Mama dan papa ketika memilih nama anak janganlah terikut-ikut dengan trend. Pilihlah nama yang mempunyai maksud yang baik selain tidak susah hendak disebut. Nama anak akan kekal selamanya!
Bukan senang hendak ubah sesuka hati apabila nama yang dipilih tidak sesuai atau tidak berkenan dihati. Mengubah nama anak yang sudah tertera dalam sijil kelahiran anak, tidak semudah menukar nama dalam geran kenderaan.
Mama & Papa Pilih Nama Anak Bukan Ikut Trend, Biar Ada Maksud Baik
Dalam satu kajian di Amerika Syarikat (AS), terdiri daripada 1,000 ibu dan bapa, 25 peratus kalangan responden mengaku menyesal dengan nama yang mereka berikan kepada anak. Kenapa menyesal? Sebabnya, mereka merasakan nama anak itu tidak sesuai, susah dieja, terlalu ‘mainstream’ dan macam-macam sebab lain.
NAMA BERI KESAN PSIKOLOGI
Berdasarkan hasil kajian dijalankan Pengarah Institut Kajian Dasar dari Northwestern University, David N.Figlio, anak lelaki dengan nama feminin kemungkinan besar berperilaku buruk berbanding anak lelaki dengan nama maskulin. Pelikkan?
Hal ini terjadi kerana nama feminin itu membuat si anak lelaki itu kurang rasa yakin diri dan malu apabila diejek rakan sebaya.
JANGAN SALAH PILIH
Jadi, ada baiknya kita bersedia dengan pilihan nama yang sesuai untuk bayi yang bakal lahir nanti. Berikut beberapa tip penting yang boleh dijadikan panduan sebelum memilih nama anak:
KAJI MAKSUD
Sekiranya berminat dengan satu nama, kaji betul-betul apakah maksud nama tersebut. Pastikan nama yang dipilih mempunyai maksud positif kerana nama itu ialah satu doa kepada anak.
Jangan Sampai Nak Sebut Pun Susah
EJAAN DAN SEBUTAN MUDAH
PENTING! Amboi sekarang masing-masing ibu bapa suka benar mengeja nama anak ikut slang mat saleh! Pastikan nama anak mudah disebut dan dieja. Senang nanti kita atau anak hendak menulis. Mudah pula untuk kawan, cikgu dan orang lain memanggil dia nanti. Tidak perlulah ejaan ‘Haris’ dieja ‘Hareez’, atau ‘Din’ dieja ‘Dean’.
ELAK NAMA DIEJEK
Pastikan nama yang diberikan tidak mengundang ejekan rakan sebaya nanti. Seperti apa selalu terjadi, ada sesetengah ibu bapa memberikan nama berunsur feminine kepada anak lelaki, dan begitu sebaliknya. Lebih baik berikan nama yang sesuai mengikut jantina.
JANGAN PANJANG SANGAT
Elakkan nama terlalu panjang. Sebabnya, memudahkan kita mengisi apa-apa borang, dan anak juga senang menulis namanya pada kertas soalan peperiksaan nanti. Tidaklah terkial-kial beberapa minit semata-mata mahu menulis nama. Sudahlah nama ayah panjang, nama anak pun panjang juga.
JANGAN HANYA IKUT TREND
Jangan ikut trend semata-mata. Pastikan nama sesuai dengan rupa anak, tarikh lahir dan jantina. Pastikan nama anak bermaksud baik dan mencerminkan personaliti anak.
Sumber: Bum Bum Cak Via Huffington
Kredit foto: Freepik
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Kecil Menyusu Badan, Suami Patut Tolong Cara Ini Tanda Bagi Sokongan Pada Isteri
Bila masih ada anak kecil menyusu badan, suami patut tolong sebagai cara tanda sokongan pada isteri. Wanita bila mempunyai anak, tiada lagi masa untuk diri sendiri melainkan jika urusan rumah tangga dan anak selesai. Tambah lagi yang bekerja. Sampai rumah, letak beg sekejap terus fikirkan apa nak buat untuk suami dan anak.
Lagi payah, anak cuma nak dengan si ibu. Balik-balik kerja dua-dua anak tarik ibu. Agak-agak macam mana seorang suami boleh mudahkan urusan isteri dalam situasi ini?
Ok, cuba ikut tip ni perlahan-lahan. Kalau dapat suami yang ada masa untuk memahami dunia mak-mak beranak kecil, untung-untung semua benda ni dah siap balik kerja nanti.
- Tolong buat air untuk isteri
Biasanya ibu menyusu selalunya akan rasa dahaga. Maka eloklah suami tolong sediakan minuman untuk isteri. Serius, isteri pasti akan hargai dan hilang penat balik kerja walau suami cuma bagi air kosong.
- Sediakan tempat bersandar
Memang tugas menyusukan bayi adalah tugas isteri tapi bukan bermaksud suami hanya tidur lena tak sedarkan diri pada waktu malam. Apa salahnya suami jadi tempat isteri bersandar dan berehat semasa menyusukan bayi. Selesa sikit isteri nak menyusukan bayi. Untung-untung cara ini boleh rapatkan hubungan suami isteri.
- Uruskan anak yang lain
Kalau dua-dua anak kecil itu masih menyusu badan, biarkan dia menyusu kejap. Nanti suami bolehlah tarik salah seorang dan buat main kejap. Tak adalah isteri rasa susah nak handle anak. Kena faham situasi ini, tak boleh tunggu arahan kaum mak-mak yang dah penat. Tapi kalau anak yang lain dah besar dan tak menyusu, suami tolonglah uruskan keperluan anak-anak macam mandikan atau bagi makan. Jangan biarkan isteri seorang yang menguruskan keperluan anak. Tahu tak kalau mak-mak menyusu ni stress, susunya pun boleh drop.
- Basuh peralatan pam susu
Kadang balik kerja dah penat, nak basuh peralatan pam susu pun tak sempat. Haaa… masa inilah suami boleh bantu. Suami boleh meringankan beban isteri dengan membersihkan segala peralatan tersebut. Jadi masa nak guna, isteri boleh terus ambil yang dah bersih. Mudah juga kerja mak-mak nak menyusu.
- Bantu buat kerja rumah
Jangan bebankan isteri dengan tugas-tugas rumah tangga. Suami juga boleh membantu isteri melakukan kerja-kerja membasuh pakaian, mengemas rumah, menyapu lantai, membasuh pinggan dan mungkin juga memasak. Isteri boleh tumpukan perhatian untuk menyusukan si kecil tanpa memikirkan pakaian yang belum tersidai.
- Suami boleh tolong tukarkan lampin
Andai anak menangis di tengah malam, suami jangan buat-buat tak dengar dan tidur ‘mati’. Suami sepatutnya bangun dulu untuk tengok sama ada lampin si kecil sudah basah atau hendak susu.
Jika lampin perlu ditukar, tak perlu kejutkan isteri sebaliknya anda boleh buat sendiri. Kemudian barulah kejutkan isteri untuk menyusukan bayi.
- Uruskan bayi selepas menyusu
Suami juga boleh membantu isteri menguruskan anak selepas disusukan seperti sendawakan anak (bayi baru lahir), mendukung, mandikan atau tidurkan bayi. Biasanya ibu akan rasa sedikit penat selepas menyusukan anak. Jadi isteri perlu berehat seketika.
- Jaga mood isteri
Tak mudah beranak kecil ni, tambah kalau isteri itu pun keluar bekerja. Penat emosi dan badan. Jadi suami kena tahu cara nak buat isteri gembira walau penat nak menyusu anak. Haaa… ini juga salah satu formula untuk menghasilkan susu yang banyak dan berkualiti. Jangan sakitkan hati isteri dan jangan cari pasal dan menyebabkan mood isteri terganggu. Sebolehnya mengalah dan cuba letakkan diri anda dalam situasi mak-mak.
