Malu Perut Menggeleber & Buncit Lepas Bersalin. Lakukan Cara Ni Tanpa Mudaratkan Diri

Share

Masalah perut menggeleber selepas bersalin tidak mungkin dapat dielakkan selepas bersalin, sungguhpun sesetengah wanita tidak menambah banyak berat badan ketika mengandung.

Menurut BabyCenter, perubahan hormon akan berlaku sebaik saja bayi dilahirkan, di mana rahim akan mula mengecut dan kembali kepada bentuk asalnya. Walaubagaimanapun, proses ini berlaku secara perlahan dan mengambil masa sekurang-kurangnya 6 hingga 8 minggu untuk menghilangkan perut menggeleber selepas bersalin.

Terdapat beberapa tip yang boleh anda lakukan untuk membantu mengembalikan perut menggeleber selepas bersalin kepada bentuk asalnya dengan efisyen.

1. MENYUSU BADAN

Seperti yang kita tahu, ada banyak manfaat penyusuan badan dari segi nutrisi yang dibekalkan kepada bayi. Namun, tahukah anda bahawa penyusuan badan juga membakar kalori tubuh ibu mengandung?

Menurut majalah Women’s Health, proses menyusu badan boleh membakar sekitar 300-500 kalori setiap hari.

2. MINUM AIR KOSONG DENGAN BANYAK

Minumlah air kosong yang mencukupi, terutamanya jika anda menyusukan bayi. Air kosong bukan saja baik untuk kulit, tetapi ia juga boleh membantu menyingkirkan toksin serta membantu mengekalkan keanjalan kulit.

3. SENAMAN BERIMPAK RENDAH

Selepas selesai tempoh berpantang, anda boleh memulakan sesi senaman berimpak rendah. Antaranya berjalan atau melakukan senaman lantai. Senaman berimpak rendah ini bukan saja membantu anda membakar lebihan lemak, tetapi ia turut mengurangkan masalah yang selalu berlaku selepas bersalin seperti sakit belakang, kekejangan kaki, atau lenguh badan.

Jika anda suka bersukan dan ingin melakukan aktiviti yang lebih aktif, dapatkan kepastian daripada doktor anda.

4. BERSIAR-SIAR BERSAMA BAYI

Menguruskan bayi bukanlah sesuatu yang mudah. Kita seringkali rasa kesempitan masa sehingga ia boleh menyebabkan stres.

Bawalah bayi bersiar-siar di halaman rumah dan hiruplah udara segar setiap pagi. Mendukung atau menolak bayi di dalam stroller juga boleh membantu anda kekal aktif. Malah, secara tidak langsung dapat juga mengurangkan stres serta merapatkan hubungan ibu dan anak.

5. BERBENGKUNG

Berbengkung adalah salah satu amalan masyarakat kita untuk menghilangkan perut menggeleber selepas bersalin. Sebenarnya, ia juga diamalkan dalam sesetengah budaya masyarakat lain.

Selain mengempiskan perut bengkung yang sesuai dipercayai dapat membantu memberi postur tubuh yang baik selain mengecutkan rahim bengkak serta merapatkan faraj. Tapi, jika anda bersalin secara Caesar, pastikan anda memilih bengkung khusus dan dapatkan kepastian doktor untuk menggunakannya.

6. PILIH MAKANAN BERKHASIAT

Pengambilan makanan yang berzat dan kaya dengan nutrisi adalah amat penting untuk mengembalikan perut menggeleber selepas bersalin kepada bentuk asalnya.

Sungguhpun anda tidak berkelapangan seperti sebelum ini, pastikan anda memenuhi keperluan diet harian. Paling penting, elakkan daripada selalu memakan makanan segera, berlemak, bergoreng serta minuman manis. Semua makanan tidak berkhasiat ini boleh memperlahankan proses mengempiskan perut.

7. JANGAN TERLALU MENYEKSA DIRI

Ingatkan diri bahawa tubuh anda mengambil masa 9 bulan untuk mengandungkan bayi. Oleh itu, ia juga memerlukan masa yang hampir sama untuk kembali kepada bentuk asalnya.

Jadi, sentiasalah berfikiran positif dan jangan cepat berasa putus asa atau kecewa apabila melihat tubuh anda dalam cermin.

SABAR ADALAH KUNCINYA

Kesabaran adalah kuncinya untuk anda mengatasi masalah perut menggeleber selepas bersalin. Jangan terlalu memikirkan tentangnya. Manfaatkanlah masa cuti bersalin anda dengan berehat, menguruskan diri, dan bonding bersama bayi.

Sumber: zuriat.my

Published by
Wan Amy