Setiap kali menjalani apa-apa pembedahan atau pun wanita selepas bersalin, kita disarankan untuk makan ikan haruan, pati ikan haruan dan minum pati gamat. Semuanya untuk memastikan luka cepat sembuh. Sejauh manakah kebenaran ini harus dipercayai?
‘Kepercayaan’ ini terus-menerus ‘diperturunkan’ daripada satu generasi ke generasi yang lain. Akhirnya ia terus menjadi satu ‘kepercayaan’ yang terus melekat dalam minda masyarakat kita.
Diet Untuk Penyembuhan Luka
Penjagaan pemakanan yang betul selepas pembedahan dan kebakaran adalah penting untuk penyembuhan luka. Penjagaan pemakanan yang tidak betul akan menyebabkan luka lebih mudah terdedah kepada jangkitan dan melambatkan proses penyembuhan.
Adalah penting untuk mendapatkan fakta yang betul dan terbukti secara saintifik supaya pesakit dapat sembuh dengan cepat tanpa komplikasi teruk.
Berikut adalah beberapa mitos yang dipercayai turun-temurun dan fakta yang perlu diketahui:
Ikan haruan dan ikan linang/belut sangat digalakkan supaya luka cepat sembuh
• Ikan haruan dan ikan linang / belut adalah sumber utama protein sama dengan ikan-ikan lain. Protein adalah sangat penting untuk penyembuhan luka.
• Makan semua jenis sumber protein yang mencukupi setiap hari seperti ikan, ayam, daging dan kekacang supaya luka cepat sembuh.
• Jangan hadkan pada ikan haruan dan ikan linang / belut sahaja.
• Jumlah protein yang mencukupi bukan jenis protein yang menentukan penyembuhan luka.
• Jika anda mengamalkan diet vegetarian, pastikan makan cukup sumber makanan jenis kacang, kekacang seperti tauhu dan tempe serta susu setiap hari.
Telur akan menyebabkan luka menjadi gatal, bernanah dan lambat sembuh
• Telur adalah salah satu sumber protein yang kaya dengan vitamin dan mineral. Tiada kajian yang menunjukkan pengambilan telur akan menyebabkan luka menjadi gatal, bernanah atau lambat sembuh.
• Elakkan telur jika anda alah padanya sahaja.
Elakkan daging ayam betina selepas pembedahan
• Daging ayam adalah salah satu sumber protein dan tiada larangan untuk mengambilnya selepas pembedahan supaya luka cepat sembuh. Jantina ayam tidak mempengaruhi kualiti protein.
Minum pati gamat atau sapu minyak gamat pada luka akan menggalakkan luka cepat sembuh
• Tiada kajian yang menyokong pernyataan ini.
• Kebanyakan pati-pati seperti pati ayam dan pati ikan haruan adalah tinggi kandungan garam dan tidak digalakkan untuk pengambilan seharian. Tidak sesuai untuk pesakit tekanan darah tinggi.
Buah-buahan dan sayur-sayuran tidak digalakkan selepas pembedahan kerana dikhuatiri elemen sejuk di dalamnya akan melambatkan proses penyembuhan luka
• Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan vitamin dan garam mineral yang membantu mempercepat proses penyembuhan luka.
• Buah limau, jambu batu, anggur dan kiwi yang kaya dengan vitamin C membantu dalam penyerapan zat besi.
• Manakala sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam dan sawi yang kaya dengan vitamin K membantu proses pembekuan darah.
• Tiada unsur ‘sejuk’ di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.
Dapatkan maklumat yang sahih sebelum mempercayai sesuatu perkara. Dengan cara ini, barulah anda mendapat info dan panduan yang tepat.
Sumber kredit: FKN Pharmacy Kuala Nerang/www.myhealth.gov.my
Top image: Alimi Kayla
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Menyusu Jangan Hanya Obses Mengepam! Fahami Kenapa Perlu Ada Stok Susu Ibu & Keperluannya
Isi Kandungan
ToggleIbu yang menyusukan bayi, tentu mahu memberikan susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan pertama dan diteruskan dengan makanan pelengkap sehingga dua tahun. Justeru, ramai yang teruja untuk mengepam susu/ memerah untuk menyediakan stok susu bagi bayi mereka.
Perkara ini amat baik tetapi adalah stok susu tersebut tidak dibazirkan? Bagi ibu yang berniat untuk menjadi ibu susuan, maka stok susu yang banyak memang tidak akan membazir kerana setiap titisan emas itu akan diminum oleh anak-anak susuan.
