Mama Papa Kena Arif Mengenai Najis Bayi. Ia Petanda Penghadaman Yang Normal Atau Masalah Kesihatan!

Share

Warna najis ialah petanda kepada tahap kesihatan si kecil. Mama dan papa baru tentunya berasa pelik najis bayi berubah-ubah warnanya. Ia berubah seiring perkembangannya dan jenis susu atau makanan yang diambil.
Ia juga menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang dialami si manja.

Sepanjang proses tumbesaran, warna najis akan berubah mengikut;
• Tahap umur
• Jenis susu yang diminum
• Jenis makanan yang diambil

1. NAJIS MEKONIUM
Semasa baru lahir, warna najisnya ialah hitam kehijauan dan melekit seperti minyak. Kemonium terhasil daripada air ketuban, mukus, sel kulit dan apa sahaja yang ditelan bayi semasa bayi di dalam rahim ibu. Ia tidak terlalu busuk.


Semasa bayi menginjak ke usia dua hari, warna najisnya semakin cerah dan lembut dengan warna kehijauan dan kurang melekit. Ini adalah tanda sistem penghadamannya mula menghadam susu awal ibu ( kolustrum) atau susu formula dengan baik.

2. NAJIS BAYI MENYUSU SUSU IBU
Bagi bayi yang meminum susu ibu, najisnya berwarna kuning kehijauan dan bertekstur seperti krim. Ia agak cair dan kelikatannya seakan-akan najis cirit birit. Teksturnya seakan-akan seperti krim mustard dan keju yang dicampurkan. Ia mempunyai biji-bijian dan baunya tidak terlalu busuk. Bagi bayi yang menyusu susu ibu, banyak warna najis yang normal dan anda tidak terlalu risau. Jika najis bayi sedikit kehijauan, ia mungkin disebabkan anda memakan sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Jika bayi tidak menunjukkan sebarang masalah, maka tiada apa yang perlu dirisaukan.


Jika najis susu seperti berbuih, bayi mungkin meminum terlalu banyak susu awal atau foremilk yang mana rendah kalori. Foremilk mengandungi kurang kalori berbanding susu akhir atau hindmilk yang kaya dengan lemak. Untuk mengawal keadaan ini, berikan bayi susu ibu yang mencukupi bagi setiap payudara supaya bayi mendapat kedua-dua foremilk dan hindmlik.

3. NAJIS BAYI MENYUSU SUSU FORMULA
Najis bayi yang menyusu susu ibu agak likat seperti mentega kacang iaitu kuning gelap keperangan atau hijau keperangan. Baunya agak tajam berbanding najis bayi yang menyusu susu ibu tetapi tidak terlalu busuk berbanding najis yang sudah memakan makanan pelengkap.


4. NAJIS BAYI YANG MEMAKAN MAKANAN PELENGKAP
Apabila bayi anda mula memakan makanan pelengkap seperti puri buah dan sayur serta bijirin, anda akan mendapati najis bayi juga akan berubah dari segi warna dan konsistensi. Lebih-lebih lagi bagi bayi yang meminum susu ibu.

 

Baunya lebih kuat dan warnanya akan bertukar kepada perang gelap atau coklat. Teksturnya pula lebih pekat daripada mentega kacang tetapi tidak terlalu padat.


5. NAJIS BERCAMPUR DENGAN CEBISAN MAKANAN
Ada kalanya bayi akan membuang najis yang mempunyai cebisan yang berwarna seperti merah, jingga dan sebagainya. Ia mungkin sebilangan makanan yang tidak sempat dihadam sepenuhnya dan bergerak ke bahagian usus. Ia mungkin kerana bayi memakan terlalu banyak jenis makanan atau tidak mengunyahnya dengan baik sebelum ditelan. Anda perlu merujuk kepada pihak doktor sekiranya bayi menghasilkan najis seperti itu dalam jangka masa yang lama.

6. CIRIT BIRIT
Anda akan mengetahui bayi mengalami cirit birit apabila najisnya agak berair berbanding biasa. Warnanya mungkin kuning, hijau atau kerperang-perangan. Adakalanya ia boleh terkeluar daripada bahagian atas lampin!

Cirit birit mungkin petanda kepada masalah penghadaman, infeksi atau alahan. Jika tidak ditangani dengan cepat, ia boleh menyebabkan masalah kurang air dalam badan atau dehidrasi. Segera dapatkan rawatan sekiranya bayi anda berusia lebih muda daripada tiga bulan dan mengalami masalah cirit birit yang berterusan. Lebih-lebih lagi jika najis mengandungi darah!

7. SEMBELIT
Sembelit ditandai dengan pembuangan najis yang berketul dan keras. Dia juga mungkin tidka selesa semasa membuang air besar kerana kesukarannya untuk mengeluarkan najis. Lebih menyedihkan jika ia mempunyai titisan darah!


Pembuangan najis sembelit yang tidak memudaratkan sekiranya hanya berlaku sekali dua. Tetapi sekiranya mengakibatkan pendarahan atau sembelit yang berterusan, adalah lebih baik untuk mendapatkan rawatan dengan segera. Doktor selalunya akan bertanya mengenai jenis susu dan makanan yang diambil bayi serta mencadangkan cara untuk mengatasinya.

8. NAJIS BERLENDIR
Sekiranya si kecil menghasilkan najis kehijauan yang berlendir, ia menandakan berlakunya infeksi atau alergi. Jika perkara ini berlaku berterusan, dapatkan rawatan doktor segera.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Azma ML