Mama dan papa setiap kali membuat kerja rumah, cubalah ajak sekali anak untuk buat bersama. Tidak kisahlah jika hasil kerja mereka tidak sempurna, paling penting mereka pandai mengurus diri.
Secara tidak langsung mama dan papa melatih anak-anak untuk berdikari. Tidaklah sepanjang masa asyik meminta pertolongan mama dan papa sahaja. Anak-anak kita bila diajar, mereka boleh buat. Sebenarnya kanak-kanak suka sangat buat sendiri.
Seperti yang dikongsikan oleh Puan Wan Nur Syakira, asasnya anak suka mencuba segala perkara dan suka sangat nak sertai apa yang kita buat. Itu tandanya anak mahu, cuma bergantung pada ibu ayah bagaimana nak sambut kemahuan itu.
Kalau anak pakai baju sendiri, ketahuilah akan ambil masa yang lama dan mereka tak tahu nak buat pakai pun kalau kita tak ajar. Anak-anak boleh tuang air sendiri jika diajar bagaimana.
✅Cumanya, kena banyak bersabar dalam mengajar. Ini yang susah bukan? Rasa geram sahaja nak tolong buatkan.
Eh, baru sahaja kemas tadi, sudah bersepah bila anak-anak belajar buat air atau tuang air sendiri. Ala, kotor pulak bila anak makan sendiri. Aduh, habis comot baju dan mulut bila anak makan sendiri.
Dulu saya pun sakit mata tengok sepah, sekarang sudah belajar kurangkan sakit mata dan terima kenyataan anak tengah belajar.
Bila kita belajar tutup mata kejap sepah itu, buka mata pada kesungguhan dan usaha anak untuk belajar satu-satu sendiri. Jadi, mak ayah yang membiarkan anaknya belajar dan buat silap. Dan ajar satu persatu dengan sabar.
✅Satu lagi, rendahkan expectation bila didik anak. Yang ini pun kadang-kadang saya terlepas juga, stres sebab terlebih expectations pada anak.
Memanglah akan tertumpah air kalau tapak tangan anak pun lagi kecil dari gelas. Pegang gelas berisi banyak sikit pun dah terketar-ketar. Agaknya begitulah kita bila sudah tua nanti. Terketar-ketar juga nak pegang gelas.
Harapnya anak saya tak tengking dan sabar tolong saya. Ganti kesabaran kita itu nanti ialah, anak yang boleh berdikari, yakin diri, dan bergantung pada diri sendiri.
✅ Sediakan suasana yang mendorong anak untuk berdikari
Nak tak nak, kita kena sediakan sikit suasana dan keadaan yang mendorong anak.
Barang-barang anak kalau boleh letak di kedudukan yang rendah, mudah untuk mereka capai.
Kadangkala bukan mereka tak nak ambil gelas sendiri, tapi gelas itu tinggi di atas almari.
Macam mana mereka nak capai. Letak di laci yang bawah ke, letak di atas meja rendah khas, yang senang mereka nampak dan ambil.
Cermin untuk mereka mesti berada di kedudukan rendah, separa dengan tinggi mereka, baju dan lampin pakai buang letak dalam bakul atau almari rendah. Bila diminta, mereka boleh ambil sendiri.
Tiada kemahiran yang cuba sekali, ajar sekali, terus pandai buat. Kena ulang dan ulang. Di mana ada anak yang mampu berdikari dan bergantung pada diri sendiri, di sana ada ibu bapa dan dewasa yang percaya pada mereka, sabar membimbing.
Kredit: Wan Nur Syakira