anda. Anda boleh menggunakan IUD samada anda bersalin secara normal atau caesarean. Keberkesanan IUD adalah lebih daripada 99 %
Jangan Terlalu AWAL
Jangan Terlalu LEWAT
Jangan Terlalu RAPAT
PESANAN DOKTOR
Setiap Anak…..
Yang dianugerahkan oleh Allah adalah anak yang diingini dan ditunggu-tunggu oleh kedua ibu bapanya
Setiap Anak….
Berhak menikmati kehidupan berkeluarga yang aman dan bahagia
Setiap Anak….
Adalah anak yang dikehendaki dan disayangi
Setiap Kehamilan…
Adalah kehamilan yang dirancang, bukannya kehamilan secara ‘accident’
Perlukah ibu hamil mengambil sebarang vitamin ataupun suplemen kesihatan sepanjang kehamilan? Adakah bakal ibu masih tercari-cari apakah vitamin atau suplemen kesihatan yang sesuai semasa kehamilan?
Apabila disahkan hamil, seorang bakal ibu pastinya akan merujuk dan mencari sumber terbaik bagi bayi yang bakal dilahirkan. Salah satu soalan yang sering ditanya oleh ibu hamil ialah berkaitan keperluan pengambilan vitamin atau suplemen kesihatan.
Diet yang seimbang adalah cara terbaik bagi mendapatkan nutrient yang diperlukan oleh ibu dan bayi dalam kandungan. Justeru itu, ibu hamil dinasihatkan mengambil makanan daripada pelbagai sumber bagi memastikan bayi dalam kandungan mendapat semua vitamin dan mineral yang diperlukan. Ia juga bagi memastikan ibu mendapat tenaga yang diperlukan sepanjang kehamilan.
Walau bagaimanapun,terdapat sesetengah ibu hamil yang tidak dapat memakan makanan yang mengandungi nutrien tertentu atas sebab alahan, mual-mual atau loya, muntah yang teruk, dan sebagainya. Oleh sebab itu, pengambilan suplemen vitamin adalah disarankan bagi melengkapkan keperluan nutrien yang diperlukan, bukan sahaja untuk ibu malahan untuk tumbesaran bayi dalan kandungan.
Pengambilan vitamin dan suplemen kesihatan semasa hamil digalakkan kerana dapat mengurangkan risiko kecacatan bayi, kelahiran pramatang dan kekurangan berat bayi.
Apakah vitamin dan suplemen kesihatan yang penting bagi ibu hamil?
Secara amnya, ibu hamil disarankan mengambil vitamin dan suplemen mengikut keperluan dirinya atau saranan daripada doktor dan ahli farmasi. Beberapa vitamin dan suplemen yang biasanya perlu di ambil oleh ibu hamil adalah:
Asid Folik
Asid folik merupakan suplemen yang paling penting terutamanya semasa trimester pertama kehamilan. Pengambilan asid folik boleh mengurangkan risiko bayi mengalami kecacatan pada tulang belakang (kecacatan tiub neural). Kecacatan tiub neural iaitu spina bifida berlaku apabila saraf di dalam tulang belakang terdedah dan rosak.
Sebaik-baiknya asid folik diambil apabila seseorang wanita merancang untuk hamil. Asid folik dengan dos 400mcg perlu diambil setiap hari sehingga sekurang-kurangnya 12 minggu pertama kehamilan. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil makanan yang mengandungi folat (bentuk semulajadi Asid Folik) seperti sayur-sayuran hijau dan kekacang.
Dalam sesetengah keadaan, dos asid folik yang lebih tinggi iaitu sebanyak 5mg mungkin akan disyorkan oleh doktor. Sebagai contohnya:
Ibu hamil yang pernah mengalami masalah bayi dengan kecacatan tiub neural dalam kehamilan terdahulu.
Ibu hamil yang sedang mengambil sebarang ubat anti-epileptik.
Ibu hamil yang menghidapi penyakit kencing manis.
Zat Besi
Ibu hamil biasanya akan menjalani ujian darah yang akan menunjukkan sama ada kandungan zat besi dalam badan mencukupi ataupun tidak. Jika kandungan zat besi ibu hamil rendah, suplemen zat besi perlu diambil. Ini disebabkan jumlah darah dalam badan ibu semakin bertambah bagi menyokong tumbesaran bayi dalam kandungan. Badan akan menggunakan zat besi yang tersimpan dalam badan sekiranya ibu kurang mengambilnya dalam diet. Akibatnya, penyimpanan zat besi dalam badan akan berkurang dan boleh membawa kepada anemia.
Risiko kelahiran pramatang dapat dikurangkan dengan pengambilan zat besi. Selain itu, pengumpulan zat besi dalam badan juga penting kerana ibu akan kehilangan banyak darah semasa melahirkan. Bayi yang bakal lahir juga mempunyai simpanan zat besi dalam badan mereka. Zat besi ini berasal daripada darah ibunya melalui uri dan boleh bertahan sehingga 4 bulan.
Biasanya, jika ibu mengambil zat besi lebih daripada kuantiti yang disyorkan iaitu 30mg, ia boleh mengganggu saluran pencernaan seperti mengalami sembelit yang dialami oleh kebanyakan ibu hamil, loya ataupun cirit-birit. Suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi dalam kuantiti 30mg atau kurang biasanya tidak memberikan sebarang masalah berkaitan.