- Balik awal
Mungkin banyak kerja tetapi kalau dah tahu ada anak kecil eloklah suami usahakan balik awal. Kalau nak ikutkan kerja yang tak siap, memang setiap hari kerja tak habis. Andai betul-betul tak boleh pulang awal, beritahu isteri awal-awal dan balik terus ambil alih tidurkan anak. Bagi isteri rehat kejap.
- Cedok ilmu mudahkan kaum ibu menyusu
Jangan nak harapkan kaum mak-mak 100% dalam urusan menyusu dan menjaga anak. Sekurang-kurangnya suami tahu sedikit sebanyak tentang menyusu dan sesekali bolehlah berkongsi tip dan bagi sokongan waktu isteri rasa air susu kurang.
Ok, nampak tak caranya? Sebenarnya tak susah pun nak ‘manjakan’ kaum isteri yang masih menyusukan anak kecil. Percayalah, suami yang membantu dan menyokong isteri menyusukan anak akan memberikan perubahan besar dalam hidup sebagai pasangan suami isteri walau zaman bercinta dah berlalu pergi.
Jom tonton cara suami ini tolong isterinya yang menyusu anak. Suami lain pun boleh contohi.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hanya 50 Peratus Peluang Untuk Hidup Ketika Lahir, Kini Khalish Mampu Makan Sendiri Walaupun Menghidap Cerebral Palsy
Ketika penulis mendekatinya untuk ditemuramah, Norlailee Abu Hassan tidak keberatan. Bahkan dia sanggup datang jauh dari Melaka untuk bertemu penulis. Banyak kisah menarik tentang anaknya, Hairul Khalish Hairulaminy yang dia ceritakan pada penulis.
RAHIM TIDAK KUAT
“Khalish dilahirkan secara normal dengan berat 615gm sahaja ketika itu. Usia kandungan saya baharu masuk 26 minggu tetapi saya mengalami kontraksi secara tiba-tiba. Saya terus ke hospital, bukaan dah ada. Lebih kurang 30 minit, saya selamat melahirkan dia. Air ketuban pecah dan menurut doktor rahim saya tidak kuat,” kata Lailee memulakan cerita.
Khalish dimasukkan ke NICU dan diletakkan di dalam inkubator selama lima bulan di Hospital Sg. Buloh, Selangor. Menurut Lailee, doktor memberitahu peluang Khalish untuk hidup hanya 50 peratus sahaja kerana terlalu banyak komplikasi. Bahkan Khalish memegang rekod sebagai bayi terkecil yang hidup sehingga sekarang di hospital itu. Beratnya hanya 8.9kg dan umurnya enam tahun. Kata doktor, masalah Khalsih ini dikenali sebagai failure to thrieve.
BANYAK KOMPLIKASI
Salah satu komplikasi Khalish ketika dilahirkan adalah hydro chephalus iaitu jumlah cecair berlebihan dalam kepala. Ia dikesan sewaktu usianya seminggu. Sepatutnya sejenis salur dimasukkan untuk mengeluarkan cecair tersebut dari otak, telinga dan perutnya. Memandangkan berat Khalish cuma 1.2kg ketika itu, doktor terpaksa menunggu sehingga beratnya mencapai 1.8kg sebelum pembedahan dapat dibuat. Ketika beratnya sudah cukup, doktor lihat cecair itu masih ada tetapi tidak bertambah. Jadi doktor suruh pantau jika ada sebarang masalah. Cukup umurnya lima tahun, doktor kata perkara tersebut tidak perlu dirisaukan lagi.
Sewaktu di hospital, doktor memberitahu Lailee yang Khalish tidak boleh minum susu formula kerana dikhuatiri ususnya pecah. Jadi setiap hari Lailee akan bawa stok susu yang ada. Hanya mampu memberinya susu badan selama tiga bulan, Lailee memberitahu yang dia telah cuba macam-macam cara untuk menambah susu badannya. Keluarga banyak memberi sokongan kepada Lailee, itulah yang menjadi penguat semangatnya.
Khalish juga mempunyai masalah jantung kronik. Dia tidak mampu untuk bernafas sendiri. Doktor terpaksa mencadangkan Khalish untuk memakai alat bantuan pernafasan. Selama lima bulan dia menggunakannya dan ketika keluar hospital, Khalish terpaksa dipakaikan tiub yang disambungkan dari hidung ke perut untuk membantunya menyusu.
“Waktu itu Khalish memang masih kecil. Dia tidak pandai bernafas sendiri. Bila dia minum susu, dia terlupa untuk bernafas. Tahu-tahu wajahnya menjadi kebiruan. Lebih kurang lapan bulan menggunakan tiub, bila doktor yakin dia sudah boleh bernafas sendiri baharulah ia dicabut,” cerita Lailee lagi.
CABARAN KHALISH DAN MAMA
“Bila kita ada anak istimewa ni, tidak dinafikan pasti ada cabarannya. Salah satunya bila tiub tercabut. Situasi itu sangat bahaya kerana Khalish harus dibawa ke hospital terus. Ada masanya saya tak tidur malam kerana khuatir terlepas pandang, manalah tahu tiub tu tercabut pada waktu saya tertidur,” tambah Lailee lagi. Selain itu, Lailee kerap memantau keadaan Khalish kerana anaknya itu tidak boleh bernafas sendiri.
Memandangkan Khalish selalu dibawa naik kereta, jadi tidak sukar membawanya ke hospital untuk berjumpa pakar. Lailee melahirkan rasa syukurnya kerana Khalish jarang meragam ketika dia sedang memandu. Memandangkan Khalish tidak boleh bercakap, komunikasi sukar antara dua beranak ini. “Semakin dia dah besar ni, macam-macam yang dia mahu. Disebabkan dia tak boleh beritahu saya apa dia mahu, kadang-kadang meragam jugalah dia. Saya pula jadi buntu tak tahu apa Khalish nak,” kata Lailee lagi.
Lailee memberitau sedari umur Khalish enam bulan, dia sudah dibawa untuk menjalani terapi. Doktor yang merawatnya tidak memberi harapan yang tinggi. Tetapi mereka juga tidak menyangka Khalish dapat ‘berkembang’ dengan baik. Kanak-kanak yang menghidap cerebral palsy (CP) biasanya tidak boleh mengawal air liur (sering meleleh) dan otot-ototnya keras. Tetapi tidak, Khalish kerana dia sudah mampu mengengsot dan bertatih. Jika diberikan kentang jejari pun, Khalish boleh memegangnya sendiri.
“Saya percaya semua ini berkat terapi yang kami buat seminggu sekali secara konsisten. Terapi seminggu sekali tetapi berbeza-beza setiap kali sesi. Ada terapi fisio, pertuturan dan cara kerja,” tambah Lailee.
MENGAJAR DI SEKOLAH ANAK ISTIMEWA
“Saya mengajar di sekolah anak istimewa untuk tambah ilmu. Bila mengajar di sana, saya dapat perbaiki diri. Sayajuga mengambil kursus terapi untuk anak yang menghidap CP. Lebih kurang dua tahun juga saya kumpul pengalaman mengajar anak istimewa. Sekarang pun saya ada mengajar tusyen khas untuk anak-anak yang lambat pembelajaran,” cerita Lailee lagi.
Selain mengajar, Lailee aktif dalam persatuan untuk ibu bapa yang mempunyai anak istimewa. Menurut Lailee, dia suka bergaul dengan orang-orang yang mempunyai masalah sepertinya bagi berkongsi cerita dan maklumat. “Kalau ada anak istimewa ni, jangan pinggirkan mereka. Kita kena sentiasa berharap dan usaha untuk dapat hasil yang terbaik. Penting untuk kita terima dan redha dengan ketentuan ini.
