Mana Silapnya? Tak Sanggup Dengar, Anak 6 Tahun Menangis Sambil Panggil Mama B***

Share

Bergetar hati ini saat mendengar panggilan anak kecil pada ibunya. Bukan apa perkataan yang tak patut disebut itu keluar dengan mudah sekali dalam keadaan anak itu menangis.

“Mama babi!”

Telinga ini menangkap suara itu. Cepat-cepat aku kucup dahi dan peluk erat anak lelaki bongsuku.

“Cepat masuk Ihsaan, nanti cikgu marah”

Aku memberi arahan segera. Risau aku dia akan menyoal apa yang telah dia dengar tadi.

“Mama anjing! Mama babi sangat!”

Terus aku palingkan muka melihat siapakah pemilik suara comel itu. Seorang budak lelaki sama usianya dengan anak aku, Ihsaan.

Budak lelaki enam tahun yang aku perhatikan setiap hari menangis apabila ibunya meninggalkannya di sekolah.

Dia akan menangis sambil memaki hamun ibunya di balik pagar sekolah.

“Awak kata apa tadi? Cakap benda tak elok ye?” tegur guru pra sekolah tersebut.

“Masuk!” arah guru tersebut.

Tangisan anak kecil itu makin kuat kedengaran, tetapi masih tidak berganjak. Aku hanyunkan langkah kaki, melintas di hadapan anak tersebut. Aku hadiahkan senyuman.

“Nak mama!” Aku merendahkan tubuh.

“Masuk dulu, nanti mama datang ambil ye. Jangan macam ni, jangan cakap macam tu kat mama”

Anak ini masih berdegil. Aku perhatikan, pintu pagar sekolah sudah di tutup. Gurunya pula sudah mula masuk ke dalam kelas.

Aku tinggalkan anak itu sendirian. Aku kira lama mana anak begini mahu tunjuk kedegilannya, dia pasti akan masuk ke dalam kelas juga.

Dalam perjalanan pulang, aku sempat memikirkan bagaimana anak yang baru berusia enam tahun boleh mengeluarkan perkataan begitu.

Arghh, buat hairan pula. Aku tersenyum. Lantas, kenangan zaman kecilku pula berlegar di dalam fikiran.

“Hah, rasa kan. Pedaih kan? Padan muka hang!” Segengam cili api di tangan mak tadi sudah masuk ke dalam mulut. Pijarnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku menepuk-nepuk mulut yang kepedasan.

“Ha, cakaplah lagi! Aku nak dengaq!” tangannya di cekakkan di pinggang.

“Tak mau dah. Along tak kata dah!” Aku menggogoi. Bibir yang tadi sedap melafazkan perkataan BODOH kepada emak kini sudah menerima akibatnya.

Itulah kali pertama dan terakhir perkataan itu ditujukan kepada emak. Masih terasa pijarnya cili api kampung yang kecil dan bewarna hijau itu di bibirku.

Itu baru perkataan bodoh. Bukan perkataan mencarut yang lain. Huh. Tak dapat dibayangkan.

Kenangan itu beralih kepada gambaran wajah anak yang menangis di sekolah tadi. Perkataan yang aku kira sangat tidak patut diucapkan oleh seorang anak terhadap ibunya.

Anak kecil begini mereka sebenarnya tidak tahu pun apa yang mereka cakap. Kadang mereka hanya mengikut apa yang telah mereka dengar dari perbualan seharian dirumah atau di sekitar mereka.

Jadi, sebagai ibu bapa kita merupakan contoh terdekat untuk anak-anak. Jangan sesekali menggunakan perkataan yang tidak baik dihadapan anak-anak.

Kedua, anak-anak perlu diajar mana perkataan yang baik dan mana perkataan yang buruk serta salah dan membawa kepada dosa. Tegaskan apa yang mereka cakap itu adalah berdosa.

Jika tidak diajar bahawa mencarut adalah perbuatan yang salah sejak dari kecil, bimbang jika bila anak-anak telah meningkat remaja, mencarut menjadi zikir harian di bibir.

Ketiga, jangan bertoleransi dengan anak-anak yang mencarut. Kenakan hukuman agar mereka tahu itu adalah akibat dari apa yang mereka lakukan. Rotan, hadkan perbelanjaan harian, hadkan masa bermain atau sebagainya yang boleh menyedarkan mereka. Jangan ambil remeh anak yang suka mencarut.

Bukankah anak-anak ini saham akhirat kita? Didiklah sebaik mungkin. Mereka juga penentu kita samaada kita di syurga atau neraka. Sama-sama kita berdoa agar anak-anak kita menjadi asbab kita di tempatkan dikalangan orang yang beriman. In shaa Allah.

Kredit: Munirah Mohd Shalleh

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy