Hati-hati! Nampak bersih tapi bergelumang najis. Realiti ya. Seorang ibu memandikan bayinya. Pampers dicabut lalu direndam si anak di dalam besen atau bekas mandian khas bayi.
Selesai sahaja, diangkat bayi tadi dengan disiram sekali lalu (tidak rata) dengan keadaan kaki bayi yang masih menjulur lagi ke dalam besen yang bertakung najis.
Semasa anak kecil itu menunggu dipakaikan pampers, ia sudah terkencing. Terus si ibu mengelap dengan kain tuala yang digunakan juga untuk mengelap tubuh si anak, lalu baju pun disarungkan dengan tangan ibu yang telah terkena kencing si anak dan ibu ini meneruskan kerja-kerja yang lain tanpa membersihkan dengan baik kawasan yang terkena air kencing tersebut.
Kita sedar atau tidak
1. Najis WAJIB dibersihkan dengan baik sehingga suci (hilang bau, warna dan rasa). Masyarakat kita menganggap najis itu adalah tahi sahaja. Sedangkan AIR KENCING juga adalah najis. Penyuciannya juga sama, wajib betul-betul bersih dan suci.
2. Besen yang direndamkan bayi tanpa menyuci dahulu kemaluan bayi yang terkena najis akan menjadikan seluruh air mandian tersebut telah tercemar dengan najis dan tidak dapat menyucikan lagi.
3. Tuala atau pakaian yang terkena air kencing bayi adalah najis dan jika terkena pakaian atau tempat lain ia boleh memindahkan najis tersebut.
4. Lantai tandas yang sudah terkena air kencing lalu tidak dijirus baik dan terkena pula pada pakaian atau badan adalah najis yang jika dibawa keluar akan memindahkan najis tersebut ke tempat lain.
5. Pakaian yang bernajis dipakai pula untuk solat serta solat ditempat bernajis tidak sah dan tidak diterima solatnya. Jika solat pun tidak diterima apatah lagi doanya.
Sedih melihat betapa kurangnya kefahaman kita tentang pengurusan najis. Segelintir kita mengangap asal tidak nampak betul-betul sebagai tahi ianya bukan najis. Ianya jelas kefahaman yang salah.
Tidakkah kita bertanya kepada diri ?
Mampukah kita mendidik baik anak-anak ini jika dari kecil tubuhnya bergelumang najis ?
Ibu ayah bergelumang dosa kerana pengabaian pendidikan thaharah dan penyuciannya ?
Lalu bagaimana solatnya, doanya harus diterima Allah ?
Akibatnya jauh lebih besar
Seisi keluarga solat tidak diterima, doanya tidak dimakbulkan, rumahnya menjadi tempat kotor persingahan syaitan, membesar anak-anak yang hatinya keras dan kematiannya dalam keadaan tercela dan diazab asbab daripada AIR KENCING .
Ianya bukan sekadar pendidikan “kebersihan” yang biasa-biasa, bahkan impaknya mampu memberi sebuah rasa ketenangan dan keharmonian dalam rumah tangga jika dijaga baik.
Ingatan saya untuk para suami dan isteri…
Wahai para suami, didik dan berikanlah ilmu agama yang secukupnya bermula daripada aspek “kebersihan dalam Islam” yang kian dipandang ringan oleh kebanyakan keluarga Islam.
Tidak salah anda membuka kembali ‘ Pelajaran Thaharah’ memperbincangkannya dalam bulatan kecil bersama keluarga sehingga difahami keseluruhan ahli keluarga anda dengan baik.
Mana yang nampak salah tegur dan ajak bersama-sama diperbaiki. Perhati cara isteri mengurus najis anak kecil, dan tegur dengan cara yang berhikmah jika terdapat kelemahan atau kesalahan.
Perhatikan cara anak-anak menggunakan tandas, sediakan kemudahan yang perlu untuk memastikan mereka mampu menjaga adabnya dengan baik. Anak-anak lebih mudah dididik melalui teladan. Jadilah seorang suami yang kepimpinan dan kewibaannya bukan hanya terletak pada katanya tetapi teladan yang baik yang membentuk isteri dan anak lebih dekat dengan ketakwaan.
Wahai para isteri, masamu mengurus anak adalah lebih lama berbanding suamimu maka perkemaskan diri dengan ilmu yang dipraktikkan dengan baik dalam aspek kebersihan ini.
Kain baju bernajis bercampur aduk, anak-anak masih kecil sebebasnya keluar masuk tandas tidak beralas kaki, air kencing…tahi..muntah dll diuruskan dengan ceteknya ilmu.
Mulianya seorang isteri apabila ‘lelahnya’ mengurus keluarga bukan setakat makan dan minum tetapi memastikan keluarganya terpelihara daripada mendapat azab-Nya sehingga tidak ada ganjaran yang lebih layak baginya melainkan syurga.
*Ambillah juga pengajaran buat semua terutama yang dipertangungjawab menguruskan bayi yang baru lahir samaada suami, isteri, ibu sendiri, ibu mertua, adik beradik atau sesiapa sahaja. Semoga Allah selalu memelihara dan merahmati.
Tegur kerana sayang.
Dicatat oleh,
Aisyah Ribath
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)