Kehilangan suami yang menjadi tonggak dalam keluarga benar-benar membuatkan hati terasa cukup pedih. Bukan tak menerima takdir Allah, tapi akibat kecuaian orang lain, anak-anak hilang tempat bermanja.

Bagi keluarga arwah Laskar Kanan Mohd Rizal Suberi, 31, belum bersedia memaafkan pemandu wanita yang menyebabkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu maut dalam kemalangan Sabtu lalu.

Masih terkejut & anak masih tertanya-tanya 

Isteri Allahyarham Mohd Rizal, Nurul Asyiken Amir, berkata dia dan tiga anaknya masih berada dalam keadaan terkejut dan sedih sehingga memberi kesan emosi mendalam kepada mereka.

ARTIKEL BERKAITAN [Tiga Beradik Yatim Sekelip Mata. Angkara Orang Lain, Anak Hilang Kasih Ayah]

“Saya tidak dapat berikan jawapan sama ada kami maafkan pemandu wanita itu kerana sukar mengungkapkan kata-kata itu.

“Anak sulung berusia lima tahun sudah menonton video kereta bapanya dirempuh wanita itu dan kemudian bertanya ‘Mama kenapa perempuan itu langgar papa sampai mati.’

“Hati saya hancur. Derita itu hanya saya dan anak yang akan tanggung. Bila awak kata wanita itu minta maaf kepada kami, sukar untuk kami terima,” katanya.

IKLAN

Terdahulu, pemandu Perodua Myvi berkenaan, Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, memohon maaf dan ampun kepada keluarga Allahyarham berikutan kemalangan menyebabkan mangsa maut.

Nur Fatin berkata demikian ketika prosiding di Mahkamah Majistret ketika dihadapkan atas tuduhan memandu kereta di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian Mohd Rizal di lampu isyarat Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada 8.24 pagi, 10 Oktober lalu.

Dia yang hadir dengan kerusi roda telah didakwa dan dijatuhkan hukuman enam tahun penjara dengan denda sebanyak RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas kesalahan memandu dibawah pengaruh dadah.

LAGI ARTIKEL BERKAITAN [Dah Mula Cari Bapa, Baju Arwah Ubat Rindu Anak. Tiap Kali Nak Tidur Menangis]

Bukan salahkan takdir, cuma hati masih sedih

Dalam pada itu, Nurul Asyiken yang juga guru agama di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, berkata kejadian berkenaan membuatkan emosi terganggu menyebabkan dia dan anaknya berada dalam kesedihan.

“Saya bukan tidak menerima suratan takdir, namun mengenangkan suami baharu sahaja menyambut hari jadi anak sulung sebelum kejadian itu berlaku, menyebabkan hati ini hancur.

“Kami sekeluarga baru sahaja berkumpul dan gembira bersama, tiba-tiba jadi macam ini. Hati mana tidak sedih,” katanya.

Harap jadi iktibar orang ramai

Namun, Nurul Asyiken berharap wanita itu insaf dan menyesali perbuatannya selain tidak mengulanginya semula kesalahan sama pada masa depan.

“Saya harap benda ini dijadikan iktibar kepada orang ramai di luar sana supaya berhati-hati ketika memandu kerana sebarang kesilapan membuatkan ada keluarga hilang insan paling mereka sayangi, ” katanya.

Kredit: Metro

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)