Makanan sunah seperti kurma sangat digalakkan untuk diamalkan oleh ibu hamil termasuklah ketika dalam proses bersalin. Dr Zubaidi Hj Ahmad, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM) berkongsi fakta berkenaan kenyataan ini.
Kurma adalah antara makanan jenis buah yang sangat kaya dengan pelbagai nutrien. Ia kaya dengan gula (80%) dan selebihnya adalah protein, serat dan mineral penting seperti kalsium, zat besi, magnesium, manganese, potassium, sodium, phosphorus, selenium dan zink. Kurma juga mempunyai vitamin yang pelbagai. Antaranya vitamin A, B kompleks termasuk folate; C, E dan K.
Di dalam 100gm kurma terkandung 282kcal yang terdiri daripada karbohidrat 75gm, lemak baik 0.4gm dan protein 2.45gm. Ia mempunyai indeks glisemik yang sederhana (bergantung kepada jenis kurma). Sebagai contoh, kurma khalas mempunyai indeks glisemik 35.5, barhi 49.7 dan bo ma’an 30.5.
Jadi, dapat dirumuskan bahawa kurma mempunyai indeks glisemik yang rendah. Walaupun manis, ia mempunyai banyak serat yang melambatkan penyerapan gula dalam darah. Dianggarkan terdapat 8gm serat di dalam 100gm kurma.
Diakui bermanfaat
Secara amnya pengambilan kurma sememangnya bagus untuk orang yang sihat, apatah lagi wanita hamil. Dr Zubaidi berpendapat, pengambilan kurma yang betul (tidak diambil secara berlebihan) memberikan manfaat kepada wanita hamil sama ada di awal kehamilan malah pada minggu terakhir sebelum melahirkan anak.
Ads
Ramai pengkaji mendapati bahawa pengamalan kurma terutamanya pada minggu akhir kehamilan membantu proses kelahiran kerana ia meningkatkan tindak balas rahim terhadap hormon oksitosin. Hormon ini bertindak dengan mengecutkan rahim. Dengan itu, ia dapat mengurangkan pendarahan yang biasa berlaku selepas bayi dikeluarkan daripada rahim.
Selain daripada itu, kurma memiliki banyak nutrisi yang sangat penting untuk digunakan semasa proses melahirkan anak. Kurma mengandungi lemak asid tepu dan tidak tepu seperti asid oleic, asid linoleic dan asid linolenic yang mampu membekalkan banyak tenaga di mana anda amat memerlukannya semasa melahirkan anak.
Asid-asid lemak ini juga sangat penting untuk membina bahan prostaglandin (yang digunakan dalam proses pengecutan rahim). Selain itu, tannin dan kalsium dalam kurma juga penting dalam aktiviti pengecutan otot-otot rahim. Mari kenali nutrisi kurma lainnya, yang memberikan kebaikan kepada wanita hamil.
Gula ringkas glukosa dan fruktosa, mudah dihadam untuk ditukarkan kepada tenaga yang banyak.
Serat, membantu memudahkan proses pembuangan air besar dan mengelakkan sembelit yang biasanya menjadi masalah utama bagi wanita yang hamil akibat saiz rahim yang semakin membesar. Antara lain, pengambilan serat yang banyak dapat mengurangkan risiko diabetes akibat kehamilan (gestational diabetes).
Potassium, mengekalkan kestabilan antara mineral dan air bagi mengawal tekanan darah yang lebih baik.
Magnesium, mengelakkan rasa kejang pada rahim sebelum berlakunya proses kelahiran (sepanjang kehamilan).
Folate, membentuk saraf tunjang bayi yang berada dalam rahim bagi mengelakkan kecacatan neural tube defects.
Vitamin K, membantu pembekuan darah selepas kelahiran anak bagi mengelakkan kehilangan darah yang banyak.
Bantu bukaan servik
Ads
Banyak kajian yang menunjukkan pengambilan kurma membantu bukaan pangkal rahim (servik) dengan lebih mudah dan besar. Dalam kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obstetrics and Gynaecology pada 2011, ia menunjukkan wanita yang mengambil enam biji kurma sehari, sekurang-kurangnya empat minggu sebelum melahirkan anak mengalami proses kelahiran yang lebih mudah.
Mereka yang mengamalkan kurma tidak mengalami pecah selaput ketuban ketika dimasukkan ke hospital untuk melahirkan anak, mudah memulakan proses kelahiran tanpa memerlukan ubat pitocin dan memendekkan fasa pertama dalam proses kelahiran.
Hal ini berlaku kerana pengambilan kurma melembutkan pangkal rahim. Jadi, memudahkan pangkal rahim membuka ‘jalan’ kelahiran bagi bayi dalam rahim untuk keluar. Mereka yang lebih sukar untuk memulakan proses kelahiran juga didapati lebih mudah bertindak balas dengan ubat pitocin berbanding dengan mereka yang tidak mengamalkan kurma sepanjang kehamilan.
Dalam penulisan yang diterbitkan dalam The Journal of Midwifery and Reproductive Health), mereka yang mengamalkan kurma mempunyai bishop scores (satu penilaian terhadap kesediaan wanita yang mahu melahirkan anak dengan mudah), pembukaan ‘jalan’ kelahiran lebih luas kerana pangkal rahim lebih lembut dan mudah bertindak balas terhadap ubat pitocin, jika ia diberikan pada wanita yang mengalami masalah memulakan proses kelahiran.
Ads
Pengambilan kurma sememangnya memberikan kesan yang sangat baik. Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obstetrics and Gynaecology pada 2017,pengamalan kurma ketika hamil terutamanya di peringkat akhir kehamilan, memberikan kesan positif kepada proses kelahiran tanpa memudaratkan ibu dan bayi yang dilahirkan.
Cara betul makan kurma
Dalam banyak kajian yang dinyatakan tadi, terbukti pengambilan kurma sangat bermanfaat untuk wanita hamil. Jadi,anda boleh amalkan empat hingga enam biji kurma sehari.
Disarankan ambil dua hingga tiga biji pada waktu pagi dan dua hingga tiga biji pada waktu malam. Kurma boleh dimasukkan ke dalam minuman sebagai pemanis bagi menggantikan gula. Jika tidak pun, campurkan kurma yang dipotong kecil dengan sayur-sayuran atau buah-buahan segar.
Bagi wanita yang tiada masalah kesihatan, boleh ambil enam hingga lapan biji sehari. Jika berada pada minggu akhir kehamilan (36 minggu ke atas), boleh ambil lapan hingga 10 biji sehari, bergantung kepada berat badan, ketinggian dan aktiviti seharian.
Namun begitu, wanita yang ada masalah diabetes semasa hamil, perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Dicadangkan agar meninggalkan karbohidrat ringkas seperti kuih-muih dan kek tetapi menggantikannya dengan kurma yang lebih semula jadi dan merupakan karbohidrat kompleks.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila dengar cakap orang memang kita jadi musykil. Lebih baik ikut penjelasan mengenai hukum bila doktor lelaki yang menyambut kelahiran bayi oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
Ustaz Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan penjelasan panjang lebar mengenai kemusykilan yang sering dibincangkan oleh bakal ibu bapa yang menanti kelahiran cahaya mata.
Semoga dengan penjelasan mengenai hukum ini, kita akan lebih faham serta tidak lagi timbul keraguan atau perbalahan antara satu sama lain.
Tidak dibenarkan di sisi Hukum Syarak bagi lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi, melainkan terdapat ḥājah (keperluan) dan ḍarurah (keperluan mendesak) untuknya. Antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-faṣdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan ḥaraj (kesukaran) sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh Syarak.
Justeru harus bagi lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki, dengan syarat-syarat berikut:
Jika wujud perawat yang muslim, maka tidak boleh digantikan.
Ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang dipercayai.
Ketiadaan perawat wanita, atau perawat lelaki bagi pesakit lelaki.
