Keibubapaan

“Mama Adik Lapar La”, Ajar Anak Kecil Berpuasa, Makanan Terbaik Untuk Puasa Tahan Lebih Lama!

Share

Kita tak paksa anak kecil kita di bawah usia enam tahun untuk berpuasa tetapi semasa kecil inilah ibu bapa harus latih si kecil untuk berpuasa. Tak kisahlah separuh atau suku hari, latih anak kita untuk bangun sahur dan seterusnya menahan lapar.

Ada beberapa jenis makanan yang dikenal pasti mampu buat anak bertahan lebih lama. Bukan memaksa tetapi tip yang dikongsikan oleh Puan Rose Hanizan, Pegawai Diatetik KPJ Pakar Perdana, Kota Bharu Kelantan ini boleh anda praktikkan buat anak.

Bagi melatih anak kecil kita berpuasa, ibu bapa juga mengambil kira kemampuan mereka untuk menahan lapar dan dahaga di samping memberikan tenaga dengan pemakanan seimbang bagi membantu daya tahan anak kita.

Ibu bapa perlu memberikan zat yang cukup, seimbang dan pelbagaikan jenis makanan. Malah ibu bapa perlu pandai memilih makanan yang sesuai untuk anak masing – masing supaya mereka makan dengan penuh berselera.

Seeloknya banyakkan masakan di rumah berbanding membeli makanan di luar seperti bazar atau pasar. Makanan luar nampak menyelerakan tetapi kita belum tentu lagi tahu akan kebersihan dan kandungan zat dalam makanan tersebut.

Di antara tips yang boleh dikongsikan untuk memastikan anak – anak kita dapat berpuasa dengan baik adalah seperti berikut:

Tip Masa Sahur
* Pastikan ibu sediakan makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut pada anak-anak. Makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks ini dapat mengurangkan rasa lapar kerana ia mengambil masa yang lama untuk dicernakan

* Pastikan ada sumber protein seperti ikan, ayam atau telur kerana ia juga lambat dicerna dan anak akan rasa kenyang berpanjangan.


* Wajib berikan anak susu ketika sahur supaya anak kekal cergas sampai petang.

* Jangan lupakan sayur untuk anak.

* Sebolehnya elakkan makanan bertumis atau berlemak pada anak semasa sahur. Lemak akan menyebabkan perut rasa tidak selesa dan mempercepatkan rasa lapar.

* Makanan berminyak juga kerana buat anak lebih cepat penat.

* Pastikan juga anak makan sedikit buah, mungkin jadikan oat bersama buah-buahan di dalamnya. Buah dapat kurangkan rasa lapar di siang hari.

* Ibu harus pastikan tidak memberikan anak dengan makanan yang tinggi garamnya seperti ikan masin, jeruk, belacan, kicap terutamanya semasa bersahur. Ini bagi mengelakkan rasa dahaga yang teramat sangat ketika bulan puasa.

Tip Masa Berbuka
* Minta anak-anak berbuka dengan kurma dahulu untuk pastikan tenaga mereka cepat kembali.

* Elakkan memilih deretan makanan yang terlampau manis.

* Minta anak minum air kosong pada kuantiti yang banyak.

* Larang anak ambil minuman berkafein tinggi ketika berbuka.

* Gantikan dengan jus buah-buahan atau air kosong sahaja yang lebih berkhasiat untuk anak-anak.

* Selain air, buatkan juga makanan berbentuk sup atau bubur untuk meningkatkan pengambilan air seharian.

Published by
SRM