Saya harapkan Khalish dapat membesar dengan baik dan mampu berdikari. Sekarang saya amalkan gaya hidup sihat supaya saya sentiasa dalam keadaan yang terbaik untuk menjaga Khalish,” kata Lailee mengakhiri ceritanya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Walaupun Kerenah Anak-Anak Kadang Buat Kepala Kita Sakit, Hakikatnya Merekalah Ubat Hilang Penat Dan Stres Kita!
Tak dinafikan sebagai ibu dan ayah, kadangkala kerenah anak-anak buat kepala kita sakit, hakikatnya tanpa sedar merekalah ubat hilang penat dan stres kita!
Adakalanya kita marah dan menolak ajakan si kecil untuk bermain bersama dengan alasan sibuk dan letih pulang dari kerja tanpa mengambil kira perasaan sedih si anak.
Oh, kejamnya kita sebagai ibu dan ayah sedangkan anak tak sabar hendak menghiburkan hati kita kerana kasih dan sayang mereka yang tiada hadnya.
Perkongsian daripada seorang ibu kepada sepasang cahayamata yang juga merupakan pensyarah dan penulis buku keibubapaan, Dr Siti Ujila Masuri wajar dijadikan panduan kepada semua ibu bapa.
JIKA SERABUT DENGAN KARENAH ANAK, JIKA HIDUP TERASA BERAT..SEMOGA PERKONGSIAN KECIL INI ADA MANFAATNYA
Hidup kita ini memang macam-macam halnya kan?
Kat tempat kerja, satu perkara yang saya notice ialah: ‘to-do-list’ tak pernah betul-betul settle. Belum pun siap kerja yang sedang diuruskan, ehh..dah bertambah list? Kenapa ek pandai betul kerja ni beranak-pinak. Geram pula dibuatnya. Kalaulah yang beranak-pinak ni duit kan bagus hahaha.
Ha tu dia, bila kepala dah serabut mulalah fikir macam kartun
Balik rumah pula, bagi yang ada anak-anak comel ni faham-faham je la. Baru nak rehat sekejap sebelum masak dinner, yang kecil tiba-tiba menjerit, menangis. Ingatkan kenapa, rupanya kaki terlanggar kaki meja. Hmm..okay.
Yang seorang lagi membebel-bebel cari pemadam tak jumpa. Tu baru dua orang. Kalau yang ada anak lebih ramai, huu i feel you.
Fuh, tarik nafas sekejap.
Itu baru rutin biasa. Belum cerita masalah yang buat habis hilang semua mood. Masalah hati dan perasaan. Masalah yang tak nampak jalan penyelesaian. Yang buat kita menangis sorang-sorang.
Kadang-kadang ia buat hidup terasa berat.
Berat untuk kaki melangkah. Untuk meneruskan hidup, adakalanya terasa begitu payah.
Yang ada hanya air mata yang mengalir tanpa henti dan fikiran yang buntu, tidak tahu lagi apa yang harus dilakukan.
Tuhan, betapa lemahnya diri ini.
Saat seperti ini, entah kenapa..anak cuma menangis pun kita jadi serabut. Anak bising bermain, kita jadi marah. Tak pasal-pasal, anak yang sedang seronok bermain jadi menangis kerana dimarahi.
Kita Manusia Yang Lemah
Allahu..maafkan mama sayang. Kenapalah mama macam ni..
Tuan-puan yang budiman, mengertilah bahawa ini perkara biasa.
Kita manusia lemah, yang terkadang sedikit masalah sudah mampu membuat kita hilang punca. Kita bukan robot yang tiada perasaan dan tidak mengenal penat.
Kita manusia biasa. Kita penat, kita sedih. Kita mahu bahagia, tapi seringkali hati kita terasa sakit.