Ibu hamil disyorkan berbincang dengan doktor berkaitan ketidakselesaan yang dialami. Sekiranya ibu hamil tidak mengalami anemia, terdapat pilihan untuk bertukar kepada suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, bagi ibu hamil yang mengalami anemia dan tiada pilihan untuk bertukar kepada suplemen lain, disyorkan untuk minum jus prun ataupun mengambil buah-buahan dengan lebih kerap bagi mengatasi masalah sembelit.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi zat besi adalah seperti daging merah, kismis, kurma, kekacang dan sayur-sayuran.
Kalsium
Ibu hamil juga memerlukan kalsium bagi pembentukan tulang dan pertumbuhan gigi bayi terutamanya pada trimester ketiga. Kalsium juga penting sepanjang kehamilan bagi mengelakkan kekejangan otot kaki ibu. Sekiranya ibu hamil kekurangan kalsium, ia turut menyebabkan berlaku kekejangan otot dan kerosakan gigi kepada ibu itu sendiri.
Biasanya suplemen ini akan diperskripsikan untuk wanita hamil yang alah terhadap susu atau tidak dapat mengambil kalsium yang cukup dalam pemakanan harian mereka. Kekurangan kalsium yang serius boleh mendedahkan wanita hamil kepada risiko pre-eklampsia yang boleh membawa maut kepada ibu dan bayi dalam kandungan.
Pengambilan kalsium sehari yang dicadangkan untuk ibu hamil ialah dalam dos 1300mg (ibu berumur 14-18 tahun) dan 1000mg (ibu berumur 19-50 tahun).
Asid Lemak Perlu
Asid Lemak Perlu seperti asid lemak omega-3 DHA dan EPA juga penting bagi pembentukan otak dan saraf bayi dari peringkat awal pembentukan. Ikan adalah sumber utama DHA dan EPA tetapi ibu perlu berhati-hati supaya tidak makan terlalu banyak ikan yang mengandungi kandungan merkuri yang tinggi. Memandangkan omega-3 adalah sangat penting untuk bayi, adalah idea yang baik untuk berbincang dengan doktor sama ada ibu memerlukan suplemen tambahan yang mengandungi omega-3 ataupun tidak.
Vitamin D
Vitamin larut lemak seperti vitamin D turut membantu mengekalkan tulang dan gigi yang kuat kerana vitamin D memainkan peranan penting dalam mengekalkan tahap kalsium dan fosforus di dalam badan. Oleh itu, adalah penting bagi ibu hamil mengambil vitamin D tambahan bagi memastikan tulang yang sihat serta menyediakan bayi dengan vitamin D yang mencukupi bagi beberapa bulan pertama mereka. Dos yang dicadangkan ialah 200IU vitamin D setiap hari.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi vitamin D adalah ikan sardin, ikan mackerel, ikan salmon, telur dan daging.
Tips pengambilan vitamin dan suplemen
Sebelum membeli sebarang vitamin atau suplemen, baca label dengan teliti bagi memastikan dos dan kandungan yang tepat dan selamat dipilih agar sesuai dengan keperluan ibu.
Berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang penggunaan ubat serta gaya hidup bagi menentukan vitamin dan suplemen kesihatan yang terbaik dan selamat diambil.
Pastikan ibu hamil tidak mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selain yang dicadangkan oleh doktor ataupun ahli farmasi.
Bagi mengelakkan loya, cuba ambil suplemen kesihatan pada waktu malam sebelum tidur. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selepas makan bagi mengurangkan iritasi dengan perut kosong.
Bincanglah dengan doktor atau ahli farmasi mengenai multivitamin khas untuk kehamilan. Ia seharusnya mengandungi asif folik, zat besi, vitamin D dan kalsium. Dapatkan juga multivitamin yang mengandungi vitamin C, vitamin D, vitamin B seperti B6 dan B12, potassium, zink dan vitamin E.
Multivitamin bagi kehamilan tidak mengandungi retinol, iaitu vitamin A daripada sumber haiwan, kerana jika diambil dalam kuantiti yang banyak, retinol boleh menjadi racun kepada bayi dalam kandungan. Ibu hamil juga perlu mengelakkan makanan yang mengandungi kandungan vitamin A yang tinggi seperti hati dan juga produk berasaskan hati seperti minyak hati ikan (fish liver oil).
Bagaimanapun, vitamin A boleh diambil dalam bentuk provitamin A, iaitu betakarotin yang diperolehi daripada sumber tumbuhan dan selamat untuk bayi.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Tinggal lagi 6 hari sahaja webinar Mama Tak Penat Susukan Anak akan berlangsung. Tahniah & terima kasih admin ucapkan kepada 1000 orang yang sudah mendaftar sebagai peserta webinar terbesar ini. Mohon semua peserta untuk join Telegram Group Mama Tak Penat Susukan Anak di https://t.me/joinchat/a_u8xHQS-09mZDA1 kerana kita akan update segala info, itinerary webinar, pemenang cabutan bertuah, cara nak menang hadiah kuiz semasa webinar. Jadi penting ya untuk semua peserta join Telegram webinar.
Bagi yang belum daftar sebagai peserta webinar, anda boleh daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ kemudian terus join grup Telegram webinar ya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!