Semakin hari semakin lanjut usia perkahwinan kita. Takkan kita nak biarkan usia perkahwinan kita semakin berkubur dengan usia!

Semakin lama usia perkahwinan sepatutnya semakin banyak cerita dan pengalaman yang manis dibina bersama.

Saya pernah dengar seorang suami berkata, “dah kahwin 10 tahun baru tahu isteri saya suka makan cendol”. Bayangkan 10 tahun berkahwin baru tahu apa kesukaan isteri kita. Bermaksud, masih banyak lagi yang belum kita tahu tentang diri pasangan kita.

Pelik bila saya mendengar, “saya dah bosan dengan isteri saya”. Bila ditanya “berapa lama dah kahwin?” Dia jawab, “dah 2 tahun dah kami berkahwin”. Bunyinya seperti sudah 20 tahun kahwin, rupanya baru 2 tahun.

Selalu kita mendengar, usia perkahwinan 0-5 tahun adalah satu fasa untuk mengenali hati budi. Waktu inilah suami isteri mencari titik persamaan dan titik perbezaan. Sebab tu dalam tempoh ini kena banyak bersabar melayan kerenah pasangan.

IKLAN

Dalam kita menjaga hubungan suami isteri, ada beberapa perkara yang sangat perlu diberikan perhatian.

Ini kerana ada sebahagian tindakan kita, tanpa disedari mungkin menyumbang ke arah keruntuhan rumah tangga. Saya nyatakan beberapa kesilapan yang mungkin kita tidak perasan boleh meretakkan dinding rumahtangga:

1. Berlebih-lebihan memuji orang lain. Suami terlalu memuji wanita lain, isteri pula memuji lelaki lain. Biarpun si isteri peminat cerita korea sekalipun, jangan dipuji sangat “oppa” korea kegilaannya pada suami. Suami boleh berasa kecil hati seolah-olah suami ini terlalu hodoh pada isterinya. Begitu juga suami, jangan asyik menceritakan wanita-wanita lain di hadapan isteri. Ini boleh mengundang perang dunia rumahtangga!

2. Mengeraskan suara. Ini termasuk dalam komunikasi toksik. Jeritan sebenarnya satu bentuk yang negatif dalam komunikasi suami isteri. Melainkan jika suami atau isteri kita seorang yang ada masalah pendengaran. Elakkan meninggi suara ketika bercakap dengan pasangan, ia mengundang kepada bibit-bibit keretakan dalam perhubungan.

3. Meninggalkan isteri dalam tempoh haid. Sebenarnya ini satu kesilapan. Ketika isteri sedang “lampu merah”, tidak bermakna suami tidak boleh bermesra dengan isteri.

Tambahan pula jika suami selalu outstation, bila balik rumah isteri pula dalam keadaan haid, lalu suami memilih untuk tidak bermesra dengan isteri kerana alasan isterinya sedang haid. Ini boleh mendera emosi isteri. Yang tidak dibenarkan adalah ‘dukhul’ dan dubur sahaja, selain dari itu dibenarkan.

Semoga rumah tangga kita sentiasa muda dengan suasana cinta walaupun usia perkahwinan yang sudah tua dimamah usia!

Kredit: Imam Muda Hassan 

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)