Hingga seringkali anak-anak yang menjadi mangsa walaupun bukan niat kita.
Tuan-puan, izinkan saya berkongsi. Satu perkara yang sangat saya hargai. Sangat simple, tapi itulah yang banyak membantu saya menghilangkan segala rasa lelah.
Yang, ketika saya sedih, mampu untuk buat saya ketawa sekelip mata.
Seronokkan adanya satu perkara ini..
Itulah dia, anak-anak saya.
Seorang puteri, seorang putera.
Yang puteri gemar berkongsi cerita dengan saya, yang selalu ceritanya kadang-kadang buat saya ketawa, kadang-kadang buat saya tersentuh. Banyak juga dari cerita-ceritanya, Allah buka ruang untuk saya kongsikan kepadanya apa yang baik apa yang tidak.
Mengajinya lancar, sejuk hati mendengarnya. Bila disuruh dia terus buat. Bila dipanggil, dia terus datang. Sesekali dia datang saja-saja, hanya untuk mencium mamanya dan buat hati mama mengembang macam icon love di applikasi whatsapp tu haha. Kadang ciumnya banyak sangat sampai mama paksa dia stop sambil sama-sama gelak (sebab dia tetap cuba untuk cium dan mama cuba mengelak hahhaha).
Yang putera pula, jenis mudah terhibur bila dengan mama. Kadang benda tak kelakar pun dia boleh gelak sampai mama pelik, apa yang kelakar dik? Haha. Bila makan, tengok-tengok dia berdiri..sebab bila duduk tangannya susah untuk menyuap makanan (tak cukup tinggi haha). Bila saya perasan, “ehhh..laaa..adik berdiri?” Dahhh..masing-masing jadi ketawa.
Seronok rasanya bila perkara simple pun selalu jadi asbab kami gelak bersama.
Itu tang gelak. Kalau bab disuruh, dia memang akan buat. Ampai baju, lap meja makan, kemas mainan. Cakap saja, dia akan buat. Tak merungut pun. Siap kadang-kadang tu sambil mulutnya menyanyi lagu kesukaan.
Terhibur hati mama dik. Sejuk rasanya.
Very good sayang. Mama doakan..bila adik dah besar dan jadi suami orang, adik jadi suami yang rajin bantu isteri buat kerja rumah. Confirm isteri adik bertambah sayang kat adik hehe.
Itu belum cakap tentang manjanya, sweetnya dia. Teringat saya..kadang bila makan, disuapnya saya. Lagi-lagi bila mama on diet. Memang dia suka suap. Grrrr, saja je adik ni.
Sebenarnya Anak-Anak Penghibur Kita
Tuan-puan yang budiman, saya bukan nak cerita tentang anak-anak saya. Tapi saya nak kongsikan, yang sebenarnya anak-anak kita..walaupun karenahnya kadang buat kepala kita sakit…tapi mereka bukan itu semata-mata.
Terjunlah ke dalam hati kita, dan lihatlah dengan mata hati..lihatlah dengan sesungguhnya..
Kita akan mendapati, senyuman anak itu yang buat hati kita merasa lapang. Bisingnya mereka bermain bergurau, itulah riang ria di rumah kita yang akan kita rindui saat mereka semua masing-masing sudah besar dan punya hidup sendiri.
Saat kita mula mengubah sudut pandang, kita akan semakin mendapati jika mereka datang kepada kita untuk bermanja, ia tidak lagi terasa mencuri masa kita yang terhad. Tapi itulah terapi untuk kita menghilangkan penat setelah seharian bekerja. Ya memang kerja kita di rumah masih banyak. Pinggan kotor belum dibasuh. Nasi belum dimasak. Tapi..bila anak datang kepada kita, rupanya itulah masa untuk kita baring sekejap bersamanya. Dia peluk kita, kita usap kepalanya. Hilang segala penat. Selang 2 minit, anak bangun dan pergi dari kita..ready untuk menyepahkan rumah dengan mainannya haha.
