Siapapun akan terkesan dengan kehilangan, apa lagi kehilangan anak sulung yang sememangnya dinantikan sejak sekian lama. Hati ibu perlu jadi lebih kuat dan kental untuk teruskan hidup. Pun begitu kekuatan tak datang sendiri, suami harus menyokong kuat emosi ibu.
Perkongsian seorang suami, Muhammad Hassan atau bergelar Cik Matt di facebooknya ini buat kita rasa sebak dan menitiskan air mata. Bila kehilangan macam ni, suami kena mainkan peranan lebih. Jaga hati isteri kita.
Petang semalam kami luangkan masa ziarah anak syurga. Setiap kali datang ziarah wajah bidadari saya selalu berubah,nampak sangat dia rindukan anak syurga ini. Sebelum ini langsung tak boleh masuk kawasan perkuburan, mesti dia akan menangis.
Ini anak sulung kami. Komplikasi jantung, paru paru dan ada masalah tulang belakang. Walaupun 1 tahun 4 bulan tapi tak boleh duduk, tak boleh mengunyah makanan pejal, tak boleh tidur dengan lena siang malam kerana batuk. Hanya ubatan, puri dan susu sahaja makanan dia. Beliau meninggal dunia 24 jam selepas pembedahan.
1 tahun 4 bulan isteri tidur tak lena. Makan pun tak menentu. Minggu pertama berpantang kena ulang aling ke hospital susukan anak. Kesian sangat tengok baru kali pertama dapat anak Allah dah beri ujian. Isteri kuat sangat, macam mana pun dia nak susukan anak juga.
Begitulah mana ibu pun akan berjuang untuk anak. Sakit, demam, lapar, tak cukup tidur itu semua bukan penghalang untuk dia tunaikan tanggungjawab terhadap anak. Janji anak sihat, anak dapat susu, anak kenyang, anak tak nangis, anak tidur dengan selesa.
Masih terpahat dalam ingatan saya. Bagaimana malam pertama kehilangan anak. Isteri angkat bantal dan riba disangka itu anak, sedangkan itu bantal yang digunakan untuk tidurkan anak. Isteri nangis bila sedar itu hanya bantal.
Saya peluk isteri. Saya peluk erat. Saya pujuk isteri dengan hadith Nabi Muhammad s.a.w bahawa anak kita sedang menunggu kita di pintu syurga. Anak kita tak sakit dah, dia tak batuk dah. Dia boleh jalan dah. Mesti dia sedang bermain main di taman syurga. Mesti dia rindu nak jumpa kita kat syurga. Allah kan janji kita redha,Allah akan bina sebuah rumah pujian dalam syurga untuk kita.
Sentiasa Jaga Hati Isteri
Saya ambil keputusan cuti kerja selama 1 tahun demi untuk jaga emosi isteri. Saya taknak dia bersedih, sunyi dan akhirnya mengalami kemurungan teruk.
Sehingga ke saat ini saya tak pernah lupa setiap hari ucap kepada isteri. Terima kasih susah payah jaga anak siang malam tanpa sedikit pun mengeluh. Terima kasih sebab jadi isteri solehah untuk saya. Saya janji akan jaga awak kerana Allah. Saya nak awak tahu, saya sayangkan awak lebih dari nyawa saya sendiri.
Saya dan suami diluar sana. Ketahuilah. Isteri sanggup buat apa sahaja demi kita. Dia sanggup hidup susah payah bersama kita. Dia dah berikan sepenuhnya jiwa, masa untuk kita.
Apakah kita tidak mahu hargai seorang wanita yang sanggup tinggalkan kesenangan bersama keluarga demi bersusah payah bersama kita?
Hargai isteri, sayangi mereka, betulkan kesilapan mereka dengan penuh lemah lembut, kasih sayang. Bagi sepenuhnya perhatian saat mereka mengeluh, mengadu. Mereka siang malam jaga anak kita, jaga makan minum, pakaian kita, mereka pernah ‘mati’ untuk lahirkan zuriat kita. Jangan lihat kekurangan mereka, tapi lihat betapa banyak jasa mereka kepada kita.
Peluklah mereka saat mereka sedang berduka, pimpinlah mereka saat mereka jauh dengan ugama.Setiap Pelukkan buatkan rahmat Allah dan rezeki mencurah-curah terhadap keluarga kita. Jangan tengking mereka, jangan pukul mereka,jangan tinggikan suara terhadap mereka. Bukan itu cara mendidik mereka.
Isteri adalah amanah Allah dikurniakan kepada kita. Jagalah mereka,bimbinglah mereka supaya Allah redha dan sama sama masuk syurga.
-EncikMatt-