Mama Jangan Terlalu Risau Jika Anak Kita Lambat Sikit Perkembangannya. Setiap Anak Tak Sama

Share

Sikap suka membandingkan kebolehan seorang bayi atau kanak-kanak itu sukar dibendung di kalangan ibu bapa. Misalnya jika anak si A yang berusia setahun sudah pandai berjalan dan bercakap beberapa perkataan akan dibandingkan dengan anak si B yang seusia tetapi belum mencapai perkembangan yang sama.

Ibu si B tidak perlu risau dan bimbang jika perkembangan anaknya adalah normal cuma belum mencapai tahap yang sama seperti anak si A.

Pembesaran fizikal dan perkembangan minda kanak-kanak adalah berbeza. Walaupun secara amnya perkembangan kanak-kanak diseluruh dunia seharusnya sama. Mengikut teori Piaget, seseorang kanak-kanak itu, di saat selepas dilahirkan sehinggalah dewasa akan melalui empat peringkat perkembangan kognitif, iaitu:

1) Sensori motor (usia 0 – 2 tahun)- mendengar pelbagai jenis bunyi, menyentuh objek.

2) Pra operasional (usia 2 – 7 tahun) – mula bercakap dengan perkataan yang betul, boleh melukis.

3) Operasional konkrit (usia 7 – 11 tahun) – memahami logik.

4) Operasi formal (usia 11 tahun hingga dewasa)  – memahami abstrak.

Akan tetapi dalam setiap peringkat perkembangan akan ada sedikit perbezaan dari seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Contohnya, ada bayi yang sudah mula berjalan seawal sembilan bulan, ada juga selewat dua tahun.

Sebenarnya ia juga bergantung kepada faktor kematangan, biologi, dan juga persekitarannya. Justeru, ia adalah perkara normal. Namun begitu, jangan abaikan usaha untuk terus mendidiknya. Jangan pula dipaksa kerana mahu menyaingi anak orang lain, dikhuatiri anak akan tertekan.

 

Published by
Wan Amy