Adik..adik..comelnya la hai anak mama ni.
Inilah dia ‘rungutan’ seorang ibu yang bahagia.
Ya, kita bahagia jika kita melihat yang di hadapan kita itu sebagai sumber bahagia.
Bila anak ajak bermain, sedangkan kita penat…tapi kerana kita melihat anak sebagai sumber bahagia, kita turutkan juga. Sudahnya, kita yang lagi tergelak berbanding anak.
Ya Allah, terima kasih ya Allah.
Jika dulu..aku merungut bila anakku ajak bermain. Malah aku marahinya, kataku..mama kan sibuk ni dik. Mama kan penat nii..hingga anak monyok mukanya..sedih hatinya..
Tapi sekarang, ternyata akulah yang lebih bahagia dan gembira bila mereka mengajakku bermain. Akulah yang hilang penat dan stress.
Rupanya akulah yang perlukan waktu untuk bermain bersama mereka itu, masa bersama itu..lebih dari mereka sendiri.
Mereka itulah yang membuatku gembira sekelip mata.
Terima kasih sayang mama. You are my terapi. You are my happiness sayang.
Betapa baiknya Allah kepada mama, kerana buat mama sedar dan rasai..bahawa kedua anak mama inilah syurga mama. Syurga di dunia ini, penguat mama mengharungi segala liku kehidupan, penggembira mama yang sangat pandai mencuit hati mama.
Dan syurga mama di akhirat kelak. Bila kasih sayang yang tercipta, kebahagiaan yang Allah berikan di dunia ini..berterusan hingga di syurga yang sebenar. Masa tu sayang, mama dah tak payah kerja. So all the time kita akan spend masa sama-sama..bestnyaa..tasabar..hihi.
Disiplinkan Anak Dengan Kasih Sayang
Tuan-puan yang dihormati, inilah yang saya ingin kongsikan.
Saya ingin nyatakan, bahawa anak-anak bukan tanggungjawab dan amanah semata-mata.
Memang, hadirnya mereka menambah tugasan kita.
Tapi, mereka juga hadir untuk membuat kita ketawa saat kita bersedih. Untuk membuat kita kuat saat dunia terasa melelahkan. Yang buat kita tersentuh dan hati berbunga hanya dengan ucapannya, “i love you mama”
Lihatlah ke dalam hati kita. Lihatlah dengan sesungguhnya. Itulah mereka.
Semuanya, semua bahagia ini..sangat mudah tercapai..jika kita sayangkan mereka dengan cara memberi kasih sayang.
Berilah kasih sayang kepada mereka..
Dengan banyak melihat sisi baik mereka,
Dengan banyak meluangkan masa bersama walaupun sekejap,
Dengan banyak bergurau senda dan tertawa bersama,
Dengan banyak mengucapkan kata cinta,
Dengan selalu mengusap kepalanya, mencium pipinya,
Dengan makan bersama sambil berkongsi cerita,
Dengan mengambil tahu minatnya, kawan-kawannya,
Dengan bertanyakan kepadanya jika ada yang tidak kena.
Bahkan untuk mendisiplinkannya juga dengan kasih sayang.
Itulah tegas. Tegas itu mendisiplinkan anak tanpa perlu terjerit-jerit memarahinya. Tanpa perlu mengugutnya. Tanpa perlu memukulnya.
Didiklah anak dengan kasih sayang. Besarkan anak dengan kasih sayang. Disiplinkan anak dengan kasih sayang.
Hiduplah bersama anak dengan kasih sayang.
Kasih sayang itu yang akan melembutkan hatinya hingga mudah dilentur.
Kasih sayang itu yang membuatkan anak amat kasih dan sayangkan kita.
Dan kasih sayang itu jugalah yang menjadikan hidup kita setiap hari bahagia.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Yang baik semuanya dari Allah swt.
Sumber: Dr Siti Ujila Official
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI