Sebagai Mama dan Papa, tidak mudah untuk merendahkan ego dan memohon maaf dari anak-anak. Ya, ia boleh disebut dengan mudah tetapi sejauh mana kita benar-benar maksudkan kata maaf itu? Ingatlah, mereka belajar untuk memohon keampunan dan memafkan daripada kedua orang tuanya.
Bukan saja anda dapat memperbaiki situasi tegang yang telah berlaku antara kalian bahkan mengajar mereka satu nilai positif pada masa yang sama. Anda tahu anda bersalah, tetapi tidak tahu cara yang tepat untuk memohon maaf? Pa&Ma senaraikan empat perkara yang harus anda lakukan jika mahu meminta maaf daripada anak-anak.
Mohon maaf tanpa henti tidak bermaksud anda kalah dengan mereka. Cara ini dapat menunjukkan kepada mereka betapa serius anda mahu minta maaf dan memperbaiki keadaan. Katakan begini, “Mama tahu apa yang Mama buat tu salah. Mama minta maaf ya?”. Cukup begitu. Jangan sesekali memberi alasan dan cuba mencari kesalahan anak anda ketika anda sedang memohon maaf. Jangan pula anda kata begini, “Betul Mama salah. Mama minta maaf, tapi kalau kamu tak buat ………………”. Ini bukan cara memohon maaf yang anak anda akan hargai.
2.DENGAN RENDAH HATI, MINTA ANAK MAAFKAN ANDA
Memandangkan bukan mudah untuk memaafkan, kita harus sentiasa berusaha. Minta maaf dengan ikhlas dan tunjukkan yang anda benar-benar rasa bersalah. Selepas memohon maaf, mintalah anak untuk menerimanya. Jangan paksa, tetapi perlahan-lahan ambil hati mereka semula.
Dengan memohon maaf dan meminta dimaafkan, itulah yang menjadikan usaha anda itu berkesan. Perbuatan dan sikap yang kita tunjukkan kepada anak-anak perlu sekuat perkataan yang keluar dari mulut. Jika kita terus membuat salah yang sama berulang kali, kata maaf kita mungkin tidak bermakna lagi kepada anak-anak.
Jika anak-anak menerima permohonan maaf kita, tidak bermaksud semuanya akan pulih segera. Mungkin anak-anak mudah melupakan jika mereka masih kecil, tetapi anak yang sudah besar sedikit, mereka akan mengambil masa untuk kembali rapat dengan kita. Bersabarlah. Kesungguhan anda memohon maaf dan keihklasan anda untuk membuktikannya akan memberi ruang kepada anak anda untuk memaafkan anda tanpa mengingatinya.
Anak-anak belajar dari apa yang mereka lihat dan dengari. Untuk menjadikan mereka anak yang baik dan sentiasa positif, nilai itu harus ditunjukkan kepada mereka. Tidak sukar untuk menyebut perkataan maaf, tapi tanyakan pada diri sendiri jika anda benar-benar maksudkannya, kerana itulah yang penting.