Mesti susah hati kita bila berat badan anak berada di bawah paras normal setiap kali dibawa menjalani pemeriksaan di klinik. Doktor dan jururawat juga akan ‘membebel’ kenapa berat badan anak tak naik mengikut jadual sepatutnya sedangkan anak tiada masalah makan dan menyusu.
Mengapa ada bayi (6 bulan ke atas) atau kanak-kanak yang masih tetap kurus dan berat badannnya berada di bawah paras normal walaupun mempunyai selera makan yang baik? Berikut antara penyebabnya yang mungkin dialami oleh si manja anda.
a. Faktor genetik.
b. Kemampuan mengunyah dan menelan yang belum sempurna.
c. Keletihan kerana terlalu aktif.
d. Jangkitan saluran kencing.
e. Masalah anemia kekurangan zat besi.
Apabila anda sudah merawat masalah yang menjadi punca kepada berat badan anak tidak bertambah, maka lakukan pula beberapa tip bagi menambah berat badan mereka. Apa pun ia mesti dirujuk kepada pakar pemakanan yang bertauliah terlebih dahulu.
1. Berikan tiga kali hidangan makanan utama (karbohidrat, sayur dan lauk) dalam sehari dan dua kali kudapan yang terdiri daripada buah-buahan, roti dan biskut.
2. Masukkan hidangan menu berasaskan daging lembu sebagai makanan utama untuk anak. Ini kerana daging mengandungi zat besi yang tinggi. Tetapi jangan bagi anak minum susu selepas makan daging kerana susu menghalang penyerapan zat besi dalam badan. Sebaiknya hidangkan jus buah yang mengandungi vitamin C kerana ia membantu penyerapan zat besi.
3. Tambah satu sudu kecil minyak zaitun extra virgin ke dalam hidangan makanan anak yang sudah siap dimasak. Minyak zaitun kaya dengan kandungan lemak. Minyak zaitun extra virgin yang tidak bersuhu tinggi dan tidak menggunakan bahan kimia dalam proses pembuatannya sangat sesuai ditambah ke dalam makanan si kecil.
4. Gandakan kandungan karbohidrat dalam menu utama anak. Contohnya hidangkan nasi dan sup ayam yang turut mengandungi kentang dan makaroni.
5. Hidangkan buah-buahan yang tinggi kalori seperti pisang dan avokado sebagai kudapan anak.
6. Berikan anak snek tambahan seperti roti, biskut atau pisang satu jam sebelum dia tidur.
7. Penggunaan mentega juga boleh membantu merangsang penambahan berat badan anak. Gunakan ia untuk menggoreng telur atau roti.
Walaupun anda berusaha untuk menambahkan jumlah pengambilan karbohidrat dalam menu anak tetapi perlu tetap mengekalkan gizi yang seimbang iaitu mesti ada hidangan protein, zat besi dan vitamin dalam menu hariannya.
Berikut adalah 15 jenis makanan yang berupaya membantu menambah berat badan bayi dan kanak-kanak.
1. Susu penuh krim
2. Yogurt penuh krim
3. Keju
4. Pisang
5. Ragi
6. Avokado
7. Keledek
8. Telur
9. Ubi kentang
10. Mentega
11. Ghee
12. Mentega kacang
13. Minyak zaitun
14. Kekacang
15. Ciku
Semoga pertambahan berat badan anak berlaku dalam keadaan yang sihat. Sentiasa pastikan anak mendapat segala khasiat makanan yang diperlukan untuk membesar dengan sihat dalam menu hariannya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI