“Mangsa Cuba Keluar, Tapi Pintu Jeriji & Terkunci.” Dua Beradik Maut Rumah Terbakar

Share

Dua beradik maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanguit Gombak pada Isnin.

Dalam kejadian itu, mangsa Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, ditemui rentung dalam kejadian itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.53 pagi.

“Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan Rawang termasuk Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Foto ihsan JBPM Selangor

Ibu bapa mangsa tiada di rumah

Norazam berkata, semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa dipercayai cuba keluar berdasarkan keadaan mayat, namun pintu jeriji dalam keadaan terkunci.

“Kedua-dua beradik itu ditemui rentung pada jam 4.43 pagi tadi selepas kebakaran dapat dikawal sepenuhnya jam 4.13 pagi,” ujarnya

Jelasnya, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah teres kelas A berkeluasan 6×24 meter persegi dengan 70 peratus terbakar.

“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut,” jelas beliau.

Kredit: Sinar Harian

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)

 

Published by
Wan Amy