Mana Ada Diet Nak Elak Plasenta Previa, Ini Perkara Penting Ibu Hamil Kena Tahu

Share

Mana Ada Diet Nak Elak Plasenta Previa, Ini Perkara Penting Ibu Hamil Kena Tahu

Placenta previa boleh menyebabkan risiko pendarahan semasa hamil dan juga ketika proses kelahiran. Ada beberapa situasi yang menyebabkan ibu-ibu hamil dengan kes placenta previa perlu berwaspada.

Menurut Dr Amirul Amzar, plasenta previa ialah satu keadaan di mana uri terletak di bahagian bawah rahim dan menghalang laluan untuk bersalin. Beliau juga turut memberikan reaksi kepada penyebaran info yang mengatakan ada diet tertentu yang boleh mengelakkan plasenta previa ini.

Kredit foto: Pexels

BETUL KE ADA DIET UNTUK ELAK PLACENTA PREVIA?

Makin mengarut ajaran doula ekstremis ni. Hari tu kata ada diet untuk elakkan Caesarean. Sekarang ada diet untuk elakkan Placenta Previa pulak!

Saya cari punya cari, tak ada pulak jurnal yang membuktikan informasi ini. Saya tanya pakar perbidanan dan pakar pemakanan pun tak ada jugak makanan untuk elak Placenta Previa. Mana lah doula ni belajar. Lepas tu ajar pada pada orang awam, orang awam pun percaya bulat-bulat.

APA ITU PLACENTA PREVIA?

Placenta previa adalah satu keadaan di mana uri terletak di bahagian bawah rahim dan menghalang laluan untuk bersalin.

Biasanya ia didiagnos selepas 28 minggu kehamilan kerana sebelum itu, uri yang rendah masih ada potensi naik ke atas.

Placenta previa ni ada beberapa jenis. Ada yang masih boleh bersalin normal, ada yang memang kena Caesarean.

PLACENTA PREVIA BOLEH MENYEBABKAN PENDARAHAN TERUK

Placenta previa juga mendedahkan ibu pada risiko pendarahan yang teruk. Kalau berdarah, sekejap je darah dalam badan si ibu boleh kering. Sebab itu ia perlu pemantauan rapat oleh pakar.

Kredit foto: Pexels

LAPAN FAKTOR TERJADINYA PLACENTA PREVIA

Antara faktor risiko placenta previa adalah:

1. Sejarah placenta previa pada kandungan sebelumnya.
2. Sejarah pembedahan melibatkan dinding rahim seperti Caesarean atau pembuangan fibroid (myomectomy).
3. Sejarah kandungan ramai, terutama jarak antara kandungan rapat-rapat
4. Merokok.
5. Menggunakan kokain sewaktu mengandung.
6. Sejarah pencucian rahim oleh sebab keguguran (dilation and currettage).
7. Kandungan kembar, kerana uri yang lebih besar.
8. Posisi bayi tidak normal seperti songsang atau melintang.

Kredit foto: Pexels

Tak ada lagi makanan yang menyebabkan placenta previa dan tak ada lagi makanan yang boleh membantu dalam rawatan placenta previa.

Jadi, hati-hati bila dengar informasi kesihatan dari doula ekstremis. Kalau dengar, double confirm kesahihan dengan doktor merawat. Takut bayar beratus-ratus, dapat informasi pulak mengarut-ngarut.

Doula hanya peneman. Doula tak ada kelayakan beri nasihat perubatan.

*Doula bukan bidan
*Doula bukan doktor
*Doula bukan pakar pemakanan
*Doula juga bukan farmasis.

Sumber: Dr Amirul Amzar Kredit foto (top image): Pexels

Published by
Has