Dalam soal zuriat, semua ibu bapa pastinya mengharapkan anak yang dilahirkan sempurna dan membesar dengan normal. Namun jika Allah pilih kita untuk membesarkan anak istimewa, pasti ada ganjaran pahala.
Betul cabaran membesarkan anak istimewa bukan mudah, melainkan jika ada kesabaran yang tinggi. Mungkin setiap ibu bapa yang ada anak istimewa mempunyai pendekatan tersendiri untuk mengajar dan mendisiplinkan anak. Tujuannya hanya satu untuk pastikan anak boleh berdikari.
Seperti perkongsian ibu ini yang mempunyai anak autisme, Puan Nor Azlinda Abdul Kader, caranya mendidik Danish mungkin agak tegas tetapi dia bersyukur dapat melihat perkembangan positif.
Kena kuat semangat
Agak risau juga untuk berkongsi pengalaman saya mendidik Danish menjadi seperti sekarang dan alhamdulillah mampu berdikari serta boleh buat kerja rumah.
Danish sama seperti kanak-kanak autisme yang lain. Ketika usianya 3 atau 4 tahun, dia selalu mengamuk bila tak dapat sesuatu barang yang dia inginkan. Dia suka hantukkan kepalanya ke lantai dan dia suka baling-baling barang.
Pada mulanya saya memujuk, saya perhatikan saja. Tak tahu nak buat apa ketika dia berada dalam keadaan seperti itu. Bila dia hantukkan kepalanya, saya akan lapikkan bantal. Bila dia balik barang, saya kemaskan balik.
Tiba-tiba, saya dapat satu idea untuk buat apa yang dia buat tapi saya buat lebih ganas dari dia. Rupanya dia takut pada orang yang lebih tegas, garang dan beri dia sedikit rasa sakit yang boleh menyebabkan dia rasa serik untuk melakukan hal tersebut.
Faham kehendak anak
Bila saya dapat kunci kelemahannya, saya praktikkan cara itu. Contoh, bila dia hantukkan kepalanya, saya akan hantukkan kepalanya dengan kuat sedikit yang menyebabkan dia terkejut dan agak takut untuk mengulanginya lagi. Bila dia baling barang, saya akan hempaskan sesuatu barang yang menyebabkan dia rasa takut untuk mengulanginya.
Danish umur 5 tahun, dia dah tak pakai pampers sepenuhnya. Cara saya melepaskan pampersnya, agak sedikit kejam tapi saya terpaksa cuba dengan cara itu.
Saya mula buang pampersnya di malam hari. Saya beli pelapik alas meja plastik putih jernih, letakkan diatas tilam. Kemudian saya bentangkan converter, baru saya suruh dia tidur. Bila dia terkencing, saya akan cubit di pehanya, dia terkejut dan lari masuk bilik air.
Malam yang kedua berlaku perkara yang sama. Saya cubit di pehanya, dia lari masuk bilik air. Malam yang ketika, dia bangun kencing masuk bilik air dan seterusnya.. secara automatik waktu siangnya dia kencing dalam bilik air. Selesai bab kencing.
Kemudian bab dia nak buang air besar setiap kali dia nak buang air besar, dia akan tunjuk pampers. Saya tunjuk tandas cangkung kat dia, dia geleng kepalanya. Saya pakaikan juga Pampers, tapi saya hukum dia cuci najis sendiri. Bila dia pakai Pampers, najis tu akan melekat di punggungnya. Dia geli, dia menangis.. Saya tak perduli, saya paksa juga dia cuci najis dia sendiri.
Hari seterusnya dia nak buang air besar, tapi kali ni dia tak minta di pakaikan pampers, sebaliknya dia tunjuk tandas cangkung. Saya suruh juga dia cuci najisnya sendiri, tapi kali ni dia tak menangis.. mungkin sebab najis tak terkena sangat jarinya. Kemudian saya tanya dia, “nak berak pakai Pampers ke, nak berak kat tandas? ” Dia tarik tangan saya, tunjuk tandas. Alhamdulilah.. selesai bab Pampers.. ketika itu umur Danish 5 tahun..
Bagi saya, selagi sesuatu perbuatan itu tidak memudaratkan atau mendatang cedera yang teruk dengan niat untuk melatih dan mengajar, teruskan.
Kita tidak selamanya sihat atau hidup untuk menguruskan anak istimewa kita. Kena ajar anak berdikari dan pantau kembali apa yang kita suruh dia buat. Kalau tak bersih anak cuci, jangan marah. Ajak anak masuk bilik air dan ajar dia cuci sehingga dia mampu melakukannya dengan baik.
Selalulah beri pujian pada anak dengan sesuatu perkara yang diluar jangkaan yang boleh dia lakukan. Supaya anak lebih bersemangat untuk belajar menguruskan dirinya dengan baik.
Kredit: Nor Azlinda Abdul Kader
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)