Perawat boleh melihat kepada bahagian badan selama mana ada keperluan kepadanya.
“Bahawa Umm Salamah (isteri Nabi SAW) meminta izin drpd Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi meminta Abu Taibah untuk menjalankan rawatan bekam ke atas Umm Salamah.”
Berkata Jabir: “Aku kira bahawa Abu Taibah itu adalah saudara susuan Umm Salamah atau budak kecil yang belum baligh.” Hadis riwayat Muslim (2206)
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (4/50); Fiqh al-Manhaji (1/126-127)
Berkata Syeikh Mulla Ali al-Qari Rahimahullah: “Telah dijelaskan oleh para ulama kita bahawa sekalipun bukan mahram boleh untuk menjalankan rawatan bekam, fasdu, dan khitan.” Berkata al-Taibi Rahimahullah:
“Dibenarkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatkan pada sekalian tubuh wanita bagi tujuan darurat dan rawatan.” Rujuk Mirqah al-Mafatih ٍ (no. 3103)
Justeru, termasuklah dalam kategori rawatan ini ialah menyambut kelahiran kerana ia melibat nyawa ibu dan anak jua. Kami syorkan hendak semua dawabit atau syarat-syarat yang dinyatakan di atas hendaklah dipatuhi bagi memastikan ketenangan bagi pihak pesakit, hospital dan keluarga.
Ramai ibu muda yang mengalami keguguran, kurang arif tentang amalan berpantang yang sepatutnya dilakukan.
Sudahnya, ada yang tidak memberi perhatian sewajarnya kepada amalan berpantang keguguran secara tradisional.
Sebenarnya, rawatan pantang keguguran adalah sama penting seperti ibu berpantang selepas melahirkan anaknya.
Malah ada orang tua-tua berpendapat, pantang keguguran perlu diambil perhatian yang lebih serius kerana ia cenderung membuatkan anda terdedah kepada pelbagai jenis penyakit yang lainnya. Jika tidak dijaga dengan betul, anda mudah berasa sakit di bahagian ari-ari, pinggang dan sendi selepas keguguran.
Berpantang 44 hari
Bidan zaman dahulu menggalakkan wanita yang mengalami keguguran menjalani amalan berpantang sama seperti ibu bersalin. Oleh sebab itulah, ada yang mengesyorkan supaya ibu keguguran berpantang selama 44 hari.
Walau bagaimanapun, dalam keadaan zaman sekarang di mana kebanyakan wanita bekerjaya, maka agak sukar mengikuti cara ini. Namun, semasa bercuti sakit selama 14 hari itu, anda patut gunakannya dengan betul-betul mengikuti rutin berpantang. Jaga makan, pakai stoking, berbengkung, bertungku dan sebagainya.
Makan makanan berpantang yang berkhasiat
Jika anda tergolong dalam kalangan orang yang rajin mengikut pantang-larang, amalkanlah cara pemakanan berpantang sama seperti yang diamalkan oleh ibu berpantang yang lainnya.
Pling tidak pun amalkan makanan yang seimbang dan mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Dalam pada itu, elakkan makanan berminyak, berlemak, makanan manis dan makanan segera. Seelok-eloknya banyakkan minum air suam atau panas dan makan makanan berkhasiat.
Hadkan pergerakan
Sama seperti ibu berpantang yang lain, anda pun kena jaga dan hadkan pergerakan yang aktif sekurang-kurangnya untuk tempoh satu bulan selepas keguguran. Elakkan juga daripada mengangkat benda-benda berat.
Jaga rahim
Penjagaan rahim yang rapi selepas keguguran adalah sangat perlu. Jika rahim tidak dibersihkan dengan sempurna, toksin boleh meresap ke sistem tubuh lalu menyebabkan masalah kesihatan yang mungkin boleh mengundang maut.
Oleh sebab itulah, anda melakukan urutan, bertungku, mandi herba dan lain-lain. Rutin ini dapat membantu melancarkan peredaran darah, melegakan kesakitan dan memberi keselesaan dan kesegaran kepada tubuh.
Sepanjang tempoh ini juga, anda sangat digalakkan untuk memakai stoking dan memakai baju berlengan panjang bagi mengelakkan angin daripada memasuki badan.
Jangan adakan hubungan seks
Anda tidak digalakkan untuk melakukan hubungan intim dalam tempoh 14 hari selepas berlakunya keguguran. Mengikut kata orang lama, tunggulah sehingga satu bulan untuk ‘bersama’ suami semula.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Normal untuk anak-anak sedu, apatah lagi jika masih bayi. Memang sering berlaku. Kalau anak yang sudah besar, kita akan berikan mereka air kosong untuk diminum. Tapi bagaimana jika bayi yang tersedu, apa patut kita buat? Kalau mengikut kata orang lama, anak yang sedu akan berhenti jika kita letakkan cebisan kertas pada dahi mereka. Eh, betul ke?
Sebenarnya ada sebab mengapa sedu terjadi pada bayi. Ketahuilah bahawa perkara ini normal dan tidak perlu menjadi sesuatu yang membimbangkan.
KAWAL PERNAFASAN
SEDU ADALAH SESUATU YANG SERING TERJADI DALAM KALANGAN BAYI DAN IA ADALAH NORMAL. KEADAAN INI BIASANYA AKAN BERLAKU DALAM TEMPOH LAPAN MINIT SETIAP KALI TERSEDU. MENURUT PENYELIDIK, SEDU YANG BERLAKU SEBENARNYA UMPAMA SATU LATIHAN BAGI BAYI UNTUK MENGAWAL PERNAFASAN MEREKA.
Sebuah kajian oleh University College London yang melibatkan 217 orang bayi. 13 daripada mereka didapati mengalami sedu berterusan jadi dipasangkan elektrod pada kepala mereka. Ini bagi membolehkan bayi-bayi ini mengenal pasti gelombang otang penting yang tercetus setiap kali ia berlaku.
Menurut Dr Lorenzo Fabrizi yang merupakan peneraju penyelidikan ini, ia bermula dengan pengalaman apabila melihat isterinya risau ketika anak mereka tersedu yang telah mencetuskan idea untuk membuat kajian ini. Dr Fabrizi merasakan kebanyakan ibu bapa pasti risau apabila bayi mereka tersedu. Bagi orang dewasa, sedu mungkin mengganggu tetapi tidak bagi bayi.
SEDU BERLAKU KERANA IA MEMPUNYAI TUJUAN TERTENTU. KETIKA TERSEDU, IA MEMBANTU OTAK BAYI UNTUK BELAJAR MENGAWAL OTOT PERNAFASAN SUPAYA PROSES BERNAFAS BOLEH DILAKUKAN SECARA SUKARELA DENGAN MENGGERAKKAN DIAFRAGMA KE ATAS DAN KE BAWAH.
Untuk pengetahuan anda, sebenarnya bayi sudah mula tersedu ketika di dalam rahim pada usia sembilan minggu kehamilan. Bayi yang lahir secara pramatang pula mungkin akan mengambil masa lebih kurang 15 minit sehari hanya untuk tersedu.
Bagi orang dewasa, untuk mengawal pernafasan mungkin kita boleh menyelam di dalam air. Ini diakui sendiri oleh pengarang utama kajian yang telah diterbitkan dalam jurnal Clinical Neurophysiology, Kimberly Whitehead.
Tambahnya lagi, orang dewasa juga belajar untuk mengawal dan memperlahankan pernafasan untuk bertenang sekiranya berdepan dengan situasi mencemaskan atau ketika jantung berdegup kencang seperti selepas berlari atau berada dalam kegelisahan.
Benar jika bayi tersedu mungkin akan menyebabkan ibu bapa sedikit risau. Ia bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan tetapi sekiranya bayi anda tersedu untuk masa yang lama, bawalah mereka untuk mendapatkan pemeriksaan daripada doktor yang bertauliah.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.