Makan Nasi Tak Bertambah, Ikan Tenggiri & Cuka Campur Halia Cara Sharifah Shahirah Berpantang

Share

Makan nasi semasa berpantang tanpa bertambah dan amalan memakan cuka bersama halia adalah antara rutin berpantang pengacara TV Pa&Ma Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired atau Shiera. Disiplin mengambil jamu berpantang yang diramu ahli keluarga sendiri juga salah satu kemestian.

Ibu kepada lima anak ini melalui enam kali proses berpantang. Setiap satunya dilalui dengan rutin yang diatur oleh ahli keluarga seperti ibu, arwah nenek tiri, ibu mertuanya, Datin Maria Arshad, arwah nenek dan ibu saudara suaminya, Ijoy Azhari. Hasil daripada gabungan rutin berpantang beberapa orang ahli keluarga terdekatnya maka terhasillah amalan pantang yang menjadikan dirinya sangat selesa dan seronok berpantang.

SAPUAN MINYAK URAT

“Saya amalkan pantang selama 44 hari. Dalam pantang, yang paling saya suka ialah bertungku dan memakai minyak urat. Dalam family memang ada minyak urat yang pakcik buat sendiri. Lepas mandi dan urut semua saya akan sapu banyak-banyak minyak urat pada keseluruhan badan.

“Minyak tersebut tidak panas cuma menyebabkan badan rasa ringan. Kita rasa buang angin dan kulit juga rasa sangat halus kerana ada kunyit sebagai ramuan di dalamnya. Rasa lembut. Kalau orang tanya, inilah yang saya suka, seolah-olah memanjakan diri,”kata Shiera.

CUKA DENGAN HALIA & IKAN TENGGIRI

Siapa yang menjaga Shiera semasa pantang? Aktres yang juga turut bertugas sebagai DJ radio ini amat menghargai pengalamannya dijaga orang-orang lama yang berusia hampir 100 tahun.

“Dulu-dulu arwah nenek jaga. Arwah nenek tiri dan mak menjaga pemakanan saya ketika berpantang. Makan yang kering-kering sahaja. Tapi bila kenal ibu mertua saya, Datin Maria Arshad, dia ajar saya makan halia dengan cuka. Pantang pemakanannya juga saya buat. Dalam berpantang, nasi dihidang banyak dalam pinggan tapi kalau dah makan habis jangan tambah lagi. Itulah yang sama amalkan.

IKAN TENGGIRI SEBAGAI MENU

“Saya makan ikan tenggiri sahaja sepanjang pantang. Ibu mertua saya akan beli ikan tenggiri segar setiap hari dan kemudian perapkan dengan garam dan kunyit dan salaikan (goreng tanpa minyak). Dulu-dulu memang saya makan ikan bilis, tetapi selepas itu saya buat apa yang macam ibu mertua selalu masakkan iaitu ikan tenggiri.  Lepas tiga minggu, barulah saya akan ambil sajian sup.

“Tapi apabila berpantang bersalinkan Adeena baru-baru ini secara caeserean, doktor nasihatkan untuk tidak mengambil cuka. Jadi masa berpantang baru-baru ini cara pemakanan saya agak lain sikit. Bila tahun 2018 ni banyak yang dah tawarkan pakej berpantang, jadi perawat pantang yang akan sediakan makanan. Perawat pantang yang bantu dengan menu dan cara pantang mereka,” kata Shiera lagi.

IKUTI SHIERA DALAM RANCANGAN TV PA&MA

Ikuti Shiera bersama suaminya Ijoy Azhari dalam rancangan TV Pa&Ma yang ke udara setiap Selasa, jam 12 tengah hari dan ulangannya jam 9 malam. Rancangan TV Pa&Ma yang kini sudah Musim Kedua mengutarakan topik-topik menarik keibubapaan yang sangat berinformasi dan bermanfaat diketengahkan setiap minggu.

Minggu depan, episod 9 rancangan TV Pa&Ma Survival Anak Pramatang akan diutarakan. dan akan disiarkan pada 6 November 2018 yang mengupas topik berkenaan kelahiran bayi pramatang dan survival anak-anak yang dilahirkan pramatang.

Published by
Azma ML