Namun, bagaimana bagi ibu-ibu yang hanya memerah untuk melihat stok yang banyak hingga berlebihan tetapi tidak digunakan kerana tiada keperluan dan suami pula tidak membenarkan mereka mengambil anak susuan. Ia sudah tentu dibazirkan.
Kaunselor Laktasi Puan Noorfazila Binti Abdul Rahman mengupas mengenai isu ini.
APA TUJUAN SEBENAR KITA SIMPAN SUSU PERAHAN?
Kalau anda berniat kumpul stok beku banyak-banyak sebab nak jadi ibu susuan saya sokong 100% tapi kalau anda cukup kumpul banyak-banyak niat untuk stok anak sahaja, saya langsung tak setuju sebab baby bawah 6 bulan sepatutnya dibekalkan yg fresh lebih byk dr yg frozen! Lagi pun tempoh hayat susu paling lama digalakkan hanya 6 bulan (dalam deep freezer)
Susu ibu antara sumber bekalan antibodi anak kerana bawah 6 bulan badan anak masih “tak pandai” untuk bina antibodi sendiri jadi mereka perlukan lebih banyak susu fresh dr pada susu ibu perahan yang dibekukan (frozen). Jika mampu bekalkan yang fresh itu lebih baik.
SUSU IBU PERAHAN LEBIH BAIK DARIPADA SUSU FORMULA
Susu ibu perahan yang dibekukan kualitinya memanglah jauh lebih baik daripada susu formula tetapi susu fresh/chilled jauh lebih berkhasiat dan berkualiti berbanding susu ibu yang frozen. Ini kerana peratus kandungan protien, nutrisi dan antibodi semakin berkurangan bila disimpan terlalu lama dan mengalami perubahan suhu dan bentuk fizikal.
Untuk berjaya dalam penyusuan selain merancang kehamilan seterusnya, paling penting adalah komitmen yang mampu ibu berikan setelah kembali bekerja. Ini kerana waktu siang anak langsung tak bersama ibu jadi ibu gantikan rangsangan pada badan menggunakan pam susu supaya badan terus dapat signal permintaan untuk hasilkan susu.
JANGAN HANYA TERIKUT-IKUT
Berbanding waktu pantang anak sentiasa bersama kita, jadi permintaan kepada badan untuk menghasilkan susu boleh diwujudkan oleh anak sendiri. Jika mahu kumpul stok untuk kembali bekerja cukuplah perah 1 atau 2 sesi sahaja (sebelum subuh / sebelum tidur). Tak perlu pun berpuluh oz sehari.
Dapat kumpul sikit-sikit pun dah ok..sehari 2oz purata sebulan dh dpt 60oz 2 bulan cuti dah dapat 120oz. Ini sudah lebih dari cukup sebab puan-puan hanya guna stok tersebut sebagai back up sahaja..
Ramai ibu hari ini dalam keadaan keliru. Mereka tak faham kenapa perlu buat macam ni kenapa perlu buat macam tu..Ramai yang terikut-ikut orang hingga 1 tahap mereka sendiri tak tau kenapa mereka kumpul stok terlalu banyak sedangkan suami sendiri ada yang tak izinkan cari anak susuan dan akhirnya berlaku pembaziran.
FAHAMI CABARAN PENYUSUAN ANDA SENDIRI
Dalam menyusukan anak, kita sendiri perlu lakar perjalanan dan kisah kita. Jika kita sendiri memang sentiasa denagn anak (sebagai surirumah) atau bekerja tetapi tiada keperluan untuk meninggalkan anak maka tidak perlulah ikut orang yang kumpul stok terlalu banyak kecuali jika memang ada niat untuk menjadi ibu susuan..
Tapi jika anda ibu yang terpaksa tinggalkan anak dikampung dan hanya jumpa anak seminggu atau sebulan sekali tidak salah untuk mengumpul stok susu ibu perahan bagi keperluan anak sepanjang ketiadaan anda nanti. Atau kerja anda memang memerlukan sentiasa kerja luar dan outstation berhari-hari pada setiap minggu, maka bolehlah kumpul stok lebih untuk keperluan anak sepanjang ketiadaan anda.
PERBAHARUI NIAT
Sedarlah ibu semua, perbaharuilah niat kita menyusukan anak kerana apa? Adakah kerana mahu jalankan perintah Allah swt atau kerana mahu tunjuk kita hebat kerana berjaya menyusukan anak. Hakikatnya kita bukan menyusu sebab nak lawan siapa hebat siapa tidak tapi kita menyusu kerana perintah Allah. Kerana mahu anak nikmati kasih sayang dan supaya mereka dekat dengan kita. Moga kita sama-sama istiqamah menunaikan amanah ini dgn sebaiknya. in sya Allah..
Sedarlah semua kejayaan dalam penyusuan bukan diukur dari berapa banyak susu yang kita mampu hasilkan tapi berapa lama kita mampu bertahan! Tak perlu banyak kuantitinya tapi yang penting ia cukup untuk keperluan anak! TERUSKAN PERJUANGAN
Sumber: Puan Noorfazila Binti Abdul Rahman
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangan Ambil Mudah Warna Najis Bayi Berubah Dengan Ketara! Sentiasa Periksa
Isi Kandungan
TogglePernahkah anda sebagai ibu bapa terfikir bahawa terdapat seribu satu makna yang tersirat di sebalik warna najis bayi? Jika tidak, teruskan membaca artikel ini kerana ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh ibu bapa ambil mudah!
Para ibu bapa terutamanya yang masih baharu dalam kancah keibubapaan pasti akan teruja dan dalam masa yang sama keliru serta takut menerima kehadiran seorang bayi dalam hidup mereka. Ini kerana anda sebagai ibu bapa perlu tahu serba-serbi mengenai keperluan atau kemahuan si comel mereka. Segala macam perkara mengenai bayi perlu anda tahu bagi memastikan mereka sentiasa kekal tenang dan ceria di samping anda. Antara yang paling perlu diberi perhatian adalah kesihatan, pemakanan, penghidratan, pemakaian, waktu tidur, waktu mandi, waktu bermain dan juga warna najis bayi.
Ya, warna najis bayi juga perlu ibu bapa perhatikan dengan baik kerana ia adalah salah satu daripada indikator yang paling penting dalam menentukan tahap kesihatan si comel anda. Mungkin bagi ibu bapa yang masih baharu, mereka akan sedikit keliru mengenai perkara ini lebih-lebih lagi jika mereka kurang membuat pembacaan mengenainya. Mungkin selama ini mereka beranggapan bahawa warna najis bayi adalah serupa sahaja daripada segi bentuk, tekstur dan terutamanya warna dan tidak akan berubah-ubah. Ini adalah tidak benar. Bagi mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.
Najis bayi tidak normal
Antara soalan yang sering ditanya oleh para ibu bapa terutamanya yang masih baharu adalah mengapa warna najis bayi mereka adalah tidak normal? Ini akan menimbulkan tanda tanya yang lain iaitu apakah warna najis bayi yang normal? Sebenarnya, tidak ada warna najis bayi yang tetap untuk dianggap sebagai normal atau tidak normal. Ia akan berubah-ubah mengikut tahap kesihatan seseorang bayi itu sendiri.
Selain itu, terdapat juga beberapa soalan lain yang sering diutarakan berkaitan dengan najis bayi iaitu kekerapan dan konsistensi pembuangan najis kanak-kanak. Selain warna najis bayi, 2 perkara ini juga mampu memberikan indikasi terhadap tahap kesihatan seseorang bayi itu. Dalam pada itu lagi, ibu bapa perlu tahu bahawa ciri-ciri najis itu juga bergantung kepada pemakanan, penghidratan, emosi pengambilan ubat dan lain-lain punca yang wujud.
Ciri-ciri umum najis bayi
Secara umumnya, bayi yang baharu lahir akan membuang najis dengan kerap dan banyak. Ketika mereka sedang dalam beberapa hari yang pertama terutamanya, si comel anda mungkin akan membuang najis yang berwarna agak gelap sedikit.
Selepas bayi telah mula menyusu pula, ia akan memberi kesan terhadap ciri-ciri najis bayi. Bayi yang disusukan dengan susu badan secara ekslusif kebiasaannya akan membuang najis lebih kurang 5 ke 6 kali sehari. Selain itu, bayi yang menyusu susu ibu cenderung membuang najis yang lebih cair jika hendak dibandingkan dengan bayi yang menyusu susu formula.
Najis bayi yang berusia 6 bulan ke bawah adalah lebih cair ekoran pemakanan mereka yang hanya mengambil sumber susu sahaja. Konsistensi najis bayi yang disusukan dengan susu ibu adalah lebih berbentuk kepada ketul-ketulan kecil sementara najis bayi yang disusukan dengan susu formula pula adalah lebih pekat seperti campuran sos mustard atau sos keju.
Warna najis bayi dan puncanya
Pasangan ibu bapa sudah pasti sangat obses dengan setiap perkembangan baharu anak mereka. Perkara-perkara seperti berat badan, ketinggian, warna rambut, warna mata dan kesemua mengenai bayi pasti akan menarik perhatian ibu bapa. Namun begitu, apa kata anda jika pasangan ibu bapa itu obses dengan warna najis bayi mereka sendiri?
Sebenarnya, ia bukan perkara yang terlalu aneh atau pelik untuk difikirkan. Warna najis bayi sebenarnya adalah sangat penting untuk diperhatikan kerana selain warnanya, kekerapan, konsistensi, bentuk, tekstur dan bau najis juga akan berubah-ubah bergantung kepada beberapa punca yang tertentu.
Disebabkan itu, anda sebagai ibu bapa sedikit sebanyak boleh cuba untuk mengetahui mengenai kondisi anak anda dengan meneliti warna najis bayi. Persoalannya, bagaimana untuk ‘membaca’ warna najis bayi ini? Sila ikuti panduan yang berikut:
#1. Najis bayi berwarna hitam
Meskipun ia mungkin kelihatan agak menyeramkan, tiada apa yang perlu anda bimbangkan mengenainya. Warna hitam pada najis bayi ini adalah disebabkan oleh meconium dan terdiri daripada perkara yang si comel anda telan semasa berada di dalam rahim seperti mukus, cecair amnion atau sel-sel kulit. Ia juga kebiasaannya akan terjadi kepada bayi yang baharu lahir sahaja.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang akan menyebabkan najis bayi berwarna hitam. Antaranya adalah kerana bayi anda menyalurkan darah di dalam najisnya. Tidak, anda tidak perlu panik kerana ia adalah darah yang mungkin ditelah dari puting anda yang merekah ketika penyusuan susu badan. Disebabkan itu, anda perlu pastikan bayi anda melekap dengan betul ketika menyusu untuk mengelakkan susu badan bercampur dengan darah anda.
Antara punca lain najis bayi kehitaman adalah disebabkan oleh zat besi. Jangan terkejut melihat najis anak anda berwarna hitam jika anda sendiri yang memberikan mereka supleman zat besi tambahan. Namun begitu, jika najis si comel anda berwarna hitam dan bukan disebabkan oleh perkara-perkara yang telah dinyatakan ini, segera berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
#2. Najis bayi berwarna kuning
Ini akan berlaku kepada bayi anda sekiranya mereka minum susu ibu secara eksklusif. Oleh itu, jangan terkejut jika najis bayi anda kelihatan seperti mustard atau keju yang dicampur sekali bersama. Ataupun, ia mungkin akan mengelirukan ibu bapa kerana ia tidak jauh berbeza dengan cirit-cirit. Akan tetapi, anda tidak perlu risau terlebih dahulu terutamanya jika si comel anda langsung tidak menunjukkan gejala ciri-birit yang lain seperti demam atau sakit perut.
Najis jenis ini juga adalah sangat cair dan busuk. Disebabkan itu, ia adalah sangat menjijikkan jika anda berada berhampiran dengannya. Selain itu, ia juga mungkin akan mempunyai sebahagian daripada makanan atau minuman yang si ibu ambil sebelum menyusukan bayi. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa najis yang kelihatan menjijikkan ini adalah menunjukkan bahawa bayi anda sedang dalam keadaan yang sihat.
#3. Najis bayi berwarna coklat cair
Najis ini pula lebih biasa ditemui dalam kalangan bayi yang menyusu susu formula. Ia mempunyai bentuk dan tekstur yang tidak terlalu keras atau lembut seakan-akan mentega kacang. Berbanding najis bayi yang menyusu susu ibu, najis bayi yang menyusu susu formula adalah jauh lebih busuk.
Selain itu, warnanya juga agak bervariasi tetapi tetap berkisar pada spektrum warna coklat. Ia mungkin akan berwarna coklat kehijauan atau coklat kekuningan bergantung kepada jenis susu formula yang digunakan. Ataupun, najis bayi yang menyusu susu formula juga mungkin akan kelihatan seperti coklat pekat seperti najis seorang kanak-kanak.
#4. Najis bayi berwarna merah
Ya, warna najis ini adalah sangat menakutkan kerana merah selalunya akan dikaitkan dengan darah. Sudah tentu, najis bayi berwarna merah mungkin disebabkan oleh darah. Pun begitu, anda tidak perlu panik kerana punca najis itu bercampur dengan darah adalah apabila bayi terambil darah ibu melalui penyusuan susu badan yang disebabkan oleh puting merekah atau isu-isu yang lain. Jika ia berlaku, segera berjumpa dengan doktor bersama bayi anda.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang boleh menyebabkan najis bayi berwarna kemerahan seperti alahan, jangkitan bakteria, pengambilan ubat bit ataupun disebabkan tebukan di kawasan dubur bayi akibat sembelit. Untuk lebih pasti, dapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar kanak-kanak.
#5. Najis bayi berwarna putih
Selain merah, najis bayi yang berwarna putih juga adalah luar biasa dan sangat jarang berlaku. Ada ibu bapa yang berjenaka bahawa bayi yang membuang najis berwarna putih adalah keturunan legenda Pulau Langkawi iaitu Mahsuri yang mempunyai darah berwarna putih. Itu bukan sama sekali halnya kerana najis akan mendapat warnanya daripada organ hempedu. Jadi, punca utama kepada najis yang berwarna keputihan seperti kapur adalah kerosakan atau ketiadaan hempedu.
Selain itu, najih putih juga mungkin disebabkan oleh masalah pada organ hati. Oleh itu, segera bawa si comel anda untuk berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak jika mereka membuang tahi tidak berwarna ini kerana sudah pasti ia adalah berpunca daripada masalah organ dalaman mereka.
#6. Najis bayi berbuih
Sekiranya bayi anda membuang najis yang berbuih seperti susu kocak dan berwarna seakan-akan kehijauan pula, apakah maksudnya? Ia mungkin kerana si comel anda mendapat terlalu banyak susu kolostrum dan kurang menerima susu matang atau susu akhir. Kolostrum terkenal sifatnya yang rendah kalori sementara susu yang keluar pada awal penyusuan susu matang adalah tinggi kalori.
Jadi, sekiranya najis anak anda berbuih dan berwarna kehijauan, ia mungkin bermakna dia tidak menyusu dengan tempoh yang lama sehingga susu matang mula terhasil dalam payudara si ibu. Untuk menyelesaikannya, si ibu perlu mula menyusukan bayi dengan belah payudara yang paling akhir anda gunakan sebelum ini.
#7. Najis bayi berair
Jika najis berair, sudah pasti akan dikaitkan dengan cirit-birit. Namun begitu cirit-birit yang berlaku pada bayi adalah berbeza dengan cirit-birit individu dewasa kerana ia akan terdiri daripada lebih banyak cecair berbanding pepejal. Selain itu, ia juga akan mempunyai warna hijau, coklat atau kuning cair dan sering bocor keluar daripada lampin si comel anda.
Cirit-birit dalam kalangan bayi biasanya adalah berpunca daripada alahan atau jangkitan bakteria. Ia sebenarnya perlu dipandang dengan lebih serius kerana boleh membawa kepada masalah dehidrasi jika tidak dirawat dengan kadar segera. Oleh itu, segera bawa bayi anda berjumpa doktor untuk mengelakkan sebarang masalah lain terhadap mereka.
#8. Najis bayi berwarna-warni
Pernahkah anda terbayang najis bayi yang berwarna-warni? Cuba anda bayangkan campuran sayur-sayuran yang dipotong kecil seperti lobak merah, lobak putih, kacang hijau, terung dan tomato digaul sekali di dalam satu bekas. Ya, ia mungkin kelihatan berwarna-warni dan meriah. Pun begitu, adakah ibu bapa perlu risau mengenainya?
Sekiranya anda mendapati bahawa najis bayi anda dipenuhi dengan tompokan berwarna-warni, anda tidak perlu risau sama sekali. Ini kerana ia mungkin berlaku akibat beberapa jenis makanan yang tidak dapat dicernakan atau dipecahkan sepenuhnya kerana bergerak terlalu pantas melalui sistem pencernaan bayi.
Ia akan terjadi jika si comel anda sangat menyukai makanannya sehingga mereka tidak langsung mengunyah lantas menelan makanan tersebut secara terus. Ini merupakan punca kepada pencernaan yang tidak sempurna lalu menyebabkan kepada masalah najis bayi yang berwarna-warni.
Sebaiknya, bawa anak anda berjumpa dengan doktor untuk mengetahui jika terdapat sebarang masalah terdapat sistem pencernaan bayi anda.
#9. Najis bayi berwarna coklat gelap
Ini mungkin merupakan tahap atau peringkat warna najis bayi yang paling normal. Jika bayi anda sudah mula membuang najis berwarna gelap, mereka sudah berjaya membesar menjadi seorang kanak-kanak yang berjaya.
Anda akan mendapati terdapat perubahan pada warna najis bayi yang berubah menjadi coklat gelap apabila mereka mula mengambil makanan pejal dan sudah mula beransur-ansur ke arah bercerai susu.
Najis bayi yang berwarna coklat gelap juga adalah serupa sahaja dengan warna biasa najis individu dewasa. Jangan risau mengenai perkara ini kerana ia adalah normal dan menunjukkan bahawa tumbesaran bayi anda adalah berada di landasan yang baik.
Jadi, apa yang boleh anda lakukan?
Warna najis bayi anda mungkin tidak mampu untuk anda ubah dalam tempoh sehari semalam. Jika anda bimbang dengan sesuatu keadaan pada bayi, ada perkara yang boleh anda lakukan iaitu menjaga dan mengawal sistem pencernaan si comel anda.
Ibu bapa perlu cuba untuk mengawal sistem pencernaan yang melibatkan usus dalam perut bayu untuk memberi kesan terhadap seluruh kesihatannya. Berikut adalah beberapa cara anda boleh membantu melindungi sistem pencernaan bayi anda:
Amalkan penyusuan susu ibu
Pertama sekali, anda perlu mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi anda. Ini kerana ia akan membantu di peringkat awal kehidupan bayi dengan meningkatkan perlindungan imunnya dan pada masa yang sama memastikan imbangan sihat bakteria baik dan bakteria jahat di dalam usus si comel anda.
Susu ibu mengandungi antibodi yang boleh membantu menyalut saluran usus bayi anda sekali gus melindunginya daripada antigen yang berbahaya yang terdapat di persekitaran mereka. Selain mampu meningkatkan imuniti bayi anda, susu ibu juga akan memberi bayi anda nutrien dan khasiat yang seimbang yang khusus untuk tumbesaran mereka.
Elakkan pengambilan antibiotik berlebihan
Selain itu, anda juga perlu mengelak daripada memberi bayi anda apa-apa jenis antibiotik kecuali doktor membenarkannya atas dasar perubatan. Ini kerana antibiotik akan mengganggu imbangan mikroflora dalam usus bayi anda. Jika ubat-ubatan diperlukan, sila rujuk dengan pihak doktor terlebih dahulu.
Anda perlu peka terhadap warna najis bayi anda kerana ia boleh menjadi indikator yang berguna kepada ibu bapa mengenai apa yang sedang berlaku di dalam sistem pencernaan bayi anda. Ketahuilah bahawa bayi yang sihat adalah sangat ceria dan perjalanannya ke arah tumbesaran dan perkembangan yang baik bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.
Konklusi
Konklusinya, warna najis bayi sememangnya adalah petunjuk kepada tahap sistem pencernaan bayi anda. Sama ada ia hitam, hijau, kuning, coklat, berwarna-warni, berbuih atau berair, anda tidak perlu terlalu risau akannya kerana ia adalah bergantung kepada pemakanan mereka sendiri. Yang perlu anda risau adalah sekiranya bayi membuang najis yang berwarna putih atau merah kerana ia mungkin menunjukkan si comel anda sebenarnya mempunyai sesuatu kondisi kesihatan yang agak membimbangkan.
Jadi, anda sebagai ibu bapa perlu lebih teliti mengenai perkara ini dan jangan hanya mengambil mudah setiap perkara berkenaan warna najis bayi. Jika terdapat sebarang perubahan yang ketara seperti warna najis bayi kerap berubah-ubah atau apa-apa sahaja kebimbangan mengenai najis bayi, segera bawa si comel anda berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Baring Menangis, Telinga Pun Berbau. Mungkin Bayi Terkena Jangkitan Kuman
Adakah anak anda meragam dan menangis jika dibaringkan? Si manja juga kerap menarik-narik telinganya. Mungkin dia berasa tidak selesa pada bahagian dalam telinga tetapi tidak tahu bagaimana untuk memberitahu kepada kita. Sebagai ibu ayah, anda boleh memerhatikan ciri-ciri yang disenaraikan ini untuk mengetahui sekiranya anak anda mengalami jangkitan telinga.
Artikel Menarik: [Jangan Sekadar Bilas-Bilas, Tak Bersih. Botol Susu Tak Sabun & Steril Membiak Kuman]
Jangkitan pada telinga merupakan kondisi yang kerap didiagnosis pada bayi. Kajian menunjukkan kebanyakan kanak-kanak akan mengalami infeksi ini sekurang-kurangnya sekali sebelum mereka mencecah umur tiga tahun.
ANAK ANDA MUNGKIN TERKENA JANGKITAN JIKA ADA SIMPTOM INI:
Apabila dijangkiti infeksi telinga, bayi anda akan mengalami perubahan dari segi emosi dan beberapa perkara yang dapat kira lihat, antaranya:
- Bayi anda akan menarik-narik telinganya.
- Demam: Infeksi ini akan menyerang selepas bayi anda dijangkiti selsema atau infeksi sinus.
- Cirit-birit atau muntah-muntah: Infeksi ini mampu menjejaskan saluran gastrousus.
- Hilang selera makan: Infeksi ini mengakibatkan bayi anda berasa sakit ketika menelan atau mengunyah makanan.
- Cecair berwarna kekuningan dan keputihan meleleh daripada telinga: Ini akan berlaku apabila terdapat lubang kecil yang terbentuk di dalam gegendang telinga bayi.
- Bau yang tidak menyenangkan: Terdapat bau yang tidak menyenangkan pada telinga bayi anda.
- Sukar tidur: Berbaring akan menyebabkan kesakitan pada bayi.
SELALU BERLAKU KALAU HISAP PUTING TIRUAN
Bayi anda akan dijangkiti infeksi telinga sejurus mengalami selsema, infeksi sinus ataupun alahan. Kondisi ini akan menyebabkan tiub eustachio yang menghubungkan bahagian tengah telinga dengan belakang hidung dan tekak tersumbat.
Ini akan mengakibatkan apa-apa cecair yang memasuki kawasan ini terperangkap dan dijangkiti kuman.
Artikel Menarik: [Bawang Merah & Minyak Kayu Putih Ikhtiar Rawat Anak Kembung Perut]
Kajian menunjukkan bayi dan kanak-kanak amat mudah dijangkiti jangkitan telinga sekiranya mereka menggunakan puting palsu. Dalam satu kajian, sebanyak 33 peratus daripada keseluruhan kanak-kanak yang menggunakan puting palsu akan dijangkiti jangkitan ini.
Semakin bayi anda membesar, kemungkinan untuk mereka dijangkiti infeksi ini akan berkurangan kerana tube eustachio mereka akan membesar tiga kali ganda dan akan lebih vertikal.
Ini akan menyebabkan cecair lebih sukar untuk masuk lalu terperangkap di dalam kawasan di belakang gegendang telinga.
APAKAH RAWATAN JANGKITAN TELINGA PADA BAYI?
Segera bawa anak anda berjumpa doktor sekiranya terdapat simptom-simptom ini pada mereka. Antibiotik atau metod tunggu dan lihat akan digunakan bergantung kepada tahap keseriusan infeksi telinga anak anda. Dalam kebanyakan kes, kondisi ini akan sembuh dengan sendirinya jika tidak terlalu serius.
Artikel Menarik: [Stop, Bayi Tak Boleh Minum Air Masak! Jom Ketahui Sebabnya]
Apabila anak anda mula berasa tidak selesa atau kondisi infeksi itu menjadi semakin teruk, gunakan antibiotik. Namun anda harus diingatkan untuk tidak memberi terlalu banyak antibiotik bagi mengelakkan infeksi terhadap antibiotik pula.
Jika bayi anda berumur kurang daripada 6 bulan, doktor mungkin akan mencadangkan penggunaan acetaminophen atau ibuprofen untuk melegakan kesakitan. Sekiranya kondisi anak anda masih tidak bertambah baik selepas mengambil antibiotik, doktor mungkin akan mengubah preskripsi ubat-ubatan yang mereka berikan dan memeriksa semula anak anda.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI