Pembentangan Belanjawan 2025 bertemakan ‘Membugar Ekonomi, MenjanaPerubahan, Mensejahtera Rakyat’ oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 18 Oktober 2024 (Jumaat) telah memberikan pelbagai insentif merangkumi pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Inisiatif Menarik Diumumkan Melalui Belanjawan 2025
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik dan merakamkan ucapan penghargaan serta terima kasih bagi inisiatif yang telah diumumkan melalui Belanjawan 2025 seperti berikut:
i) Menyediakan dana pembiayaan pendidikan PTPTN berjumlah RM500 juta khusus untuk pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang STEM di IPTA;
ii) Pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Simpan SSPN dilanjutkan untuk tempoh tiga (3) tahun; dan
iii) Peluasan kriteria pemberian Geran Sepadan Simpan SSPN melalui ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI).
Penyediaan dana pembiayaan pendidikan khusus kepada pelajar yang mengikuti
pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di IPTA
adalah sebagai sokongan dan selaras dengan aspirasi Kerajaan ke arah melahirkan
graduan berkebolehpasaran tinggi, sesuai dengan tuntutan industri.
Pelepasan Taksiran Cukai Sehingga Tahun Taksiran 2027
Dalam usaha Kerajaan menggalakkan penabungan untuk tujuan pendidikan tinggi
anak-anak, Kerajaan bersetuju agar insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke
atas simpanan dalam Simpan SSPN dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027.
Selain itu, pemberian geran padanan atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) daripada keluarga
berpendapatan RM4,000 diperluaskan sehingga RM6,000 dengan jumlah geran
maksimum sehingga RM5,000. Inisiatif melalui ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI) ini
adalah bagi tempoh dua (2) tahun.
PTPTN amat komited melaksanakan hasrat Kerajaan melalui Belanjawan 2025. Inisiatif ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan untuk menggalakkkan lebih ramai pelajar mengikuti bidang STEM yang merupakan satu daripada elemen kritikal bagi memacu ke arah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030, di samping melahirkan graduan anak muda yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi serta diperlukan oleh industri dan negara.
Jadikan Simpan SSPN Sebagai Pilihan Utama Untuk Simpanan Pendidikan Tinggi
PTPTN juga berharap masyarakat Malaysia terus menjadikan Simpan SSPN
sebagai pilihan utama untuk membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi selaras
dengan usaha Kerajaan memberikan manfaat penabungan melalui insentif Belanjawan
2025.
Masyarakat Malaysia amat bertuah kerana mempunyai Kerajaan MADANI yang amat prihatin dalam menyediakan keperluan masyarakat terutamanya dari aspek bantuan kewangan bagi persediaan anak-anak untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan yang lebih cemerlang.
Selanjutnya,perincian berkenaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan ini akan dimaklumkan oleh PTPTN dalam masa terdekat.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI